Skuad bola sepak Singapura tumpas 1-2 di tangan Yemen dalam perlawanan pembukaan Kumpulan C kelayakan Piala Asia Bawah 23 Tahun AFC.
Kelalaian di bahagian pertahanan pada separuh masa pertama meranapkan impian pasukan Singapura untuk melakar kemenangan pada hari pertama kelayakan yang berlangsung di Stadium Viet Tri, Phu Tho, Vietnam pada 3 September.
Peluang itu disempurnakan Wadeea Ebrahim dan Abdulaziz Masnom, yang meletakkan Yemen di hadapan pada separuh masa pertama.
Walaupun memulakan perlawanan dengan hambar, Singapura bangkit dengan nafas baru pada separuh masa kedua untuk memberikan tekanan ke atas pasukan Yemen.
Usaha itu akhirnya membuahkan hasil apabila penyerang kebangsaan, Louka Tan-Vaissiere, merapatkan jurang pada minit ke-80.
Yemen kini menduduki tangga teratas Kumpulan C, manakala Singapura di tangga tercorot.
Perlawanan antara Vietnam dengan Bangladesh sedang berlangsung ketika berita dicetak.
Singapura memulakan perlawanan dengan baik apabila pada minit pertama permainan, pemain tengah yang beraksi di Portugal bersama FC Vizela, Muhammad Asis, melakukan rembatan dari luar kotak penalti yang tersasar tinggi.
Namun, Singapura gagal meneruskan rentak tersebut apabila Yemen terus mengawal permainan dan kerap melakukan percubaan.
Asakan itu memberikan tekanan ke atas Singa, dan pada minit ke-16, pemain pertahanan, Raoul Suhaimi, disalahkan kerana menjatuhkan pemain Yemen.
Anwar Al-Turaiqi mengambil sepakan penalti tersebut, namun percubaannya berjaya ditepis penjaga gawang, Aizil Yazid.
Namun, pemain Yemen lebih pantas menyambar bola yang ditepis itu, yang kemudian disudahkan oleh Ebrahim untuk membuka tirai jaringan perlawanan.
Anak didik Firdaus Kassim cuba untuk memberi saingan namun sering dipatahkan oleh tekanan tinggi Yemen yang terus mengasak.
Masnom jelas menjadi duri dalam daging apabila hantarannya dari bahagian tengah berjaya menemui Mohammed Esam Al-Awami.
Dalam situasi satu lawan satu, Aizil berdiri teguh untuk menafikan rembatan Al-Awami.
Namun, Singapura sekali lagi dihukum dengan sepakan penalti pada minit ke-45, selepas Andrew Aw menjatuhkan salah seorang pemain Yemen di dalam kotak penalti.
Masnom merembat masuk penalti untuk memberikan kelebihan 2-0 kepada Yemen sebelum memasuki separuh masa kedua.
Selepas permulaan hambar, Firdaus melakukan perubahan taktikal pada separuh masa kedua dengan memasukkan penyerang Kian Jared Ghadessy dan pemain tengah Rae Peh.
Berbeza dengan separuh masa pertama, Singapura kelihatan lebih selesa mengawal permainan dengan adanya titik fokus di bahagian serangan.
Hasil perubahan itu, Singapura tampil lebih berani memberi tekanan kepada Yemen, namun masih buntu mencari jaringan sehingga minit ke-80.
Louka berjaya mengawal tandukan hantaran Khairin Nadim dengan baik sebelum melepaskan rembatan yang menewaskan pertahanan Yemen.
Singapura hampir menyamakan kedudukan pada penghujung perlawanan, namun rembatan Khairin Nadim ditepis penjaga gawang Yemen, manakala bola yang ditepis itu gagal disempurnakan oleh Andrew Aw.
Singapura kini akan berdepan Vietnam pada 6 September (8 malam waktu Singapura) untuk perlawanan kedua Kumpulan C.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg