LONDON: Tujuh bulan lalu, Ketua Eksekutif Newcastle United, David Hopkinson, berkata kelab itu mampu menjadi antara yang terbaik di dunia menjelang 2030.

Namun ketika ini, sasaran itu masih jauh dari kenyataan.

Pemergian pengurus, Eddie Howe, pada 30 Julai, diikuti pelantikan Matthias Jaissle yang bakal menggantikannya, disebabkan oleh musim Liga Perdana England (EPL) yang mengecewakan apabila Newcastle menamatkan saingan di tangga ke-12, serta melalui jendela perpindahan yang hambar.

Keadaan itu berpunca daripada keperluan menjual pemain bagi menjana pendapatan supaya kelab itu dapat meningkatkan perbelanjaan.

Namun, adakah ini petanda masalah yang lebih besar?

Newcastle telah melepaskan pemain penyerang, Anthony Gordon, dan pemain tengah, Sandro Tonali.

Sebelum itu, pemain penyerang, Alexander Isak, dilepaskan kepada Liverpool dengan nilai £125 juta ($215 juta) pada September 2025.

Kapten pasukan, Bruno Guimaraes, pula dikhabarkan bakal meninggalkan kelab itu.

Pergerakan masuk pemain juga hambar apabila Newcastle gagal mendapatkan pemain tengah Switzerland, Johan Manzambi, dan pemain sayap Sepanyol, Victor Munoz.

Manzambi menyertai Aston Villa manakala Munoz pula ke Liverpool.

Pemerolehan Newcastle oleh Dana Pelaburan Awam (PIF) Arab Saudi pada 2021 sepatutnya menjadi pemangkin untuk menjadikan kelab itu antara yang terbaik di dunia.

Namun beberapa tindakan kebelakangan ini telah menimbulkan persoalan sama ada mereka semakin hilang bisa.

Di manakah silapnya Howe?

Howe mengakhiri penantian 70 tahun Newcastle untuk menjulang piala tempatan menerusi kejayaan dalam Piala Carabao pada 2025.

Namun khabar angin mengenai pemergian pengurus berusia 48 tahun itu mula bertiup awal tahun ini (2026) ketika Newcastle menghuni tangga ke-13 EPL dan peluang ke Liga Juara-Juara musim berikutnya semakin tipis.

Keadaan itu bertambah buruk pada Mac apabila Newcastle, atau The Magpies, dikejutkan oleh kebangkitan lewat Sunderland dalam aksi derbi Tyne-Wear, tewas 2-1 di St James’ Park dan meneruskan rekod 15 tahun tanpa kemenangan liga ke atas lawan setempat itu.

Mereka turut tersingkir daripada Piala Persatuan Bola Sepak (FA) pada pusingan kelima dan Liga Juara-Juara pada pusingan 16 terbaik, sebelum mara ke separuh akhir Piala Liga Bola Sepak England (EFL) atau Piala Carabao tetapi dibelasah Manchester City 5-1.

Walaupun begitu, tempoh empat tahun setengah Howe sebagai pengurus Newcastle tetap dikenang oleh penyokong.

Apa yang paling mengelirukan penyokong ialah masa pemergiannya.

Bekas pengurus Bournemouth itu sebenarnya boleh meninggalkan kelab itu pada penghujung musim, malah BBC Sport difahamkan bahawa calon-calon yang berpotensi untuk menggantikan Howe telah mula dicari pada Julai, termasuk Kieran McKenna.

Howe sebaliknya hanya membuat keputusan selepas latihan pramusim bermula apabila usaha membina skuad itu semakin sukar.

Beliau difahamkan telah memaklumkan hasratnya untuk berundur dua minggu lalu.

Menjual tiga pemain terbaik dalam tempoh setahun, iaitu Isak ke Liverpool musim panas lalu, diikuti Gordon ke Barcelona dan Tonali ke Tottenham tahun ini, dengan Guimaraes pula mungkin menyusul, jelas bukan caranya untuk sesebuah kelab menjadi antara yang terhebat.

Bekas pemain pertahanan Newcastle, Steve Howey, berkata, “Terus terang, saya terkejut, tetapi pada masa yang sama saya memang sudah menjangkakannya.”

Howe terpaksa mengharungi dugaan demi dugaan kerana kelab itu terus kehilangan pemain utama hingga menyukarkannya membina pasukan.

Adakah sokongan Arab Saudi semakin pudar?

Sejak Newcastle diperolehi PIF pada 2021, cita-cita kelab itu untuk berbelanja besar sering dikekang oleh Peraturan Keuntungan dan Kemampanan (PSR).

Pemilikan kelab oleh pemilik kaya tidak bermakna ia bebas berbelanja besar pada setiap jendela perpindahan.

Selepas membeli Newcastle pada 2021, PIF membelanjakan 404.7 juta paun dalam tempoh tiga tahun pertama. Namun, dengan hanya meraih 50.4 juta paun daripada jualan pemain, Newcastle mula merasai kesan ketat PSR pada 2024.

Keadaan itu memaksa mereka menjual pemain tengah keluaran akademi, Elliot Anderson, kepada Nottingham Forest, dan sejak itu terus menjual pemain utama pada setiap musim.

Kelab itu turut mengalu-alukan pelaksanaan peraturan Nisbah Kos Skuad (SCR), yang membenarkan kelab berbelanja mengikut pendapatan dijana.

Namun, analisis syarikat penganalisis kewangan bola sepak, Swiss Ramble, menunjukkan bahawa bajet SCR Newcastle hanya kesembilan tertinggi dalam EPL, iaitu 243 juta paun.

Pada April lalu, PIF menarik balik pelaburan berbilion dolar dalam LIV Golf selepas pengerusinya, Yasir Al-Rumayyan, mengesahkan dana itu sedang menyemak semula pelaburan mereka.

Walaupun langkah itu mencetuskan persoalan mengenai masa depan Newcastle, pegawai kelab itu dimaklumkan ia tidak menjejaskan sokongan PIF terhadap kelab itu.

Pendapatan Newcastle bagaimanapun meningkat kepada 335.3 juta paun musim lalu, lebih dua kali ganda berbanding era pemilikan Mike Ashley.

Kelab itu turut merancang membina pusat latihan baharu serta meningkatkan Stadium St James’ Park atau berpindah stadium bagi menambah pendapatan hari perlawanan.

Potensi pelantikan bekas pengurus RB Salzburg, Matthias Jaissle, yang kini mengendalikan Al-Ahli di Arab Saudi, turut mencuri perhatian memandangkan kelab itu sebelum ini sebahagian besarnya dimiliki PIF.

Newcastle rayu Howe pertimbang semula

Adalah difahamkan Howe memaklumkan hasratnya untuk meninggalkan Newcastle kira-kira dua minggu lalu.

Pada mulanya, pihak kelab memintanya mempertimbangkan semula keputusan itu, sebelum bersetuju beliau kekal sehingga penggantinya dikenal pasti.

Dasar perpindahan pemain Newcastle pada musim panas ini mendapat perhatian meluas.

BBC Sport pada April melaporkan Newcastle perlu menjual seorang pemain utama bagi mematuhi peraturan kewangan.

Ketika beberapa pemain utama meninggalkan kelab, Newcastle pula membawa masuk bakat muda yang belum terbukti, termasuk pemain sayap, Bazoumana Traore, dan penyerang, Aladji Bamba.

Walaupun strategi perpindahan itu menimbulkan kebimbangan terhadap kekuatan skuad itu musim depan, BBC Sport melaporkan ia bukan satu-satunya sebab di sebalik keputusan Howe untuk berundur.

Perpisahan kedua-dua pihak dikatakan berlaku secara baik. – Agensi berita.