Sambil Piala Dunia 2026 memasuki pusingan terakhir peringkat kumpulan, segala-galanya masih menjadi pertaruhan dalam Kumpulan H.

Ini dengan Sepanyol (4 mata), Uruguay (2 mata), Cape Verde (2 mata) dan Arab Saudi (1 mata) masih berpeluang untuk mara ke pusingan 32 terakhir.

Ini di samping dua pasukan terbaik setiap kumpulan akan layak ke peringkat kalah mati, bersama lapan pasukan tempat ketiga terbaik.

Perlawanan terakhir Kumpulan H akan berlangsung serentak pada 27 Jun, 8 pagi (waktu Singapura), yang menyaksikan Sepanyol berdepan Uruguay manakala Cape Verde menentang Arab Saudi.

Kemenangan besar 4-0 Sepanyol ke atas pasukan Arab Saudi, yang diberi julukan Green Falcons, pada Isnin (22 Jun) mengukuhkan lagi status mereka sebagai antara pencabar utama kejuaraan.

Sementara itu, keputusan seri 2-2 antara Uruguay dengan Cape Verde menyaksikan kedua-dua pasukan memungut dua mata, sekali gus menduduki tangga kedua dan ketiga masing-masing.

Sepanyol

Meskipun Sepanyol kini mendahului Kumpulan H dengan empat mata, serta kelebihan perbezaan empat gol, tempat mereka di pusingan 32 terakhir masih belum terjamin secara matematik.

Kemenangan La Roja ke atas Uruguay dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan akan mengesahkan mereka sebagai juara Kumpulan H.

Keputusan seri juga dijangka memadai untuk memastikan mereka kekal di tangga teratas, namun Cape Verde berpeluang memintas sekiranya mereka menewaskan Arab Saudi dengan jaringan yang cukup besar untuk mengatasi kelebihan perbezaan gol dimiliki Sepanyol.

Arab Saudi

Sementara itu, pasukan Arab Saudi perlu menang perlawanan mereka bersama Cape Verde untuk mara ke pusingan 32 terakhir - itu pun sekiranya keputusan di perlawanan lain memihak mereka.

Cape Verde

Pasukan Cape Verde, dengan gelaran The Blue Sharks, mengikat seri juara dua kali, Uruguay, pada 22 Jun untuk memastikan mereka terus berada di ambang untuk melangkah lebih jauh.

Sekiranya pasukan Afrika itu menewaskan Arab Saudi, mereka bakal mengesahkan tempat ke pusingan 32 terakhir.

Keputusan seri juga mungkin memadai, bahkan berpeluang menamatkan kempen di tangga kedua Kumpulan H sekiranya Uruguay tewas kepada Sepanyol.

Namun, kempen Cape Verde akan tamat jika mereka ditewaskan Arab Saudi.

Uruguay

Meskipun berkongsi dua mata dengan Cape Verde, Uruguay kini menghuni tangga kedua Kumpulan H hasil kelebihan jumlah gol yang dijaringkan berbanding lawan mereka itu.

Ujian amat sengit menanti pasukan bimbingan Marcelo Bielsa itu, dan kemenangan atas Sepanyol akan mengesahkan tempat mereka di pusingan 32 terakhir.

Namun, sekiranya mereka gagal memungut tiga mata, nasib Uruguay tidak lagi berada di tangan sendiri.

Sekiranya mereka seri manakala Cape Verde menewaskan Arab Saudi, La Celeste akan dipintas ke tangga ketiga Kumpulan H.

Meskipun pasukan di tangga ketiga masih berpeluang mara, hanya lapan daripada 12 pasukan di tempat ketiga terbaik akan layak ke pusingan 32 terakhir.

Natijahnya, segala-galanya masih terbuka dalam Kumpulan H.