Pelari pecut negara, Shanti Pereira, gagal mara ke final acara 100 meter wanita di Sukan Komanwel pada 28 Julai.

Dalam cuaca sejuk dan hujan di Stadium Scotstoun, Glasgow, atlet berusia 29 tahun itu mencatat masa 11.40 saat untuk menduduki tempat kelima dalam separuh akhir ketiga dan tempat ke-14 keseluruhan.

Torrie Lewis dari Australia mencatat masa terpantas dalam separuh akhir dengan 11.00 saat, diikuti Audrey Leduc dari Canada (11.01 saat). Amy Hunt dari England mencatat masa ketiga terpantas, 11.02 saat, untuk memenangi separuh akhir ketiga.

Dua pelari teratas daripada setiap tiga perlumbaan separuh akhir, bersama dua lagi atlet terpantas secara keseluruhan, mara ke final yang akan berlangsung lewat pada 28 Julai (29 Julai, 4.40 pagi waktu Singapura).

Pereira mara ke separuh akhir selepas mencatat masa terbaik musim ini, 11.24 saat, dalam saringan pada 27 Julai, hanya 0.04 saat di belakang rekod kebangsaannya, 11.20 saat, yang dicatat pada Kejohanan Atletik Asia 2023.

Beliau seterusnya akan beraksi dalam acara kegemarannya, 200 meter wanita, pada 29 Julai.