Topik diikuti
Pergi ke BHkuPiala Asia di Arab Saudi ditangguh hingga Dis 2027
AFC sahkan kejohanan ditunda akibat kebimbangan keselamatan di Arab Saudi; skuad Singa perlu tunggu lebih lama sebelum berpeluang aksi di pentas terbesar bola sepak Asia
Piala Asia di Arab Saudi ditangguh hingga Dis 2027
Kempen Piala Asia yang dinanti-nantikan skuad bola sepak Singapura ditangguhkan selepas Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengesahkan pada 3 November bahawa kejohanan 2027 itu ditunda ke Disember berikutan kebimbangan keselamatan di Arab Saudi.
Kejohanan itu kini dijadualkan berlangsung dari 23 Disember 2027 hingga 21 Januari 2028.
Kejohanan 24 pasukan itu pada asalnya dijadualkan berlangsung dari 5 Januari hingga 7 Februari di Jeddah, Riyadh dan Al Khobar.
Dalam kenyataan media, AFC berkata keputusan itu dibuat selepas perbincangan dan rundingan mendalam dengan jawatankuasa penganjur tempatan serta Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi.
Menurut AFC, penangguhan itu dibuat “berikutan keadaan luar biasa akibat perkembangan di rantau tersebut, termasuk masalah logistik yang rumit dan gangguan besar terhadap perjalanan”.
Tarikh baharu akan dikemukakan kepada badan induk bola sepak dunia, Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), untuk kelulusan.
Singapura mencipta bersejarah – kali pertama layak secara merit – selepas menewaskan Hong Kong 2-1 pada November 2025, menamatkan kempen kelayakan tanpa kalah dengan empat kemenangan dan dua keputusan seri di padang sendiri dan lawan menentang Hong Kong, India dan Bangladesh.
Di Piala Asia nanti, skuad Singa diundi bersama kumpulan gergasi dari Australia, Iraq dan Tajikistan dalam Kumpulan D.
Kapten Singa, Hariss Harun, berkata pasukannya amat menantikan kejohanan itu, namun mengakui penangguhannya “sudah dijangka”.
“Kini kami perlu mencari cara terbaik untuk membuat persiapan,” katanya.
“Kami mempunyai lebih banyak masa, tetapi tumpuan tetap sama.”
Penganjuran kejohanan itu diragui selepas Arab Saudi menjadi sasaran serangan berterusan kumpulan Houthi dari Yaman yang disokong Iran, susulan peningkatan konflik di Timur Tengah.
Kumpulan Houthi melancarkan serangan balas terhadap sokongan Arab Saudi kepada tentera pemerintah Yaman dalam perang saudara di negara itu yang tercetus semula pada September akibat konfrontasi Amerika Syarikat-Iran di rantau Teluk, dengan menyasarkan lapangan terbang, pelabuhan dan kemudahan minyak menggunakan peluru berpandu balistik serta dron.
Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid dilaporkan berulang kali diserang, termasuk pada 10 Oktober yang mengorbankan sekurang-kurangnya 13 jiwa.
Tiga perlawanan liga bola sepak Arab Saudi, termasuk membabitkan kelab Al Nassr yang diwakili Cristiano Ronaldo, ditunda pada Oktober.
Lima daripada lapan lokasi pertandingan Piala Asia terletak di Riyadh, yang dijadualkan menganjurkan 31 perlawanan termasuk perlawanan akhir.
Singapura pada asalnya dijadualkan membuka kempen menentang Australia pada 9 Januari, diikuti menentang Tajikistan pada 14 Januari di Riyadh, dan perlawanan terakhir kumpulan menentang Iraq pada 19 Januari.
Dua pasukan teratas setiap kumpulan dan empat pasukan di tangga ketiga terbaik berpeluang mara ke peringkat kalah mati.
Penangguhan itu turut menjejas rancangan penyokong setia Singa yang sudah membuat persiapan untuk menyaksikan pasukan itu beraksi secara langsung.
Antaranya Faris Kassim, yang telah menempah penerbangan, penginapan dan tiket bagi semua perlawanan peringkat kumpulan skuad Singa.
Faris, seorang pereka interaktif, berkata beliau membelanjakan antara $2,500 dengan $3,000 dan merancang membatalkan tempahan penerbangan serta penginapan. Beliau yakin dapat menerima bayaran balik sebahagian kos penerbangan dan bayaran balik penuh penginapan.
Walaupun mengakui penangguhan itu “agak dijangka”, beliau berkata masih “menaruh harapan” kejohanan tersebut berlangsung mengikut jadual asal.
Serangan itu turut mengganggu penerbangan Singapore Airlines (SIA) yang menangguhkan perkhidmatan ke Riyadh hingga 28 Mac dan membatalkan penerbangan Singapura-Dubai hingga 28 Februari 2027.
Scoot turut melanjutkan pembatalan penerbangan Singapura-Jeddah hingga 28 Februari akibat keadaan politik sejagat.
Ketua jurulatih Singa, Gavin Lee, perlu merangka semula persiapan anak didiknya.
Singapura akan menentang Paraguay pada 13 November dan Brazil pada 17 November di Stadium Negara, The Kallang, sebagai persiapan kejohanan.
Menjelang Disember 2027, pemain veteran Hariss Harun, Shawal Anuar dan Safuwan Baharudin akan berusia 36 tahun, manakala Izwan Mahbud 37 tahun.
Dua pemain tengah kerakyatan Singapura, Kyoga Nakamura dan Song Ui-young, masing-masing akan berusia 31 dan 33 tahun.
Mengulas faktor usia, Hariss berkata: “Sudah tentu ada di antara kami mahu beraksi di Piala Asia secepat mungkin. Faktor usia adalah di luar kawalan saya. Saya hanya mampu berusaha mengekalkan kecergasan terbaik dan berharap dapat menyumbang apabila kejohanan berlangsung nanti.”
Namun, penangguhan itu memberi Lee lebih masa untuk menyusun semula pasukan dan membuat persiapan selepas dibelasah 0-6 oleh pesaing utama Malaysia dalam perlawanan terakhir pada 1 Oktober.
Bek kiri pasukan, Nur Adam Abdullah, pemain kesayangan penyokong yang menjadi tonggak pasukan sejak kebelakangan ini, juga mungkin kembali beraksi selepas mengalami kecederaan lutut serius yang sebelum ini pasti menyebabkan beliau terlepas Piala Asia mengikut jadual asal.
Faris berkata: “Penangguhan ini bermakna pemain semakin berusia hampir setahun dan mungkin lebih sukar mencapai tahap kecergasan terbaik ketika itu.
“Namun, bagi pemain seperti Nur Adam, saya berharap penangguhan ini memberinya masa mencukupi untuk pulih daripada kecederaan dan kembali ke prestasi terbaik menjelang kejohanan.”
Dengan keperluan membina pasukan lebih mantap untuk masa depan, Lee perlu memberi lebih tumpuan kepada usaha mencari dan membawa masuk pemain muda berbakat yang mampu menyuntik tenaga serta semangat juang baharu.
Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) perlu menyemak semula perancangan musim Liga Perdana Singapura (SPL) yang sedang berlangsung.
FAS sebelum ini tidak menjadualkan perlawanan SPL pada Disember 2026 dan Januari 2027 kerana Piala Asia.
Singa hanya pernah menyertai Piala Asia pada 1984 sebagai tuan rumah kejohanan 10 pasukan itu tanpa perlu melalui pusingan kelayakan.