Sebagai seorang pemain bola dan penggerak serangan di padang bola, Kyoga Nakamura, sentiasa membayangkan pelbagai keadaan di mana beliau boleh membuat hantaran lincah atau melepaskan rembatan ke gawang.
Namun, apa yang tidak dijangka oleh pemain berusia 29 tahun itu adalah dalam perlawanan pertamanya kembali ke Singapura selepas enam bulan berkelana di Thailand, beliau turun beraksi bersama Lion City Sailors.
Kelab itu merupakan seteru utama bekas kelabnya, BG Tampines Rovers.
Penampilan sulungnya boleh berlaku seawal perlawanan akhir Piala Singapura di Stadium Jalan Besar pada 10 Januari, lapor The Straits Times (ST).
Nakamura, yang diperkenalkan sebagai pemain Sailors pada 8 Januari selepas menandatangani kontrak dua tahun setengah, berkata kepada ST beliau dilanda pelbagai perasaan selepas hampir enam tahun bersama BG Tampines.
“Saya teruja untuk menentang mereka sebagai lawan, tetapi tetap menghormati mereka. Ia sukar, namun saya mahu menikmati perlawanan ini,” jelasnya.
Beliau berkata ramai penyokong Tampines mahukannya kembali dan memahami jika ada yang tidak senang, namun menegaskan beliau telah membuat pilihan dan akan memberi yang terbaik di dalam dan di luar padang.
Bekas pemain antarabangsa remaja Jepun yang beraksi di Piala Dunia Fifa Bawah 17 Tahun 2013 itu dibentuk di akademi JEF United Chiba dan pernah beraksi dalam Liga J3 bersama YSCC Yokohama serta FC Ryukyu.
Beliau menyertai kelab Liga Perdana Singapura (SPL), Albirex Niigata, pada 2019 dan menyumbang tujuh gol serta lapan bantuan gol.
Musim berikutnya, beliau berpindah ke Tampines, mencatatkan 16 gol dan 27 bantuan gol dalam 158 perlawanan merentasi lima musim sebelum menyertai kelab Thai League 1, Bangkok United, pada Jun 2025.
Namun, tempoh itu tidak menjadi buat Nakamura, yang sering diturunkan sebagai pemain tengah bertahan sebelum digerakkan ke bek kanan ketika menyerang.
Beliau hanya menjaringkan satu gol dalam 17 perlawanan, di tengah persaingan sengit dan pertukaran bergilir pemain merentasi lima kejohanan.
Namun, beliau menjelaskan penamatan kontraknya dengan Bangkok bukan atas sebab bola sepak, sebaliknya pertimbangan jangka panjang keluarga.
Nakamura, yang isterinya dan dua anak perempuannya berusia empat dan satu tahun, merupakan Penduduk Tetap (PR) Singapura, berkata: “Saya sepatutnya boleh buat lebih baik di Bangkok, tetapi peranan bek kanan ketika menyerang menyukarkan saya melakukan hantaran terakhir.”
“Pada awalnya keadaan kurang baik, tetapi saya kemudian menyesuaikan diri,” katanya lagi.
Beliau berkata pertimbangan jangka panjang pendidikan dan keluarga mendorong kepulangannya ke Singapura.
Setelah mengetahui kedudukannya, Sailors pantas mendapatkan khidmat pemain tengah itu sebagai pemain baru pertengahan musim, bersama pemain sayap Serbia, Luka Adzic.
Jurulatih Sailors, Aleksandar Rankovic, berkata Kyoga ialah pemain yang telah lama mereka kagumi, dengan ketenangan, kefahaman posisi dan keupayaan mengawal tempo yang menjadikannya antara pemain terbaik bola sepak Singapura serta sesuai dengan keperluan skuad.
“Pengalamannya dan keinginannya untuk berjaya akan memberi suntikan semangat kepada pasukan dalam usaha kami pada bulan-bulan akan datang,” tambah Rankovic.
Pengarah sukan Sailors, Luka Lalic, berkata peluang mendapatkan pemain bermutu seperti Kyoga mencerminkan hasrat kelab membina pasukan bagi jangka panjang sambil terus bersaing di tahap tertinggi.
“Beliau berkata Kyoga sudah terbukti dalam bola sepak Singapura, dan etika kerja serta profesionalismenya dijangka meningkatkan prestasi pasukan. Kami teruja untuk melihat kesannya dalam masa terdekat,” katanya.
Nakamura dikenali sebagai antara pemain teknikal terbaik SPL, sekali gus menjadi pemain kelahiran Jepun pertama menerima kewarganegaraan Singapura pada Oktober 2024.
Sejak itu, beliau telah mengumpul 17 kaps antarabangsa dan menjaringkan dua gol, membantu Singapura mencatat kelayakan bersejarah ke Piala Asia 2027.
Namun, beliau masih belum memenangi sebarang piala utama di peringkat kelab.
Walaupun beliau mengakui “amat indah” jika dapat memecahkan kebuntuan itu pada penampilan sulungnya bersama Sailors, beliau kekal tenang menjelang perlawanan akhir Piala Asia 2027.
Nakamura berkata keutamaan beliau bukan semata-mata kejuaraan, sebaliknya memperbaiki diri setiap hari.
“Harapan pertama saya tahun ini (2026) ialah kekal bebas daripada kecederaan. Saya perlu menjaga persiapan, pemakanan dan waktu rehat agar dapat beraksi 100 peratus untuk Singapura dan Sailors,”ujarnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg