Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jadi jurulatih laluan baru bagi Gavin Lee dalam bola sepak

Kesedaran bahawa dia tidak sehebat rakan sepasukan di Akademi Bola Sepak Kebangsaan tidak patahkan semangat
Oct 12, 2025 | 5:30 AM
Setakat ini, Gavin Lee ditugaskan terajui dua perlawanan kelayakan Pusingan Akhir Piala Asia 2027 menentang India pada 9 dan 14 Oktober. Ini di samping dua perlawanan persahabatan menentang Malaysia dan Myanmar pada September lalu.
Setakat ini, Gavin Lee ditugaskan terajui dua perlawanan kelayakan Pusingan Akhir Piala Asia 2027 menentang India pada 9 dan 14 Oktober. Ini di samping dua perlawanan persahabatan menentang Malaysia dan Myanmar pada September lalu. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Sejak zaman kanak-kanaknya, Jurulatih Sementara Singa, Gavin Lee, seakan ditentukan menjadi pemain bola sepak profesional.

Cintanya kepada bola sepak tercetus sejak usia empat atau lima tahun apabila ayahnya, yang juga seorang jurulatih, Lawrence, memperkenalkannya kepada sukan itu.

Daripada sekadar menendang bola dan mengikuti ayahnya ke sesi latihan, Lee bagai berada di landasan menjadi pemain profesional.

Namun, ketika mencapai tahap tertentu dalam kerjayanya, beliau menyedari bahawa kemahirannya tidak sehebat rakan sepasukannya di Akademi Bola Sepak Kebangsaan (NFA) – seperti Hariss Harun, Izwan Mahbud, Hafiz Sujad, dan Gabriel Quak.

Kesedaran itu tidak mematahkan semangatnya, malah beliau meniti jalan baru.

Berbeza dengan teman seangkatannya yang berjuang mati-matian dalam padang, Lee merupakan ‘otak’ yang meneliti dan mengarah pemain dari luar.

Walau tidak memenuhi impian sebagai pemain bola sepak, Lee kini mewakili negara dengan caranya tersendiri, dengan menjadi Jurulatih Sementara Singa.

Gavin Lee (kanan) ketika berusia 15 tahun sudah menjadi anggota pasukan skuad bawah 15 tahun negara. Beliau dilihat bersama seorang lagi pemain yang seangkatan dengannya, Ho Junliang.
Gavin Lee (kanan) ketika berusia 15 tahun sudah menjadi anggota pasukan skuad bawah 15 tahun negara. Beliau dilihat bersama seorang lagi pemain yang seangkatan dengannya, Ho Junliang. - Foto fail

Setakat ini, beliau ditugaskan untuk menerajui dua perlawanan kelayakan Pusingan Akhir Piala Asia 2027 menentang India pada 9 dan 14 Oktober.

Singapura seri 1-1 dengan India pada perlawanan pada 9 Oktober.

Ini di samping dua perlawanan persahabatan menentang Malaysia dan Myanmar pada September lalu.

Mengimbau permulaan minat beliau dalam bidang jurulatih, Lee, yang pernah dilatih oleh Kadir Yahaya di NFA, berkata:

“Apabila saya mencapai tahap tertentu sebagai pemain, saya sedar saya tidak akan sehebat rakan sepasukan saya, seperti Hariss, Izwan, Gabriel dan lain-lain.

“Ketika itu, saya mula membantu ayah saya mengurus latihan dan saya menikmatinya. Dari situ saya terfikir, kenapa tidak cuba sendiri (sebagai jurulatih)?”

Dari situ, pintu sebagai jurulatih terbuka luas baginya.

Jurulatih sementara Singa, Gavin Lee, ditugaskan untuk menerajui dua perlawanan kelayakan Pusingan Akhir Piala Asia 2027 menentang India pada 9 dan 14 Oktober.
Jurulatih sementara Singa, Gavin Lee, ditugaskan untuk menerajui dua perlawanan kelayakan Pusingan Akhir Piala Asia 2027 menentang India pada 9 dan 14 Oktober. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Ayah tanam benih jurulatih dalam diri Lee

Bagi Lee, minat terhadap kejurulatihan bermula di rumah, hasil daripada semangat dan pengorbanan yang dipamerkan ayahnya ketika beliau kecil.

“Saya lihat kejurulatihan sangat bermakna dan serius baginya.

“Beliau sanggup korbankan masa di luar kerjanya untuk melakukannya... Cara beliau menjalankan tugas sebagai jurulatih juga mungkin telah bentuk banyak nilai dalam diri saya juga.

“Seperti sentiasa hadir tepat pada masa, jangan pernah lewat, amalkan apa yang diajar kepada pemain. Jadi nilai-nilai itu saya masih pegang hingga hari ini,” ujar Lee.

Lee mula menceburi bidang jurulatih secara sepenuh masa di Akademi Profesional Sekolah dan Liga Bola Sepak Junior (JSSL) Singapura ketika masih menuntut di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), dalam jurusan Sains Sukan.

Sejak itu, beliau tidak lagi menoleh ke belakang.

Pada 2019, Lee, yang ketika itu berusia 28 tahun, dilantik sebagai Ketua Jurulatih BG Tampines Rovers sehingga 2025.

Lee, yang membesar di Tampines, mencipta sejarah sebagai jurulatih termuda dalam sejarah Liga Perdana Singapura (SPL) dan terus memenangi Piala Singapura pada musim sulungnya.

Ketua Jurulatih sementara Singa, Gavin Lee, di musim pertamanya bersama BG Tampines Rovers pada 2019.
Ketua Jurulatih sementara Singa, Gavin Lee, di musim pertamanya bersama BG Tampines Rovers pada 2019. - Foto fail
Gavin Lee membimbing BG Tampines Rovers untuk menjulang Piala Singapura 2019 selepas mengatasi Warriors FC 4-3.
Gavin Lee membimbing BG Tampines Rovers untuk menjulang Piala Singapura 2019 selepas mengatasi Warriors FC 4-3. - Foto fail

Sanggup tidak dibayar demi pengalaman

Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Lee sanggup mengorbankan gaji demi untuk timba pengalaman.

Pada 2014, ketika Lee masih lagi menuntut di NTU, beliau diberi peluang keemasan untuk menjadi ‘intern’ kepada Ketua Jurulatih Warriors, Alex Weaver, yang beraksi di SPL.

“Alex hanya salah seorang daripada ramai mentor yang saya bernasib baik pernah bertemu.

“Saya mendapatkan kontaknya melalui seorang rakan bersama, dan menghantarnya e-mel. Beliau membalas, dan sejak itu... saya mula meninjau satu sesi latihan, kedua, ketiga, dan kemudian beliau bertanya sama ada saya ingin menjalani ‘intern’ dengannya,” kongsi Lee.

Lee menggambarkan Pengasas dan Pengarah Urusan JSSL, Harvey Davis, sebagai sosok yang memberinya peluang untuk lalui pengalaman tersebut walau ketika itu beliau masih bersama JSSL sebagai jurulatih.

Gavin Lee (kanan) bersama Ketua Jurulatih Warriors, Alex Weaver di kelab itu pada 2014.
Gavin Lee (kanan) bersama Ketua Jurulatih Warriors, Alex Weaver di kelab itu pada 2014. - Foto ihsan GAVIN LEE

Merantau hingga ke Argentina untuk ‘kaji’ bola sepak

Lee membawa kerjayanya ke tahap lebih tinggi pada 2015 apabila beliau ke United Kingdom, Argentina dan Australia untuk meninjau serta menimba ilmu daripada jurulatih bola sepak di sana.

Sejurus selepas menamatkan pengajiannya, Lee berangkat ke UK untuk melihat bagaimana pasukan Bawah 23 Tahun Cardiff City berlatih selama dua minggu.

Gavin Lee telah ke United Kingdom (UK) untuk melihat bagaimana pasukan Bawah 23Ttahun Cardiff City berlatih selama dua minggu.
Gavin Lee telah ke United Kingdom (UK) untuk melihat bagaimana pasukan Bawah 23Ttahun Cardiff City berlatih selama dua minggu. - Foto ihsan GAVIN LEE

Namun, hidup di rantauan bukanlah mudah.

Beliau terpaksa ‘ikat perut’ dengan membeli makanan bajet serta menginap di Airbnb UK dan penginapan temannya di Argentina dek kos yang mahal.

Lee, yang hanya mengharapkan gaji dari pekerjaan sepenuh masanya di JSSL, berkata:

“Selepas bayar yuran universiti saya, apa sahaja simpanan yang tinggal daripada semua sesi (jurulatih) yang saya lakukan, saya gunakan untuk perjalanan itu.

“Di UK tidak murah... untuk makanan, saya hanya pergi ke Tesco beli makanan satu paun hampir setiap hari dan jika bernasib baik, kawan saya akan belikan saya makanan di kelab.”

Apabila beliau di Argentina, pengalaman melihat pemain yang menjadikan bola sepak sebagai jalan keluar daripada kesusahan membuka mata Lee tentang makna sebenar sukan itu.

“Anda pergi ke sebuah negara di mana bola sepak adalah segala-galanya bagi mereka. Ada pemain yang sanggup tidur di kelab kerana mereka tidak mempunyai wang untuk menaiki bas pulang.

“Kemudahannya tidak begitu baik, padangnya pun tidak elok, tetapi mereka tetap hadir setiap hari dengan semangat 100 peratus, kerana bola sepak boleh menjadi jalan keluar bagi mereka,” katanya.

Malam bermakna di Bukit Jalil

Ia bagaikan mimpi bagi Lee, yang tidak pernah menyangka beliau akan memimpin sebuah kelab SPL, apatah lagi mengemudi pasukan negara.

Apabila lagu kebangsaan dimainkan ketika perlawanan sulung beliau di perlawanan persahabatan menentang Malaysia, perasaan bangga mula menyelimuti Lee.

“Saya tidak terlalu memikirkan tentang tugas sebagai jurulatih Singa – sehinggalah ketika kami menyanyikan lagu kebangsaan di Stadium Bukit Jalil.

“Ketika itu saya terhenti sejenak dan berfikir, ‘Wah, ini luar biasa, satu detik yang sangat indah.’

“Perasaan bangga itu sukar digambarkan, kerana mewakili negara adalah satu penghormatan tertinggi,” katanya.

Jurulatih Sementara Singa, Gavin Lee (tengah), ketika menentang Malaysia di Bukit Jalil pada September lalu.
Jurulatih Sementara Singa, Gavin Lee (tengah), ketika menentang Malaysia di Bukit Jalil pada September lalu. - Foto FAS

Motto beliau: Kekal rendah hati

Dalam landskap bola sepak yang tidak menentu, Lee kekal rendah hati dan fokus pada tugasan semasa tanpa tergesa-gesa memikirkan masa depan.

Lee akur jika beliau melaksanakan tugas dengan sebaiknya, ia akan membantunya dalam perjalanannya sebagai seorang jurulatih.

“Saya tetap berpegang pada prinsip ini: apabila anda sudah memikul sesuatu tanggungjawab, fokuslah pada apa yang sedang anda lakukan.

“Tiada gunanya berangan tentang langkah seterusnya jika tugas sekarang pun belum dilaksanakan dengan baik.

“Apabila pintu peluang terbuka kerana hasil kerja yang baik, maka masuklah pintu itu.

“Tetapi sebelum itu, tundukkan kepala dan terus bekerja sekeras mungkin,” ujar Lee dengan penuh keyakinan.

Rencana ini berdasarkan rakaman podcast Kaki Bola Berita Harian bersama Gavin Lee. Ikuti podcast penuh di Spotify Berita Harian Singapura dan laman web www.bh.sg/podcast, serta semua platform media sosial Berita Harian.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg