Skuad bola sepak kebangsaan bawah 23 tahun akan bermain “bermati-matian” dalam kelayakan Piala Asia Bawah 23 Tahun AFC.
Demikian tekad yang dinyatakan ketua jurulatih pasukan itu, Firdaus Kassim, menjelang perlawanan pertama Kumpulan C menentang Yemen pada 3 September, 5 petang (waktu Singapura).
Dalam satu wawancara bersama Berita Harian (BH), Firdaus berkata:
“Peminat boleh jangka untuk menyaksikan pasukan ini akan memberikan segalanya dalam setiap kali melangkah ke padang.
“Para pemain komited, mereka memahami tanggungjawab setiap kali memakai jersi kebangsaan, dan mereka mahu membanggakan Singapura.”
Semangat juang itu muncul pada waktu yang paling tepat.
Skuad bawah 23 tahun Singapura terlepas daripada kebimbangan awal – hampir tidak dapat beraksi dalam Sukan SEA 2025, selepas rayuan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) bagi menghantar pasukan ke temasya itu diterima Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (Snoc).
Kini, Firdaus bertekad untuk menzahirkan berita baik itu melalui prestasi cemerlang pasukannya di padang sepanjang kejohanan.
Singapura ditempatkan dalam Kumpulan C bersama Yemen, Vietnam, dan Bangladesh di kelayakan yang berlangsung dari 3 hingga 9 September di Stadium Viet Tri, Phu Tho, Vietnam.
Selepas Yemen, anak didik Firdaus akan menentang Vietnam pada 6 September pada 8 malam, dan menamatkan kempen mereka menentang Bangladesh pada 9 September pada 5 petang.
Mengulas mengenai berita tersebut, Firdaus berkata:
“Sudah tentu, ia adalah berita yang positif. Tetapi fokus kami kekal pada tugas yang perlu dilaksanakan di padang.
“Para pemain tahu bahawa cara terbaik untuk bersedia menghadapi Sukan SEA ialah dengan memberikan segalanya di sini, di Vietnam, dan di situlah tumpuan tenaga kami diarahkan.”
Firdaus disaji dengan masalah yang baik apabila pemilihan bagi skuad kali ini dianggapnya sebagai amat kompetitif.
Beliau berkata pemain dipilih bukan sahaja dari segi kebolehan, tetapi juga mentaliti, disiplin dan komitmen mereka terhadap pasukan.
Dengan purata usia hanya 20 tahun, skuad kali ini adalah antara yang termuda dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Ini termasuk tiga pemain berusia 17 tahun, Harith Danish, Luth Harith dan Rae Peh.
“Ya, ini skuad muda, tetapi itu juga bermakna kami mempunyai pemain yang berkobar-kobar ingin belajar dan membuktikan kemampuan mereka.
“Mereka telah berusaha keras dalam latihan dan perlawanan, dan kejohanan ini akan menjadi peluang yang baik untuk mereka berkembang bersama-sama sambil menguji diri menentang lawan yang kuat,” ujar beliau.
Skuad itu turut diperkukuh dengan pemain yang beraksi di luar negara, iaitu Jonan Tan, Muhammad Asis, dan Khairin Nadim, yang ketiga-tiganya bermain dengan kelab Portugal, FC Vizela.
Ini di samping beberapa pemain yang sudah membuktikan keupayaan mereka dalam liga tempatan, termasuk Amir Syafiz, Andrew Aw, dan penyerang Hougang United, Louka Tan-Vaissiere.
Menjelang perlawanan pembukaan menentang Yemen, Firdaus tidak menyangkal kehebatan pasukan negara tersebut, dan menjangkakan perlawanan pembukaan yang sukar.
“Bagi kami, perkara utama ialah mengekalkan disiplin, berpegang kepada prinsip, dan bersaing dalam setiap tindakan.
“Para pemain memahami kepentingan untuk bermula dengan cemerlang, dan persiapan kami – dari segi fizikal, mental, dan taktikal – telah diatur bagi memberi peluang terbaik dalam perlawanan pembukaan itu,” ujar beliau.
Menurut laman web FAS, anak didik Firdaus berangkat ke Vietnam selepas menjalani beberapa perlawanan persahabatan yang membantu mengasah kemahiran mereka bagi menghadapi kelayakan penting.
Antaranya, perlawanan tertutup menentang Filipina dan Malaysia serta latihan di Portugal, di mana mereka bermain enam perlawanan – tiga perlawanan terdiri daripada pemain tempatan, dan tiga terdiri daripada gabungan pemain tempatan dan import Young Lions.
Kelayakan kali ini menyaksikan 44 pasukan, yang telah dibahagikan kepada 11 kumpulan, yang akan berebut untuk menempah slot ke Piala Asia.
Sebelas pemenang kumpulan dan empat pasukan naib juara terbaik akan menyertai Arab Saudi, yang menjadi tuan rumah kejohanan itu buat kali pertama, dalam peringkat akhir pada Januari.
Skuad Singa bawah 23 tahun:
Penjaga gawang: Ainun Nuha, Aizil Yazid, Firman Nabil
Pertahanan: Adam Reefdy, Andrew Aw, Aqil Yazid, Junki Yoshimura, Kieran Teo, Luth Harith, Marcus Mosses, Raoul Suhaimi
Pemain tengah: Ajay Robson, Ethan Pinto, Harith Danish, Muhammad Asis, Ong Yu En, Rae Peh, Ryu Hardy
Penyerang: Amir Syafiz, Jonan Tan, Khairin Nadim, Kian Jared Ghadessy, Louka Tan-Vaissiere


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg