‘Keajaiban’ Benfica pimpinan Mourinho kejutkan Real Madrid

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Keajaiban’ Benfica pimpinan Mourinho kejutkan Real Madrid

Jaringan minit terakhir penjaga gawang, Trubin, selamatkan pasukan
Jan 29, 2026 | 2:30 PM

‘Keajaiban’ Benfica pimpinan Mourinho kejutkan Real Madrid

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Jose Mourinho, penjaga gol Benfica, Anatoly Trubin, jaringkan gol, tewaskan Real Madrid, Liga Juara-Juara
Penjaga gawang Benfica, Anatoliy Trubin, menjaringkan gol keempat pasukan itu ketika menentang Real Madrid di Estádio da Luz, 28 Januari 2026. - Foto AFP

LISBON (Portugal): Perkara yang luar biasa tidak mudah diperoleh Jose Mourinho di tahap ini dalam kerjayanya yang panjang dan selalunya sangat dramatik.

Namun pada malam 28 Januari di Lisbon, penjaga gol Benfica, Anatoly Trubin, mencipta detik seperti ini.

Benfica bukan sekadar perlu menewaskan Real Madrid yang sudah 15 kali menjuarai Eropah.

Ketika perlawanan memasuki minit-minit terakhir, kedudukan 3-2 memihak kepada Benfica, tetapi satu lagi gol masih diperlukan untuk menyelamatkan kempen Liga Juara-Juara pasukan itu.

Sepakan percuma menjadi peluang terakhir, maka Trubin diarahkan pengurusnya, Mourinho, supaya mara ke hadapan.

Beberapa saat kemudian, stadium Estádio da Luz, tempat beraksi Benfica, bergema dengan kekecohan.

Pemain Benfica berlari ke setiap arah, manakala Trubin meraikan kejayaannya dengan penuh bersemangat, dalam sambutan spontan selepas menjaringkan gol penentuan.

“Gol yang hebat, gol bersejarah, gol yang hampir meruntuhkan seluruh stadium, dan ia sangat layak untuk kami,” kata Mourinho. “Bagi Benfica, menewaskan Real Madrid adalah satu pencapaian yang luar biasa.”

Format liga dengan 18 perlawanan berlangsung serentak pada hari perlawanan akhir, menyebabkan Trubin sendiri tidak sepenuhnya sedar apa yang diperlukan pasukannya.

Benfica sebenarnya berada di ambang penyingkiran berdasarkan perbezaan gol sehinggalah detik sensasi itu.

Marseille gagal ke pusingan penentuan selepas tempat mereka dirampas Benfica.

Beberapa minit sebelum golnya, Trubin sempat berlutut selepas menangkap hantaran lintang, seolah-olah cuba melengah-lengahkan masa untuk menamatkan perlawanan, tanpa menyedari Benfica masih tersingkir pada ketika itu.

“Sebelum itu, saya tidak faham apa yang kami perlukan,” kata Trubin. 

“Saya nampak semua orang menunjuk ke arah saya dan kemudian saya sedar kami perlukan satu lagi gol. Saya tidak tahu apa hendak dikatakan. Detik itu luar biasa bagi saya. Saya tidak biasa jaringkan gol. Umur saya 24 tahun dan ini kali pertama.”

Kepulangan Mourinho ke Benfica pada September 2025 tidak berjalan mudah. 

Pelantikannya disambut dengan keraguan, dengan tanggapan bahawa usianya yang mencecah 63 tahun itu sudah melepasi kemuncaknya.

Empat setengah bulan kemudian, Benfica masih belum tewas dalam liga tetapi berada di tangga ketiga, ketinggalan 10 mata di belakang Porto. 

Peluang Mourinho untuk menambah kejuaraan liga kesembilannya kelihatan tipis.

Di Eropah pula, mereka tewas dalam empat perlawanan awal fasa liga dan tersingkir daripada piala domestik selepas kalah kepada Porto.

Namun satu perlawanan pada 14 Januari memberi petunjuk awal tentang potensi Trubin.

“Kami tahu dia mampu melakukannya,” kata Mourinho. “Dalam perlawanan di Dragao, dia juga hampir menjaringkan gol melalui tandukan.”

Kali ini, Trubin tidak dinafikan. Larian tepat dan tandukan sempurna membawa Benfica kembali daripada ambang penyingkiran dan menghidupkan semula harapan Eropah mereka.

“Kemenangan ini sangat besar buat Mourinho kerana sejak mengambil alih daripada Bruno Lage pada September 2025, tidak banyak yang benar-benar menjadi,” kata pakar bola sepak Eropah Julien Laurens di BBC.

“Menang pada malam ini dengan cara sedemikian membawa naratif yang jelas, berdepan Real Madrid, kelab lamanya, serta Alvaro Arbeloa yang pernah dilatih dan dianggap seperti anak sendiri di bangku lawan,” tambahnya.

Sama ada Benfica akan bertemu semula Madrid atau berdepan Inter Milan dalam pusingan seterusnya, ramai percaya Mourinho masih mampu mencipta sesuatu yang istimewa.

Namun detik luar biasa yang dicipta oleh Trubin itu mungkin sukar untuk ditandingi, termasuk oleh Mourinho sendiri. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg