Selepas membantu Singapura mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan kelayakan Piala Asia, jurulatih sementara skuad Singa, Gavin Lee, akan terus mengemudi pasukan bagi perlawanan penting menentang Hong Kong pada 18 November di Kai Tak Sports Park, di mana pemenang akan mara ke kejohanan utama di Arab Saudi.
Menyusuli kemenangan 2-1 ke atas India, yang kini berada di tangga ke-134 dunia, di Goa pada 14 Oktober, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), Desmond Ong, berkata bahawa dengan baki sebulan lagi sebelum perlawanan penentuan itu, pihaknya tidak mahu menggugat kestabilan pasukan, lapor The Straits Times (ST).
“Kami datang ke India dan memperoleh kemenangan, tetapi tugas kami belum selesai. Jadi kami tidak mahu mengganggu pasukan dengan sebarang berita mengenai pelantikan baru.
“Walaupun kerja di belakang tabir diteruskan, kami telah bersetuju sejak awal bahawa Gavin akan terus mengetuai pasukan negara bagi perlawanan di tempat lawan menentang Hong Kong,” katanya.
Singapura, yang kini berada di tangga ke-158 dunia, mengumpul lapan mata selepas mencatat dua kemenangan; 2-1 di tempat lawan menentang India dan Bangladesh (tangga ke-184 dunia), serta dua keputusan seri di tempat sendiri – 1-1 menentang India dan 0-0 menentang Hong Kong (tangga ke-146 dunia) dalam Kumpulan C.
Hanya juara daripada enam kumpulan akan menyertai 18 pasukan lain yang telah layak ke kejohanan utama di Arab Saudi pada 2027.
Dengan berbaki dua lagi perlawanan, Singa kini terikat mata dan perbezaan jaringan dengan Hong Kong, tetapi ketinggalan menerusi jumlah gol yang dijaringkan.
Namun, dengan peraturan pertandingan yang menetapkan rekod pertemuan sebagai kriteria pertama jika pasukan terikat mata, kemenangan di tempat lawan boleh memastikan kelayakan bersejarah bagi Singapura ke Piala Asia.
Lee mengambil alih jawatan jurulatih sementara selepas jurulatih dari Jepun, Tsutomu Ogura, meletak jawatan pada Jun atas sebab peribadi, dan FAS telah memulakan pencarian global untuk seorang pengganti tetap.
Pada Ogos lalu, Ong mendedahkan bahawa FAS telah menerima 67 permohonan bagi jawatan ketua jurulatih itu, dengan 16 calon disenarai pendek dan 10 dipilih untuk ditemu duga.
Beliau menambah, kriteria utama termasuk kemahiran bertutur bahasa Inggeris, pengalaman melatih pasukan yang pernah bersaing atau memenangi kejuaraan, pengalaman mengemudi pasukan dalam kejohanan utama, serta tempoh perkhidmatan yang panjang di kelab atau persatuan.
ST sebelum ini melaporkan bahawa kapten Piala Dunia Italy, Fabio Cannavaro – yang pernah melatih di Arab Saudi dan China – serta bekas pemain sayap Liverpool, Harry Kewell, yang pernah melatih di Jepun, termasuk dalam senarai pendek tersebut bersama beberapa calon utama.
Ini di samping bekas penolong jurulatih Tottenham Hotspur dari Australia, Nick Montgomery; dan jurulatih asal Sepanyol yang juga bekas jurulatih pasukan Iraq, Jesus Casas.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, Montgomery telah dilantik sebagai penolong jurulatih di Nottingham Forest, manakala Cannavaro mengambil alih pasukan Uzbekistan yang bakal beraksi di Piala Dunia.
Kewell pula kini menjadi ketua jurulatih kelab Vietnam, Hanoi FC.
Difahamkan, FAS kini berada di peringkat akhir proses pemilihan yang telah mengecil kepada tiga calon, walaupun mereka masih terbuka kepada sebarang calon yang sesuai.
Lee, yang merupakan penolong jurulatih negara di bawah Ogura, berkata:
“Melatih pasukan negara adalah satu keistimewaan, tetapi keistimewaan itu datang bersama tanggungjawab.
“Buat masa ini, tugas saya ialah memberikan sokongan terbaik yang diperlukan pasukan dan, mudah-mudahan, membantu kami atasi halangan di depan.”
Selepas kemenangan di Goa – kemenangan pertamanya sebagai ketua jurulatih selepas tewas 1-2 kepada Malaysia dan dua keputusan seri 1-1 menentang Myanmar dan India – jurulatih berusia 35 tahun itu berkata beliau kekal fokus dan berpendirian sama, walaupun berasa “amat gembira” melihat para pemainnya bangkit daripada kekecewaan selepas seri di tempat sendiri menentang India pada 9 Oktober.
Beliau menambah: “Saya saksikan sendiri bagaimana mereka berasa kecewa selepas perlawanan kerana semua pemain rasa bertanggungjawab atas apa yang berlaku.
“Kami terpaksa menelannya... Saya sangat gembira untuk mereka kerana kini, kami kembali bersaing untuk kelayakan.
“Sebagai satu kumpulan, kami tahu tugas ini belum selesai. Ini hanya satu langkah kecil ke arah yang betul, dan kami harap dapat menamatkan kerja ini dengan sempurna.”
Beliau turut mengulas kritikan dalam talian mengenai pemilihan pemain dan gaya permainannya, yang menekankan penguasaan bola untuk menghasilkan serangan berkesan tetapi memerlukan tumpuan penuh pemain sepanjang perlawanan.
Pengkritik menyifatkan pendekatan ini terlalu idealistik apabila pasukan sedang mendahului tipis, kerana sebarang kecuaian boleh menyebabkan kehilangan mata seperti dalam keputusan seri menentang India baru-baru ini.
“Apa yang saya sedar dalam bola sepak ialah anda tidak akan dapat memuaskan hati semua orang, dan mereka berhak untuk menyuarakan pandangan masing-masing.
“Akhirnya, saya perlu membuat keputusan yang saya yakin betul kerana setiap tindakan kami berdasarkan penilaian menyeluruh.
“Yang lebih penting ialah kami mendapat kepercayaan daripada para pemain dan kakitangan, serta keyakinan terhadap diri sendiri dan apa yang kami usahakan,” kata Lee, yang meletak jawatan sebagai ketua jurulatih BG Tampines Rovers pada Jun lalu.
Kapten Singapura, Hariss Harun, menegaskan bahawa pasukan gembira untuk terus bekerja di bawah bimbingan Lee.
Pemain berusia 34 tahun itu berkata:
“Kami sangat gembira apabila Gavin dilantik kerana beliau sudah lama bersama pasukan. Kami tahu apa yang beliau harapkan, dan beliau juga tahu kemampuan kami.
“Beliau cuba memberikan kami lebih keyakinan dan kepercayaan diri. Dalam perlawanan, ada masanya kami berlatih untuk situasi tertentu, tetapi sesuatu yang berbeza berlaku – ketika itu terpulang kepada pemain untuk bersedia dan menamatkan perlawanan dengan baik. Kami perlu berkongsi tanggungjawab ini.
“Sekarang, semuanya tentang saling membantu. Kami satu pasukan, dan kami berharap dapat mencipta sesuatu yang bermakna untuk bola sepak Singapura.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg