Moyes, Carrick mahu pastikan layak ke Eropah
Everton, Man Utd, bukan setakat berentap mahu menang tapi...
LONDON: Manchester United bertarung dengan Everton pada 24 Februari dengan memburu kemenangan yang boleh memperkukuh kedudukannya untuk melayakkan diri ke Liga Juara-Juara Eropah pada musim depan.
Everton, yang bergelar ‘The Toffees’ pula perlu menang, untuk menjamin tempatnya di sekurang-kurangnya Liga Europa musim depan.
Pertaruhan penting yang serupa – untuk melayakkan diri ke Eropah bagi kededua pasukan itu – bermakna mereka bukan bertarung hanya untuk tiga mata apabila bertempur di Stadium Hill Dickinson nanti, malah untuk menjamin kedudukan masing-masing dalam pertandingan yang didamba.
Bagi Manchester United, yang digelar ‘Red Devils’, perlawanan itu adalah peluang keemasan untuk mengukuhkan kedudukan mereka dalam kelompok empat teratas.
Di bawah bimbingan pengurus sementara, Michael Carrick, skuad United telah menunjukkan peningkatan prestasi yang ketara, terutama dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Mengelak kekalahan dan kemenangan demi kemenangan telah membina semula keyakinan dalam kalangan peminat setia Red Devils dan rentak itu perlu dikekalkan.
Sistem permainan United juga kini lebih teratur, dengan gandingan serangan yang semakin padu.
Kehadiran tonggak pertahanan seperti Lis Martinez yang berada di puncak prestasi, disokong oleh kreativiti bahagian tengah iaitu Bruno Fernandes, bermakna pemain muda seperti Kobbie Mainoo boleh bertarung dengan tenang di tengah padang dan mengatur serangan berbahaya.
Namun, Everton sentiasa memberikan cabaran yang sukar, terutama apabila beraksi di depan penyokong sendiri.
Di bawah pimpinan David Moyes, ‘The Toffees’ terkenal dengan corak permainan fizikal dan berdisiplin tinggi, yang sering menyukarkan pasukan besar.
Malah corak permainan sedemikian membolehkan Everton menewaskan Newcastle dan seri dengan Brighton – dua perlawanan yang menunjukkan pasukan yang dibina Moyes kian bersedia untuk Eropah.
Semasa Moyes menyertai Everton buat kali kedua pada Januari 2025, Everton berada di bahagian corot Liga Perdana England (EPL).
Buat masa ini, ia menduduki tempat kelapan, dalam tempat kelayakan Liga Europa dan hanya tujuh mata di belakang pasukan di tangga keempat.
Secara kebetulan dan menambah ‘drama’ bagi perlawanan ini, Moyes yang pernah memimpin Everton selama 11 tahun antara 2002 dengan 2013 – juga pernah memimpin United.
Beliau menyertai kelab itu pada 2013 berbekal tempoh cemerlang di Everton, tetapi dipecat pada tahun selanjutnya apabila prestasi pasukan didapati di bawah jangkaan.
Moyes, dalam beberapa wawancara sejurus selepas pemecatannya telah memberi bayangan beliau berasa telah dianiaya di United dan pastinya ingin membuktikan kepada bekas majikannya beliau lebih berkeupayaan daripada didakwa di kelab yang antara paling berjaya dalam sejarah EPL itu.
Justeru, Everton menerima kunjungan United dengan misi wajib menang, berbekal agenda peribadi pengurusnya.
Beberapa pertembungan individu dijangka menjadi penentu.
Tumpuan pasti terarah kepada persaingan di bahagian tengah.
Penguasaan bola dan ketenangan Casemiro akan diuji oleh kekerasan dan stamina pemain tengah Everton seperti Idrissa Gueye.
Siapa yang dapat menguasai ‘enjin’ di tengah padang, pasukan itulah yang akan lebih berpeluang mengawal rentak permainan.
Selain itu, bagaimana pertahanan Everton menangani pergerakan Benjamin Sesko akan menjadi faktor penting.
Jika Sesko, yang telah menunjukkan tanda-tanda kebangkitan kebelakangan ini diberikan ruang untuk bergerak, keupayaan beliau untuk mencipta peluang atau menjaringkan gol adalah amat tinggi.
Dijangka membendung beliau ialah James Garner, yang menunjukkan ketenangan dan ketangkasan pada musim ini.
Malah, Garner telah memulakan setiap perlawanan Everton musim ini dan kini disebut-sebut sebagai antara pemain yang boleh mewakili England di Piala Dunia.
Mengikut sejarah, United mempunyai rekod kemenangan lebih baik berbanding Everton semasa kededua pasukan bertemu.
United telah menang 95 perlawanan, sementara Everton menang 69 perlawanan dalam 212 perlawanan antara kededua kelab dalam semua pertandingan buat masa ini.
Namun dalam EPL, tiada perlawanan yang mudah.
Tekanan terhadap kedua-dua pasukan adalah tinggi, lebih-lebih lagi apabila pasukan memburu wang hadiah di pertandingan peringkat benua.
Everton dijangka memberikan tentangan sengit dengan faktor bermain di laman sendiri boleh memberi mereka kelebihan untuk mengatasi United.
Namun, United pada masa ini amat berbeza daripada United yang rapuh beberapa minggu lalu.
United di bawah pimpinan Carrick mampu ‘mengunci’ permainan selepas mendahului lawan dan keupayaan United menjaringkan gol dalam masa kecederaan, membayangkan malam yang sukar bagi Everton untuk mencipta kejutan.
Dalam analisis akhir, Manchester United dijangka akan mengatasi kecekalan Everton.
Perlawanan itu mungkin akan diselesaikan dengan perbezaan tipis, tetapi ‘Red Devils’ dijangka berjaya merangkul tiga mata penting di hadapan penyokong setia mereka.
Ramalan Keputusan: Everton 1 Man United 2

