Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Sukan
30
0

BOLA SEPAK REMAJA WANITA

Selepas kelayakan Piala Asia 2 bakat muda ke pentas Kejohanan Asean pula

Jul 09, 2023 | 09:00 AM



Sedang ramai rakan sebaya mereka mengemas beg untuk kembali ke sekolah pada minggu ini, pemain bola sepak wanita Liyana Rickit dan Seri Nurinsyirah sebaliknya mengemas jersi dan kasut but mereka untuk ke luar negara. 

Kedua-dua remaja itu akan ke Palembang, Indonesia, pada Selasa bagi mewakili pasukan Singa wanita di Kejohanan Wanita Bawah 19 Tahun Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF), yang berlangsung pada 5 hingga 15 Julai.

Liyana, 13 tahun, dan Seri, 14 tahun, merupakan antara pemain termuda dalam skuad seramai 23 pemain itu, yang dikendalikan bekas pemain antarabangsa Singapura, Fazrul Nawaz.

Walaupun menentang pemain yang lebih berusia dan berpengalaman, Liyana dan Seri yang merupakan rakan sepasukan kelab Lion City Sailors, menikmati peluang untuk beraksi di pentas yang lebih besar.

Duo itu sebelumnya bersaing dalam kelayakan Piala Asia Bawah 17 Tahun Wanita Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada April.

Liyana, pelajar Sekolah Menengah Meridian, berkata:

“Saya berasa terharu dan bersyukur kerana dapat mewakili negara saya dan juga dipilih untuk pasukan Bawah 19 Tahun pada usia yang begitu muda.

“Peluang itu bukan sahaja mengesahkan usaha saya selama ini malah memberi saya inspirasi untuk memberikan yang terbaik di padang.”

Sebagai persiapan, pemain ‘midfield’ itu telah berlatih bersungguh-sungguh enam kali seminggu, dengan setiap sesi latihan selama dua jam bersama Sailors dan pasukan nasional.

Skuad negara juga telah mengadakan perlawanan persahabatan bersama kelab lain, termasuk pasukan lelaki, untuk mencabar diri dan meningkatkan daya saing pasukan.

Liyana, yang bermain bola sepak seawal tujuh tahun, mengakui sukar menyesuaikan diri dengan pasukan barunya dalam tempoh yang singkat itu.

“Bagaimanapun, saya telah secara aktif berusaha untuk belajar dan menyesuaikan gaya permainan saya untuk mencari keserasian dengan rakan sepasukan.

“Saya tidak sabar untuk terus meningkatkan prestasi dan menyumbang kepada kejayaan pasukan,” tambahnya.

Bagi Seri pula, perjalanannya dalam skuad Bawah 19 Tahun tidak selancar yang dijangka.

Pemain pertahanan dari Sekolah Sukan Singapura itu mengalami kecederaan buku lali kira-kira sebulan lalu dan masih beransur pulih.

Akibat kecederaan itu, beliau tidak dapat menghadiri latihan selama seminggu dan perlu menjalani rawatan bersama ahli fisioterapi. 

“Bagaimanapun, saya tidak akan berputus asa dan akan berusaha untuk memberikan persembahan yang terbaik sepanjang pertandingan ini,” kata Seri, yang menceburi bola sepak sejak berusia sembilan tahun.

“Kami akan berusaha sebaik mungkin untuk mencapai ke peringkat seterusnya.

“Walaupun pasukan-pasukan yang akan kami hadapi amat handal, kami tidak akan berputus asa dan akan memberikan usaha yang sepenuhnya dalam pertandingan ini,” tambahnya.

Mengulas mengenai pemilihan pemain muda dalam skuadnya, Fazrul, yang telah membuat 87 penampilan antarabangsa untuk Singapura, berkata:

“Sembilan pemain daripada pasukan Bawah 16 Tahun membentuk sebahagian besar daripada skuad yang berdasarkan prestasi luar biasa mereka semasa kelayakan Bawah 17 Tahun AFC baru-baru ini.

“Ia menjadi jelas bahawa mereka bersedia untuk meneroka di luar zon selesa mereka, dan saya berharap agar kejohanan yang disertai ini akan memberi mereka peluang untuk membangunkan keupayaan teknikal dan taktikal mereka dalam persekitaran yang lebih berdaya saing.”

Dalam kelayakan di laman sendiri itu, Singapura terlepas ke pusingan seterusnya tetapi berjaya mencatat kemenangan 7-0 ke atas Turkmenistan sebelum tewas 0-3 di tangan Bangladesh.

Tujuh lagi pemain Bawah 16 Tahun yang ke Kejohanan Wanita Bawah 19 Tahun Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) ialah Izairida Shakira, Ardhra Ganeswaran, Qarissa Putri Ramadhani, Yasmine Zaharin, Cara Chang, Natasha Naszri dan Chloe Koh.

Selain bakat muda ini, Fazrul, 37 tahun, juga memiliki pengalaman pemain yang telah beraksi untuk skuad senior di peringkat antarabangsa.

Mereka ialah kapten pasukan dan pemain midfield, Dhaniyah Qasimah, 19 tahun, dan pemain pertahanan Irsalina Irwan, 16 tahun.

Dhaniyah telah bermain 24 kali untuk pasukan Singa wanita, manakala Irsalina mempunyai tiga penampilan antarabangsa.

Singapura memulakan kempen mereka dalam Kumpulan B, tewas 0-5 kepada Vietnam pada 6 Julai sebelum nyaris dikalahkan 0-1 oleh musuh seberang Tambak, Malaysia, pada 8 Julai lantas gagal memburu tempat di separuh akhir.

Hanya tiga juara setiap kumpulan dan satu pasukan tempat kedua yang terbaik akan layak ke separuh akhir.

Ini merupakan kali ketiga kejohanan peringkat usia itu diadakan sejak 2014 dan 2022.

Persembahan terbaik Singapura adalah meraih tempat keempat dalam edisi sulungnya pada 2014.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >