Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Legenda bola setempat, luar negara bakal rentap dalam kejohanan tujuh sepasuk

Kelab terkemuka Eropah, Amerika Selatan dan Asia akan merebut kejuaraan sulung Soccer7sSeries
Jul 8, 2025 | 7:32 PM
Kejohanan bola sepak tujuh sepasuk – ‘Soccer7sSeries’ – buat julung-julung kali akan diadakan di Singapura dari 25 hingga 27 Julai di Stadium Jalan Besar. Acara undian kumpulan bagi kejohanan itu turut dihadiri (dari kiri) pemain Singapore FC untuk kategori Masters, Zulfadli Zainal, Shahfiq Ghani, Khairul Amri, Shahril Ishak; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ‘Soccer7sSeries’, Encik Dom Lane; Pengarah (Transformasi Liga), Sport Singapore, Encik Benjamin Tan; pemain Singa Legends, Aleksandar Duric; Pengarah Perkongsian, FAS, Cik Lynn Koh; serta pemain Singapore FC, Fazrul Nawaz dan Daniel Bennett.
Kejohanan bola sepak tujuh sepasuk – ‘Soccer7sSeries’ – buat julung-julung kali akan diadakan di Singapura dari 25 hingga 27 Julai di Stadium Jalan Besar. Acara undian kumpulan bagi kejohanan itu turut dihadiri (dari kiri) pemain Singapore FC untuk kategori Masters, Zulfadli Zainal, Shahfiq Ghani, Khairul Amri, Shahril Ishak; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ‘Soccer7sSeries’, Encik Dom Lane; Pengarah (Transformasi Liga), Sport Singapore, Encik Benjamin Tan; pemain Singa Legends, Aleksandar Duric; Pengarah Perkongsian, FAS, Cik Lynn Koh; serta pemain Singapore FC, Fazrul Nawaz dan Daniel Bennett. - Foto SOCCER7SERIES

Peminat bola sepak bakal disajikan dengan aksi menarik apabila pemain legenda Singapura seperti Shahril Ishak dan Aleksandar Duric, berentap dengan bekas bintang Liga Perdana England (EPL) termasuk Paul Konchesky, Wes Morgan dan Danny Drinkwater dalam kejohanan bola sepak tujuh sepasukan – ‘Soccer7sSeries’.

Buat julung-julung kalinya, kejohanan tersebut akan diadakan di Singapura dari 25 hingga 27 Julai di Stadium Jalan Besar.

Ia akan menampilkan kelab terkemuka Eropah, Amerika Selatan dan Asia.

Antaranya Borussia Dortmund, Leicester City, Hashtag United, Corinthians, Vasco da Gama, Shanghai Shenhua dan Persib Bandung.

Selain itu, pasukan yang dibarisi beberapa pemain legenda tempatan – Singapura Football Club dan Singa Legends – juga akan turun padang.

Bercakap kepada media di acara undian kejohanan yang diadakan di Hotel Voco Orchard pada 8 Julai, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ‘Soccer7sSeries’, Encik Dom Lane, berkata beliau ingin membawa konsep kejohanan ‘Hong Kong Soccer 7s’ yang sudah diadakan di sana selama 25 tahun ke Singapura.

Beliau menyifatkan kejohanan seperti itu popular di Eropah, maka ingin mengembangkannya di rantau Asia.

“Format bola sepak kini semakin berubah dengan adanya Kings League dan Baller League di Eropah – dua kejohanan yang kini popular, khususnya dalam kalangan generasi Z.

“Apa yang kami lakukan hanyalah membawa kejohanan ini kembali, memperluaskannya, dan memastikan ia relevan serta menarik untuk generasi itu,” ujarnya.

Kejohanan ‘Soccer7sSeries’ menampilkan tiga kategori – Terbuka Lelaki dan Wanita yang menghimpunkan bintang muda, manakala legenda bola sepak akan beraksi dalam kejohanan Masters.

Pasukan Leicester City Masters akan menampilkan beberapa pemain utama daripada skuad legenda Leicester City yang menjuarai Liga Perdana England musim 2015/16.

Ia termasuk kapten Wes Morgan, Danny Drinkwater, Danny Simpson, Robert Huth dan Marc Albrighton.

Sementara itu, sebuah pasukan All-Stars turut akan diturunkan yang diwakili bekas penyerang EPL, Marlon Harewood dan Paul Konchesky, yang pernah beraksi untuk Liverpool dan pasukan kebangsaan England.

Bekas pemain EPL yang lain seperti Dean Ashton, David Nugent, serta Robert Earnshaw yang menjaringkan 16 gol antarabangsa untuk Wales juga akan turut serta.

Permainan akan berlangsung dalam dua separuh masa, masing-masing selama tujuh minit, di padang berukuran 95 meter kali 45 meter – lebih kecil berbanding padang biasa, namun dengan intensiti tinggi.

Satu ciri baru dalam kejohanan itu ialah tiada penalti shootout sekiranya keputusan seri selepas masa penuh.

Sebaliknya, permainan akan diteruskan dalam format empat lawan empat selama empat minit.

Jika tiada jaringan, ia akan bertukar kepada tiga lawan tiga selama tiga minit, dan seterusnya berlanjutan hingga satu lawan satu sehingga gol dihasilkan.

Selain itu, peraturan ofsaid juga tidak akan diaplikasikan dalam kejohanan ini.

Bercakap kepada Berita Harian (BH) selepas acara undian kejohanan, Shahril Ishak, berkata sesuai dengan perayaan 60 tahun Singapura, kejohanan tersebut merupakan satu detik bermakna bagi warganegara.

Beliau yang merupakan kapten Singapore FC untuk kategori Masters berkata:

“Saya berharap peminat akan datang memberikan sokongan kepada kami, bukan sahaja untuk pasukan Singapore FC, bahkan kepada bekas pemain kebangsaan yang kembali daripada persaraan, yang telah mula berlatih dengan gigih.

“Ia memang mencabar, tetapi kami sangat teruja.”

Seorang lagi bekas penyerang Singapura, Aleksandar Duric, menambah mereka bukan sahaja teruja untuk kejohanan kali ini, bahkan untuk edisi akan datang.

Beliau yang akan beraksi untuk Singa Legends, ingin melihat kejohanan itu berkembang dengan lebih banyak penyertaan pasukan.

“Saya rasa sudah banyak perkara positif dalam kejohanan tahun ini (2025). Jadi saya tidak sabar untuk bermain menentang rakan sepasukan lama saya.

“Kami memang kawan baik, tetapi apabila kejohanan bermula, semuanya serius hingga wisel penamat,” katanya sambil berseloroh.

Undian Kejohanan bagi Soccer7sSeries 2025.
Undian Kejohanan bagi Soccer7sSeries 2025. - Foto SOCCER7SERIES
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg