Di Vizela, jauh di pedalaman Portugal, tiga pemain bola sepak bawah 22 tahun Singapura menjadikan tempat itu sebagai ‘rumah’ mereka untuk mengubati rindu berjauhan daripada keluarga.
Dengan meluangkan masa bersama seperti memakan susyi, bermain game Fifa, dan juga bersenam, mereka menjadi tempat saling bergantung antara satu sama lain.
Nur Muhammad Asis Ijilrali Junaidi, Khairin Nadim Rahim, Jonan Tan, merupakan pemain yang bermain di FC Vizela bawah 23 tahun – pasukan Portugal yang beraksi di Liga Portugal bawah 23 tahun.
Kini mewakili negara di Sukan SEA 2025 di Thailand, gabungan ketiga-tiganya di padang membawa harapan untuk memberi nafas baru bagi Singapura di temasya sukan itu.
Boleh beraksi di bahagian serangan, mereka bertiga berhasrat memanfaatkan persefahaman dan pengalaman mereka bersama untuk membantu pasukan Singa Muda mendapatkan jaringan ketika menentang Timor Leste dan Thailand masing-masing pada 6 dan 11 Disember.
Berkongsi pengalamannya di Portugal kepada Berita Harian (BH) dalam satu wawancara di Hotel Al Meroz di Bangkok, Thailand, Asis berkata antara cabarannya ialah rasa kesepian.
“Paling mencabar ialah berjauhan daripada keluarga dan rakan. Saya dibesarkan dalam suasana meriah di Singapura, ramai kawan rapat. Namun di sana saya lebih bersendirian kerana orang sana tidak semesra orang di Singapura,” ceritanya.
“Namun, dengan kehadiran (Khairin dan Tan), ia ubati kerinduan itu... dan hubungan kami diperkukuh bukan sahaja dalam bola sepak namun dalam hal peribadi juga,” katanya yang beraksi di posisi nombor 10, atau pemain tengah serangan.
Menurut Asis, beliau sudah mengenali Khairin sejak di Liga Pusat Kecemerlangan (COE) bawah 14 tahun, dan Tan pula di Liga Bola Sepak Singapura (SFL) ketika berusia 18 tahun.
Apabila ditanya bagaimana mereka meluangkan bersama di luar bola sepak, Asis berkata:
“Kami selalu makan susyi bersama kerana itu sahaja yang berdekatan dengan kami. Saya rasa keserasian kami semakin kukuh dan daripada apa yang saya lihat, saya yakin kami bertiga pasti boleh menyumbang sesuatu kepada pasukan.”
Hal tersebut turut diakui Tan, yang berhasrat memberikan impak besar di Sukan SEA kali ini bersama rakan kelab Portugalnya.
“Kami sentiasa bermain bersama untuk kelab dan negara.
“Apabila menentang Timor Leste dan Thailand, kami akan lakukan yang terbaik untuk membantu serta berjuang dalam apa jua cara yang kami mampu,” ujar pemain sayap kanan itu.
Selepas menonton perlawanan pertama Kumpulan A antara Thailand dengan Timor Leste dengan tuan rumah memenangi perlawanan tersebut 6-1, Tan berkata Thailand lebih teknikal dan mempunyai penguasaan bola yang baik manakala Timor Leste berbahaya dalam larian mereka
“Saya gemar dengan permainan dinamik di Portugal. Ia banyak bantu saya untuk memahami cara Thailand dan Timor Leste bermain dan saya akan mencari cara untuk mengatasinya menerusi permainan saya,” ujar Tan.
Bagi Khairin, beliau ingin menggunakan peluang beraksi di temasya kali ini untuk mengubati parut luka Sukan SEA 2022.
Ketika perlawanan menentang Kemboja ketika itu, Khairin gagal menyempurnakan peluang depan gawang kosong, sekali gus mengundang kritikan di media sosial.
Kecewa dengan persembahannya itu, Khairin berkata pengalamannya di Portugal telah membentuknya menjadi lebih matang dan bertekad melakukan lebih baik kali ini.
“Di temasya ini, saya mahu membuktikan kepada semua bahawa saya kembali untuk beraksi dengan lebih baik dan membanggakan Singapura,” katanya.
Tiada peluang lebih baik untuk membuktikan kemampuannya selain membantu mendapatkan gol di temasya ini.
Dengan hanya tiga pasukan teratas dan pasukan kedua terbaik daripada tiga kumpulan layak ke separuh akhir, Singapura memerlukan jentera serangan mereka untuk menjaringkan gol.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg