Topik diikuti
Pergi ke BHkuNorway tamatkan penantian 28 tahun; gandingan berbisa Haaland-Odegaard sedia gegarkan padang
Norway tamatkan penantian 28 tahun; gandingan berbisa Haaland-Odegaard sedia gegarkan padang
Pasukan bimbingan Stale Solbakken mampu jadi pencabar hebat, menang lapan perlawanan kelayakan
Norway tamatkan penantian 28 tahun; gandingan berbisa Haaland-Odegaard sedia gegarkan padang
Menjelang Piala Dunia 2026, Berita Harian (BH) membawakan siri khas menampilkan pasukan yang bakal bertanding untuk merebut kejuaraan berprestij itu dan menjulang trofi, serta meninjau persiapan serta kekuatan dan kelemahan pasukan.
Sukar dipercayai pemain bertaraf dunia seperti Martin Odegaard dan Erling Haaland hanya bakal membuat penampilan pertama mereka di Piala Dunia Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) pada 2026.
Walaupun memiliki beberapa bintang terbesar bola sepak dunia, Norway sudah sekian lama tidak beraksi di pentas tertinggi itu.
Apabila mereka turun beraksi di kejohanan yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Canada dan Mexico, ia akan menandakan tamatnya penantian selama 28 tahun sejak penampilan terakhir Norway di Piala Dunia.
Kali terakhir negara Scandinavia itu beraksi di kejohanan tersebut adalah pada 1998 sebelum perjalanan mereka terhenti di pusingan 16 terbaik di tangan Italy.
Kali ini, Norway hadir dengan keyakinan yang jauh berbeza.
Di bawah bimbingan jurulatih Stale Solbakken, mereka melayakkan diri dengan penuh bergaya menerusi lapan kemenangan daripada lapan perlawanan kelayakan.
Rekod sempurna itu membuktikan bahawa Norway bukan lagi pasukan pelengkap jadual, sebaliknya satu skuad ‘kuda hitam’ yang mampu mencabar sesiapa sahaja.
Bagi Solbakken, beliau tidak begitu risau akan jangkaan luaran bagi pasukannya dan menggesa anak didiknya untuk mempamerkan bakat mereka.
“Bagi Norway, Piala Dunia inilah yang digunakan untuk mengekspresikan diri mereka, untuk menunjukkan kepada dunia bahawa kami bermain gaya bola sepak yang berbeza daripada apa yang kami lakukan sebelum ini, dan kami adalah pasukan yang menyerang,” katanya.
Solbakken berjaya membentuk apa yang dianggap ramai sebagai generasi terbaik dalam sejarah bola sepak Norway.
Gabungan pemain berpengalaman dan bakat muda menjadikan Norway antara pasukan yang berpotensi mencuri perhatian di pentas Piala Dunia.
Di bahagian tengah, kapten pasukan Odegaard kekal sebagai nadi utama pasukan.
Walaupun musimnya bersama Arsenal tidak begitu konsisten akibat kecederaan, beliau masih merupakan pemain paling penting dalam aspek kreativiti.
Keupayaannya mencari ruang dan menghasilkan hantaran yang membuka pertahanan lawan menjadikannya senjata utama pasukan.
Nasib baik buat Odegaard, beliau mempunyai barisan penyerang yang mampu menterjemahkan peluang menjadi gol.
Apabila topik menjaringkan gol dibincangkan, tumpuan pastinya terarah kepada Haaland.
Penyerang Manchester City itu telah membuktikan ketajamannya di pentas tertinggi bola sepak Eropah dan kini berpeluang membuat impak besar di kejohanan antarabangsa terbesar dunia.
Selepas memenangi pelbagai trofi di peringkat kelab, Piala Dunia menjadi pentas baharu untuknya membuktikan kehebatan beliau.
Walaupun mengakui bebanan tekanan yang digalas, beliau memilih untuk menjadikannya sebagai pembakar semangat.
“Sejak saya membuat penampilan pertama saya buat negara pada 2019, matlamat utama saya adalah untuk membawa Norway ke Piala Dunia,” kata penyerang berusia 25 tahun itu.
“Banyak tekanan yang jatuh ke bahu saya tapi saya nikmati tekanan tersebut... Sekarang kami mempunyai generasi (pemain) yang sangat hebat dan kami ingin bina dari asas tersebut.”
Namun, kekuatan Norway tidak hanya bergantung kepada Haaland semata-mata.
Alexander Sorloth muncul sebagai antara penyerang paling konsisten di Sepanyol dalam beberapa musim kebelakangan ini.
Aksinya bersama Atletico Madrid menjadikannya pasangan yang ideal buat Haaland di jentera serangan.
Selain itu, Norway turut memiliki pilihan lain dalam diri Jorgen Strand Larsen yang menawarkan kekuatan fizikal serta keupayaan bermain sebagai penyerang sasaran.
Di bahagian sayap pula, bakat muda Antonio Nusa dijangka menjadi antara pemain yang mencuri perhatian.
Kelajuan dan keberaniannya menggelecek mampu memberikan masalah besar kepada pertahanan lawan.
Sementara itu, Oscar Bobb menawarkan kreativiti dan kemahiran teknikal yang membolehkannya mencipta peluang sama ada untuk dirinya sendiri atau rakan sepasukan.
Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa Norway memiliki salah satu jentera serangan paling menarik di kejohanan ini.
Hubungan antara Odegaard dengan Haaland bakal menjadi kunci utama, manakala ketajaman Sorloth memberikan mereka satu lagi dimensi dalam usaha mencari gol.
Di benteng pertahanan, Kristoffer Ajer dijangka memainkan peranan penting sebagai tonggak utama pasukan.
Pengalamannya di Liga Perdana England (EPL) menjadikannya pemain yang mampu memimpin barisan pertahanan dengan baik.
Di samping itu, Julian Ryerson hadir dengan reputasi yang semakin meningkat selepas musim cemerlang bersama Borussia Dortmund, termasuk sumbangan yang ketara dari aspek serangan.
Walaupun begitu, persoalan terbesar yang mungkin menghalang Norway daripada melangkah terlalu jauh adalah pengalaman.
Berbanding kuasa besar seperti Perancis, Argentina, Sepanyol dan Brazil, kebanyakan pemain Norway masih belum pernah merasai tekanan sebenar perlawanan kalah mati di kejohanan utama.
Selain itu, walaupun serangan mereka bertaraf dunia, bahagian pertahanan masih belum benar-benar diuji menentang pasukan elit yang memiliki mutu tinggi di semua posisi.
Dalam kejohanan seperti Piala Dunia, perbezaan antara mara dengan tersingkir sering ditentukan oleh keupayaan bertahan ketika berdepan lawan lebih kuat.
Atas sebab itu, kemaraan pusingan 32 pasukan terbaik mungkin boleh dianggap sebagai pencapaian yang sangat berjaya buat Norway.
Mereka memiliki mutu yang mencukupi untuk melepasi peringkat kumpulan namun dijangka kecundang di peringkat kalah mati.
Namun untuk melangkah lebih jauh, mereka perlu membuktikan bahawa generasi emas ini mampu mengatasi kekurangan pengalaman di pentas terbesar dunia.
Apa yang pasti, selepas menunggu hampir tiga dekad untuk kembali ke Piala Dunia, Norway tidak hadir sekadar untuk mencukupkan jumlah peserta.
Dengan Haaland, Odegaard dan barisan pemain berbakat di sekeliling mereka, skuad kendalian Solbakken mempunyai segala ramuan untuk muncul sebagai salah satu pasukan ‘kuda hitam’ di kejohanan tersebut.
Ramalan wartawan: Cabaran Norway sejauh pusingan 32 pasukan terbaik
Pasukan di Kumpulan I: Perancis, Senegal, Iraq, Norway
Jadual Perlawanan Norway (waktu Singapura):
17 Jun: Iraq lawan Norway (6 pagi)
23 Jun: Norway lawan Senegal (8 pagi)
27 Jun: Norway lawan Perancis (3 pagi)
