NAGOYA: Ratu pecut Singapura, Shanti Pereira, layak ke peringkat separuh akhir acara 100 meter Sukan Asia 2026 selepas menduduki tempat kedua dalam saringan beliau pada 24 September.

Di Stadium Paloma Mizuho, Nagoya, atlet berusia 30 tahun itu mencatatkan masa 11.43 saat dalam Saringan 1, berada 0.02 saat di belakang wakil China, Chen Yujie.

Tiga pelari teratas bagi setiap saringan dan empat pelari terpantas seterusnya akan mara ke peringkat separuh akhir pada 25 September.

Pereira menyasarkan untuk mencipta sejarah dalam kemunculan semulanya di Sukan Asia.

Beliau menikmati pencapaian cemerlang pada edisi lepas di Hangzhou 2023, apabila meraih pingat perak 100 meter dan emas 200 meter.

Kemenangan 200 meter itu turut menjadikan beliau atlet Singapore pertama yang memenangi pingat emas olahraga di temasya empat tahun sekali itu dalam tempoh 49 tahun.

Pemenang enam pingat emas Sukan SEA itu menikmati musim yang menggalakkan setakat ini.

Pada Sukan Komanwel di Scotland yang berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos, beliau mencatatkan masa terbaik musim ini bagi acara 100 meter (11.24 saat) dan 200 meter (22.81 saat), sebelum mengatasi rekod 200 meter itu beberapa minggu kemudian dengan larian 22.78 saat di Grand Prix Olahraga Oman.