GELSENKIRCHEN (Jerman): Georgia mara ke peringkat 16 pasukan terakhir kejohanan Euro 2024 selepas menewaskan Portugal 2-0 dalam perlawanan Kumpulan F pada 27 Jun – sekali gus mencipta sejarah dalam penampilan pertama negara itu dalam kejohanan tersebut.
Jaringan hasil tonggak serangan Khvicha Kvaratskhelia pada minit kedua dan penalti Georges Mikautadze minit ke-57 mengorak langkah Georgia ke pusingan seterusnya.
Ini setelah skuad kendalian Willy Sagnol itu menjadi antara empat pasukan tempat ketiga terbaik.
Perlawanan itu menyaksikan Kvaratskhelia menunjukkan prestasi hebat sebagai Pemain Terbaik perlawanan dengan aksi geleceknya menembusi pertahanan Portugal.
Tepukan gemuruh mengisi ruang Stadium Veltins-Arena apabila pemain berusia 23 tahun itu digantikan dengan Zuriko Davitashvili pada minit ke-82 perlawanan.
Sebelum perlawanan, beliau berkongsi impian bermain di atas padang yang sama untuk menentang idolanya, bintang Portugal Cristiano Ronaldo, dan bertukar jersi dengannya.
Berkongsi selepas perlawanan kepada pihak media, beliau berkata: “Saya telah dapatkan jersi Ronaldo. Kami juga telah berjaya layakan diri ke pusingan seterusnya. Ini adalah hari paling hebat dalam kehidupan rakyat Georgia.
“Kami mencipta sejarah. Tiada siapa percaya kami melakukannya dengan menewaskan Portugal dan ini menunjukkan kami juga pasukan kuat. Jika anda ada walau hanya 1 peratus peluang, anda boleh lakukannya jika anda percaya.”
Portugal sudah pun layak lebih awal ke pusingan kalah mati sebagai juara Kumpulan F dan jurulatih Roberto Martinez melakukan lapan pertukaran daripada kesebelasan yang menewaskan Turkey pada 23 Jun untuk mengesahkan tempat selaku pendahulu kumpulan.
Martinez berkata:
“Intensiti kami rendah. Kami melepaskan gol awal yang diperlukan Georgia dan selepas itu kami serba tak menjadi dari segi hantaran dan penyudah.
“Kami cuba jaringkan gol tetapi gagal yang menaikkan lagi semangat Georgia dan akhirnya mereka memang berhak menang.”
Namun, Martinez bakal mempunyai skuad lebih segar dan bebas kecederaan apabila menentang Slovenia pada 2 Julai.
Georgia pula bakal berhadapan dengan Sepanyol, antara pasukan pilihan kejohanan yang mengumpul sembilan mata penuh dalam Kumpulan B, pada 1 Julai. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg