Man City bangkit akhiri keunggulan Liverpool di Anfield
City rapatkan jurang dengan pendahulu EPL Arsenal kepada hanya 6 mata
LONDON: Satu generasi penyokong Manchester City tidak pernah menikmati kemenangan di Anfield (stadium Liverpool), namun segalanya berubah pada malam 8 Februari yang penuh debaran.
Dengan Liverpool mendahului 1-0 hingga minit ke-84, penyokong City hampir berputus asa sebelum kapten Bernardo Silva dan penyerang Erling Haaland mencetus kebangkitan pada lewat permainan untuk menghadiahkan kemenangan yang sukar dilupakan buat pasukan kendalian Pep Guardiola.
Sorakan memuncak apabila pemain sayap Rayan Cherki melepaskan rembatan gol ketiga daripada kawasan padang sendiri ke gawang kosong, namun jaringan itu dibatalkan oleh penolong pengadil video (VAR).
Apa jua keputusannya, suasana tetap meriah apabila penyokong enggan berganjak selepas wisel penamat, meraikan kemenangan liga yang ketiga City di Anfield sejak 1981.
Keputusan itu juga memastikan City terus berpeluang rebut kejuaraan Liga Perdana England (EPL).
Guardiola sempat berseloroh kemenangan mereka di Anfield lima tahun lalu “tidak dikira” kerana ia berlangsung tanpa penonton akibat sekatan Covid-19.
Kebangkitan itu menyaksikan City kini hanya enam mata di belakang pendahulu EPL Arsenal.
Liga masih berbaki 13 perlawanan, termasuk kunjungan Arsenal ke Etihad pada April ini.
Guardiola mengakui Anfield, gelanggang Liverpool, sentiasa menjadi cabaran besar dengan tradisi, sejarah dan sokongan padu penyokong yang menjadikan segalanya terasa lebih sempit berbanding Stadium Etihad.
Beliau berkata kekalahan pasti mencetus persoalan tentang peluang meraih kejuaraan EPL, namun ketinggalan enam mata tetap lebih baik berbanding sembilan mata, walaupun Arsenal merupakan pesaing yang sangat kuat.
“Baki 10 perlawanan terakhir musim sentiasa mencabar. Tumpuan kami adalah untuk terus berada dalam kelompok teratas dan memperbaiki persembahan kerana prestasi kami pada separuh masa kedua tidak memuaskan,” kata Guardiola.
City hanya mampu terus mengekori Arsenal dan mengambil kesempatan jika berlaku kesilapan, tambahnya.
Kegembiraan jelas terpancar sehingga seorang penyokong yang terlalu teruja menceroboh padang sebelum diiring keluar oleh pegawai keselamatan.
Ia merupakan penamat luar biasa kepada satu lagi pertembungan mengasyikkan yang berulang kali menyajikan detik mendebarkan dalam saingan Guardiola dengan Jurgen Klopp, dan kini Arne Slot.
Kedua-dua pasukan ini merupakan hanya dua pasukan yang menjuarai EPL dalam tempoh lapan tahun lalu, dan meskipun Liverpool kini di tangga keenam, City masih kekal bersaing.
Bekas penjaga gol England, Paul Robinson berkata kemenangan ini boleh memberi lonjakan keyakinan besar kerana pada tahap musim seperti ini, membina rentetan keputusan positif adalah kunci.
Katanya, City mungkin masih berada dalam perebutan ini.
Susulan kemenangan 3-0 di Etihad lebih awal musim ini, City turut mencatat kemenangan berganda ke atas Liverpool dalam liga buat kali pertama sejak musim 1936 hingga 1937.
Bekas kapten Manchester United, Wayne Rooney, menyifatkan kemenangan itu amat penting kerana Anfield adalah tempat sukar untuk ditawan, sambil memuji daya juang City selepas ketinggalan.
Silva yang baru pulih daripada kecederaan hamstring menjadi pencetus kebangkitan apabila menyempurnakan peluang bagi gol penyamaan.
Beliau kini telah membuat 16 penampilan menentang Liverpool dan tiga golnya di Anfield menyamai rekod penjaring terbanyak City di stadium itu bersama Nicolas Anelka dan Ilkay Gundogan.
Haaland pula menjaringkan gol pertamanya di Anfield menerusi penalti kemenangan pada minit ketiga dalam masa tambahan.
Silva berkata pasukannya sedar kekalahan mungkin menamatkan saingan kejuaraan, namun harapan masih ada dan mereka akan terus berjuang.
Guardiola memuji sumbangan Silva dengan menyifatkannya sebagai kapten sempurna dan seorang legenda kelab itu.

