Prestasi pasukan bola sepak Bawah 22 Tahun Singapura di Sukan SEA Thailand ini amat mengecewakan, walaupun mereka sudah diberi peluang kedua untuk membuktikan keupayaan.
Ini di samping sikap dan semangat kesukanan ‘dingin’ yang ditonjolkan para pemain terhadap penyokong Singapura yang hadir di Stadium Rajamangala, Bangkok, bagi menyaksikan perlawanan mereka.
Hal tersebut dikongsi Setiausaha Agung Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC), Mark Chay, di sidang media bagi menilai prestasi keseluruhan Team Singapore di Hotel Grand Fourwings Convention pada 20 Disember.
Singa Muda tersingkir di peringkat kumpulan buat kali keenam berturut-turut, sekali gus gagal melangkah ke separuh akhir.
Apabila ditanya di sidang media jika SNOC kesali keputusan menyertakan pasukan bola sepak sekalipun selepas terlepas pemilihan pusingan pertama, Chay menjawab:
“Saya tidak akan mengatakan terdapat sebarang penyesalan (menurunkan mereka di Sukan SEA) kerana kami perlu memberi peluang kepada atlet untuk menyerlah.
“Namun, amat dikesali apabila atlet tidak dapat memanfaatkan peluang tersebut, dan keputusan yang terhasil mencerminkan keadaan itu.
“Saya berada di perlawanan menentang Timor-Leste, mereka tewas dari segi fizikal dan kepantasan, dan ini bukan mengenai aspek bakat atau kemahiran.”
Ketika perlawanan tersebut, Chay juga kecewa dengan sikap pemain yang seolah-olah tidak menghargai kehadiran penyokong Singapura di stadium, lantas menggesa Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) supaya memberi perhatian terhadapnya.
Dalam perlawanan yang berlangsung pada 6 Disember itu yang menyaksikan pasukan negara tewas 1-3 kepada Timor-Leste, para pemain dilihat menghargai kehadiran sokongan penyokong selepas perlawanan, sebaliknya terus bergegas ke bilik persalinan.
“Sikap pemain adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian oleh FAS dengan para pemain terus meninggalkan padang tanpa menghargai penyokong Singapura yang hadir di stadium.
“Saya faham kekecewaan mereka, namun mereka juga perlu melihat aspek kesukanan serta menghargai para penyokong yang datang memberi sokongan.
“Kunci bagi sebarang perubahan ialah penerimaan dan kesedaran bahawa wujudnya satu masalah, tetapi setakat ini saya belum mendengar sebarang pengakuan daripada FAS mahupun pemain bahawa terdapat isu yang perlu diperbaiki, dan pada saya, ini merupakan satu masalah sistemik,” ujar beliau.
Turut berkongsi sentimen yang sama ialah Ketua Institut Sukan Berprestasi Tinggi, Dr Su Chun Wei, yang berkata:
“Bagi bola sepak, saya hanya akan katakan bahawa prestasinya lemah.”
Pada awal 2025, Singa Muda tidak disenaraikan dalam senarai pertama kontinjen Singapura untuk Sukan SEA.
Namun, pasukan itu berjaya membuat rayuan dan kemudian beraksi dalam dua perlawanan persahabatan secara tertutup, mencatatkan satu kemenangan dan satu keputusan seri, sekali gus mengukuhkan peluang mereka untuk disenaraikan.
“Kami telah memberi peluang kepada pasukan bola sepak, namun keputusannya tidak seperti yang diharapkan, itu adalah hakikat.
“Kriteria yang digunakan adalah konsisten pada setiap edisi, dan ia diterapkan secara konsisten.
“Jika mereka layak, mereka akan terpilih. Jika tidak, maka mereka tidak akan disenaraikan. Prinsip yang sama digunakan bagi semua sukan dan atlet lain,” tambah Dr Su.
Bagi Sukan SEA, atlet perlu sekurang-kurangnya mencapai tempat ketiga pada edisi temasya sebelumnya.
Bagi sukan berpasukan pula, pasukan tersebut perlu berada dalam kedudukan tiga teratas dalam kalangan negara Sukan SEA.
Atlet atau pasukan yang terlepas piawaian kelayakan secara tipis, tetapi menunjukkan potensi untuk menyamai atau mengatasinya menjelang temasya berlangsung, juga boleh dipilih.
Memandang ke hadapan, beliau berkata dengan adanya projek Unleash The Roar (UTR), ia diharapkan dapat membangunkan semula bola sepak setempat.
Namun, beliau menggesa rakyat Singapura untuk bersabar dengan proses itu.
“Pemain di bawah projek ini hanya boleh bermain di Sukan SEA 2031 dan selanjutnya.
“Kami sedar bola sepak tidak berada pada tahap yang baik, dan sebab itulah kami mempunyai UTR serta perlu bersabar.
“Kami telah menyatakan perkara ini pada setiap edisi, dan ia adalah satu hakikat,” tambah beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg