Topik diikuti
Pergi ke BHkuPemain England kecewa dengan taktik defensif Tuchel
Pemain England kecewa dengan taktik defensif Tuchel
Pengurus pertikai DNA pasukan, ekoran tewas kepada Argentina
Pemain England kecewa dengan taktik defensif Tuchel
NEW YORK: Taktik defensif England dalam kekalahan 1-2 menentang Argentina pada separuh akhir Piala Dunia pada 16 Julai (waktu Singapura) telah menjadi topik perbualan utama – dengan topik itu turut menjadi perdebatan hangat dalam kalangan pemain pasukan Thomas Tuchel itu.
Menurut beberapa sumber, sekumpulan pemain utama berasa kecewa dengan cara pasukan mereka mendekati saat-saat akhir perlawanan tersebut.
Namun begitu, Tuchel turut mengeluarkan kenyataan terbaru mengenai perkara itu.
Beliau berkata tidak pernah ada rancangan bagi pasukan itu mengambil sikap defensif, dan “mungkin bukan dalam DNA kami... untuk mengawal perlawanan dan bola”.
Mendahului 1-0 dengan baki 35 minit untuk dimainkan, England kelihatan berada di landasan untuk melangkah ke final Piala Dunia pertama mereka sejak 1966.
Namun peralihan momentum itu amat mengejutkan.
Walaupun wajar bagi Argentina untuk mula mengejar perlawanan, England dikritik kerana kelihatan seperti menyerahkan inisiatif kepada lawan mereka.
Ketua jurulatih England, Tuchel, telah menyusun pasukannya dengan lima pemain pertahanan untuk mempertahankan kelebihan mereka.
Namun kelebihan itu tidak mendatangkan hasil pada saat-saat akhir, di tengah-tengah asakan bertubi-tubi daripada Argentina.
Pengulas BBC Sport, Wayne Rooney, berkata kekalahan itu “bermula daripada jurulatih dan keputusan yang dibuatnya”.
Sejurus selepas kekalahan itu, ramai berasa yakin bahawa cara pasukan itu disusun selepas mendahului jaringan merupakan salah satu punca kejatuhan mereka.
Terdapat sekurang-kurangnya tiga pemain senior yang mengadu secara peribadi mengenai pendekatan pasukan itu pada saat-saat akhir perlawanan tersebut.
Ramai mengakui bahawa langkah menyerahkan ruang di padang ketika mempertahankan kelebihan adalah satu naluri semula jadi pemain.
Namun, pada masa yang sama, dipercayai terdapat kesepakatan dalam kalangan sesetengah pemain bahawa pertukaran taktik dan pemain oleh Tuchel telah memburukkan lagi langkah defensif mereka.
Sesetengah pemain percaya bahawa pasukan itu sepatutnya diberikan lebih kebebasan untuk mengasak pemain lawan pada saat-saat akhir dalam usaha menolak Argentina jauh dari gawang mereka, atau sekadar memberikan sedikit kelegaan kepada barisan pertahanan.
Namun sebaliknya, walaupun sesetengah pemain menganggapnya sebagai tindakan pasukan itu untuk mengeluarkan bola dari kawasan bahaya dan menyusun semula formasi pertahanan mereka, ia merupakan taktik yang tidak dipersetujui sesetengah pemain.
Terdapat juga pandangan daripada sesetengah pemain bahawa mereka sepatutnya lebih berani dan tegas pada saat-saat akhir itu – bukan semestinya menyerang habis-habisan mencari gol kedua, tetapi mengimbangi antara menahan tekanan Argentina sambil turut memberikan pihak lawan sesuatu untuk dirisaukan jika England menyerang.
Sudah tentu, pemain yang tidak semestinya bersetuju dengan pendekatan jurulatih mereka bukanlah perkara luar biasa.
Pemain bola sepak profesional biasa melaksanakan arahan, walaupun mereka tidak bersetuju dengan hala tuju arahan tersebut.
Namun, sedikit sebanyak kekecewaan pemain terhadap cara England diarahkan untuk menamatkan perlawanan itu pasti melukiskan gambaran menarik menjelang baki tempoh Tuchel sebagai ketua jurulatih.
Dalam kenyataan terbaru yang diberikan kepada media Britain, Tuchel ditanya secara terperinci mengenai taktik dan pendekatan itu.
“Saya rasa sejurus selepas gol itu, momentum beralih sepenuhnya dari segi penguasaan bola, peluang, dan ia merosot secara mendadak,” kata Tuchel.
“Kami menjadi terlalu pasif dalam struktur kami.
“Saya cuba membantu, bukan untuk menjadi lebih pasif dengan lima pemain pertahanan tetapi untuk menjadi lebih aktif, untuk lebih pantas keluar kepada pemain sayap, supaya tidak membuka jurang antara empat pemain pertahanan.
“Kami menggalakkan semua orang melangkah keluar dan lebih aktif dalam struktur itu, tetapi kami hadapi kesukaran.
“Kami tidak lagi dapat menang persaingan bola, itulah sebabnya kami semakin bertahan. Ini bukan rancangan kami, tetapi ia berlaku juga.
“Mungkin ia bukan dalam DNA kami seperti dalam DNA Sepanyol atau DNA Argentina atau Brazil untuk menguasai bola, mengawal perlawanan dan bola, yang juga merupakan masalah besar,” katanya. – Agensi berita.
