Topik diikuti
Pergi ke BHkuTaktik guru, sentuhan murid warnai final Piala Dunia
Taktik guru, sentuhan murid warnai final Piala Dunia
Scaloni hormati mentornya tetapi tidak ragui kesetiaannya
Taktik guru, sentuhan murid warnai final Piala Dunia
EAST RUTHERFORD (New Jersey): Guru bakal menentang anak murid apabila jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente, berdepan dengan bekas pelajarnya, jurulatih Argentina, Lionel Scaloni, dalam perlawanan akhir Piala Dunia pada 19 Julai (20 Julai waktu Singapura).
Sembilan tahun lalu, Scaloni merupakan salah seorang bekas pemain profesional yang sedang mengejar kerjaya dalam bidang kejurulatihan, mengikuti kursus lesen di sebuah pusat latihan persekutuan bola sepak Sepanyol di Las Rozas, di pinggir bandar Madrid.
Siapakah gurunya dalam kursus itu? De la Fuente.
Sejak itu, kedua-dua mereka telah membina kerjaya kejurulatihan yang berjaya dalam bola sepak antarabangsa.
Scaloni, 48 tahun, mengambil alih pasukan Argentina pada Ogos 2018, pada mulanya secara sementara – kurang setahun selepas mengikuti kelas kejurulatihan de la Fuente.
Sejak itu, bekas pemain Deportivo La Coruna itu telah membawa Argentina ke era kegemilangan.
Beliau mengakhiri penantian 28 tahun Argentina untuk gelaran juara utama menerusi kemenangan Copa America 2021, sebelum diikuti dengan hadiah tertinggi – Piala Dunia 2022. Satu lagi gelaran Copa America ditambah pada 2024.
Dalam tempoh yang sama, de la Fuente pula telah menyelia kebangkitan semula bola sepak Sepanyol yang kini meletakkan La Roja di landasan untuk kemenangan Piala Dunia kedua mereka, menyertai kejayaan mereka pada 2010.
Dilantik pada Disember 2022 selepas Sepanyol tersingkir secara mengecewakan dalam pusingan 16 terakhir menentang Maghribi pada Piala Dunia 2022, de la Fuente, 65 tahun, telah membawa Sepanyol kembali ke barisan hadapan bola sepak antarabangsa.
Kemenangan mendebarkan pada Kejohanan Eropah 2024 disusuli dengan larian ke final Liga Negara-Negara Uefa pada 2025.
Persembahan bertaraf dunia mereka menentang Perancis di separuh akhir Piala Dunia kini meletakkan de la Fuente di ambang mengatasi kesemua kejayaan tersebut dengan kemenangan Piala Dunia.
Kedua-dua Scaloni dan de la Fuente telah bercakap dengan penuh kemesraan mengenai satu sama lain sepanjang perjalanan mereka menuju ke pertembungan pada 20 Julai (waktu Singapura) di Stadium MetLife, East Rutherford, New Jersey.
“Beliau adalah mentor saya, dan beliau telah mengajar saya segala yang saya tahu, dan kini kami bertemu dalam perlawanan akhir,” kata Scaloni mengenai de la Fuente selepas kemenangan epik 2-1 pasukan itu menentang England dalam separuh akhir pada 15 Julai.
“Saya ingat selepas Qatar, ketika kami mengadakan persidangan dalam kalangan jurulatih, saya berbual dengannya agak lama. Beliau telah melakukan kerja yang hebat bersama pasukannya, saya amat gembira untuknya.”
Scaloni mempunyai ikatan peribadi dan profesional yang kukuh dengan Sepanyol, setelah menghabiskan sebahagian besar kerjayanya sebagai pemain di sana.
Isterinya, Elisa Montero, berbangsa Sepanyol, dan pasangan itu tinggal bersama dua anak lelaki mereka di Mallorca.
Namun pada 19 Julai, walaupun mempunyai hubungan mesra dengan de la Fuente, Scaloni tidak ragu-ragu mengenai kesetiaannya.
“Sudah tentu semua orang tahu saya tinggal di Sepanyol dan mempunyai keluarga di Sepanyol. Saya benar-benar memohon maaf, tetapi saya akan cuba menewaskan Encik de la Fuente,” katanya.
“Beliau telah memperoleh penghormatan penuh saya, sudah tentu, bukan sahaja kerana cara beliau bermain di padang dan menguruskan pasukan, tetapi juga sebagai seorang insan.”
De la Fuente turut membalas kata-kata itu, menggambarkan Scaloni sebagai pelajar teladan.
“Saya amat menghormati Lionel,” katanya.
“Beliau telah memenangi segala-galanya bersama pasukan kebangsaan Argentina. Saya bersetuju dengan banyak idea beliau, saya mengaguminya secara profesional dan peribadi. Beliau seorang insan yang hebat.
“Lionel adalah pelajar yang sangat rajin, dengan sikap dan minat yang hebat. Beliau mempunyai tekad luar biasa untuk berkembang. Menjadi gurunya adalah satu penghormatan.
“Namun yang paling penting, saya berasa sedemikian kerana saya adalah sahabatnya. Kami terus mempunyai hubungan yang hebat dan sangat mengagumi satu sama lain.” – Agensi berita.
