Ketika Timor Leste tewas 1-6 di tangan Thailand pada perlawanan pembukaan Kumpulan A Sukan SEA 2025 pada 3 Disember, jurulatih pasukan bawah 22 tahun Singapura, Firdaus Kassim, menonton dan menganalisis kededua pasukan.
Bukan jurang lima gol yang menggerunkan beliau, tetapi persembahan cemerlang Timor Leste pada separuh masa pertama yang menurutnya tidak boleh diambil mudah.
Menjelang perlawanan pertama Singapura menentang negara itu pada 6 Disember, Firdaus tidak mahu anak buahnya terlalu menumpukan untuk menjaringkan gol yang banyak semata-mata, kerana ia mampu memakan diri.
Sebaliknya, beliau ingin mereka bermain dengan cemerlang dan mendapatkan tiga mata penuh.
Maka, mereka merancang untuk mengeksploitasi kelemahan Timor Leste ketika bertahan set-piece dan di kawasan sayap, kata Firdaus.
Ketika ditemui Berita Harian (BH) dalam satu wawancara di Hotel Al Meroz di Bangkok, Thailand, Firdaus berkata:
“Pada separuh masa pertama perlawanan, Timor Leste bermain dengan sangat kompetitif. Mereka tidak bernasib baik untuk mendahului dengan dua gol dan berjaya mengehadkan peluang Thailand.
“Semua maklumat ini amat penting bagi kami kerana ia membantu kami memahami posisi mereka dan memastikan kami tidak memandang rendah akan mereka.”
Firdaus menambah, walaupun dengan kekuatan yang dimiliki Timor Leste, beliau merancang untuk mengeksploitasi kelemahan pasukan itu.
“Timor Leste menghadapi kesukaran semasa situasi set-piece dan bertahan di kawasan sayap.
“Sudah tentu, kami mempunyai kekuatan dan rancangan permainan kami sendiri menentang mereka, tetapi ini sememangnya salah satu perkara utama yang kami ambil perhatian,” tambahnya.
Sukan SEA kali ini akan menampilkan sembilan pasukan yang dibahagikan dalam tiga kumpulan.
Hanya pasukan teratas akan layak ke separuh akhir manakala pasukan kedua terbaik antara kumpulan tersebut akan turut serta.
Akur mereka perlu berpesta gol ketika menentang Timor Leste agar mempunyai peluang lebih cerah untuk ke separuh akhir, Firdaus ingin mengambil langkah berhati-hati.
Beliau tidak hanya ingin menumpukan pada hal tersebut, malah lebih penting lagi ialah untuk mendapatkan tiga mata penuh.
“Gol akan datang dari mana-mana kerana kami mempunyai pelan dan sedang mencubanya dalam pelbagai cara.
“Kami tidak berhasrat mengejar perbezaan jaringan semata-mata... kami perlu mengurus perlawanan dengan bijak.
“Perkara terakhir yang diingini ialah mengejar gol demi gol, tetapi akhirnya keadaan sebaliknya berlaku, maka kami ingin menumpukan satu persatu,” ujar beliau.
Perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Rajamangala itu merupakan perlawanan pertama Singa Muda di Sukan SEA, sebelum menentang Thailand pada 11 Disember.
Tiba di Bangkok pada 2 Disember, Firdaus sedang giat mempersiapkan anak buahnya bagi temasya tersebut. Bagaimanapun, persiapan mereka menerima tamparan apabila kumpulan mereka mengalami penukaran.
Pada asalnya, skuad Singapura ditempatkan di Kumpulan C bersama Indonesia, Filipina, dan Myanmar.
Namun mereka dipindahkan ke Kumpulan A selepas Kemboja menarik diri daripada lapan sukan, termasuk bola sepak, pada 27 November.
Keputusan itu dibuat berikutan kebimbangan keselamatan susulan ketegangan sempadan yang semakin memuncak antara kededua negara.
Pengumuman tersebut juga dibuat hanya seminggu sebelum kejohanan bola sepak bermula pada 3 Disember.
Firdaus berkongsi pemainnya tidak begitu terjejas dengan keputusan tersebut namun, ia tetap memberikan cabaran kepada pasukan jurulatihnya untuk menukar pendekatan.
Namun, beliau tidak menganggapnya sesuatu yang negatif dan berkata:
“Ini ialah sifat kerja kami. Kami hanya perlu menyesuaikan diri dan membuat persiapan sewajarnya. Bagi pemain pula, mereka tetap perlu berdepan dengan 11 pemain sama ada menentang Indonesia, Malaysia, atau Thailand, ia tidak banyak berbeza.
“Yang menariknya tentang format sebegini ialah, anda boleh tersingkir dengan empat mata, tetapi anda juga boleh layak dengan hanya satu mata.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg