Topik diikuti
Pergi ke BHkuSalah terlepas baki perlawanan musim ini akibat kecederaan
Salah terlepas baki perlawanan musim ini akibat kecederaan
Penyerang Mesir itu dijangka berehat selama empat minggu
Salah terlepas baki perlawanan musim ini akibat kecederaan
KAHIRAH: Penyerang Liverpool, Mohamed Salah, akan terlepas beraksi bagi baki perlawanan musim selepas mengalami kecederaan hamstring dalam perlawanan menentang Crystal Palace yang berakhir dengan kemenangan 3-1, kata pengarah pasukan nasional Mesir, Ibrahim Hassan, pada 25 April.
Pemain sayap Mesir yang berusia 33 tahun itu, yang telah mengumumkan akan meninggalkan kelab Anfield itu pada penghujung musim, sempat memberi tepukan kepada penonton ketika berjalan keluar akibat kecederaan pada minit ke-60.
Liverpool tidak mengumumkan berita terkini mengenai keadaan Salah. Namun, Ibrahim berkata bintang utama Mesir itu telah bermain perlawanan terakhirnya untuk The Reds.
“Beliau mengalami kecederaan hamstring koyak dan memerlukan rawatan selama empat minggu,” kata Ibrahim kepada Reuters.
Selepas sembilan musim yang dipenuhi trofi, perjalanan Salah bersama Liverpool kini sampai ke penghujungnya.
Liverpool mempunyai baki dua perlawanan - menentang Chelsea pada 9 Mei dan Brentford pada 24 Mei - di stadium sendiri.
Mereka akan turut bertandang ke stadium Manchester United pada 3 Mei serta menentang Aston Villa di stadium lawan pada 17 Mei.
Sebagai penjaring ketiga tertinggi sepanjang zaman Liverpool, Salah telah menjaringkan 12 gol dan sembilan bantuan gol dalam semua pertandingan musim ini.
Ibrahim berkata Salah dijangka pulih menjelang Piala Dunia Fifa 2026, di mana Mesir dijadualkan bersaing dalam Kumpulan G bersama Belgium, New Zealand dan Iran.
Namun, Salah berazam untuk pulih bagi kejohanan di Amerika Utara itu yang bermula pada 11 Jun, selain mengelakkan kecederaan seperti yang dialaminya sebelum edisi 2018.
Ketika itu, beliau mengalami kecederaan bahu dalam perlawanan yang berakhir dengan kekalahan 3-1 kepada Real Madrid dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara.
Meskipun beliau menjaringkan dua gol dalam dua perlawanan, Mesir tersingkir pada peringkat kumpulan di Russia.
Kemenangan 3-1 Liverpool ke atas Crystal Palace pada 25 April melonjakkan Liverpool ke tangga keempat liga, dengan 58 mata daripada 34 perlawanan.
Pengurus Liverpool, Arne Slot, berkata kepada BBC:
“Satu lagi kemenangan dan satu lagi kecederaan. Ia merupakan kisah musim kami.
“Masih terlalu awal untuk mengulas, tetapi kita semua mengenali Mo (Salah) dan betapa sukarnya bagi beliau untuk meninggalkan padang.
“Tindakan Mo meninggalkan padang itu menunjukkan sesuatu (yang serius), tetapi kita harus menunggu dan melihat sejauh mana tahap kecederaannya.” – Agensi berita.
