Peluang beraksi di luar negara sejak tiga tahun lalu telah memberinya manfaat di dalam dan luar padang, kata pemain nasional Siti Rosnani Azman.
Rosnani, 26 tahun, telah beraksi di Australia dan Jepun dan beliau berkata pengalaman di Jepun, di mana rakan sepasukan kerap memberinya kata-kata rangsangan telah membantunya menjadi pemain yang lebih berkeyakinan diri.
Beraksi secara kerap dalam pertandingan standard lebih tinggi juga telah menjadikan beliau pemain lebih baik, mendorong jurulatih pasukan, Karim Bencherifa, menamakan beliau sebagai kapten pasukan sejak Sukan SEA Kemboja pada Mei.
Malah, beliau memaksa dirinya mempelajari bahasa Jepun supaya dapat berhubungan secara berkesan dengan rakan sepasukan di sana.
“Sebagai pemain bek tengah, saya perlu menguasai permainan dari bahagian belakang dan saya perlu berinteraksi bersama rakan sepasukan,” kata Rosnani, bercakap kepada The Straits Times menjelang perlawanan persahabatan antara Singapura dengan Pakistan pada 18 Julai.
“Justeru, saya menghadiri kelas bahasa dalam talian dan banyak menonton anime.”
Menurut Rosnani, beliau tidak meminati filem animasi Jepun sebelum menyertai kelabnya, International Athletic Club (INAC) Kobe Leonessa pada 2021, namun mula terpaut selepas merasakan sendiri bagaimana filem animasi membantunya memahami bahasa Jepun dengan lebih baik.
Baru-baru ini, Rosnani tampil dalam perlawanan bagi kelab divisyen ketiga Jepun, Kibi International University Charme.
Beliau pemain bola sepak nasional wanita kedua beraksi secara profesional, selepas berpindah ke INAC Kobe dari kelab separuh profesional South West Queensland Thunder.
Awal 2023, beliau pulang ke Singapura dan menyertai Hougang United yang beraksi dalam Liga Perdana Wanita Deloitte.
Menurutnya, keputusan itu didorong rasa rindu yang teramat pada keluarga dan rakan.
Namun, Rosnani berkata beliau juga ingin menggunakan masa di Singapura untuk membuat persiapan menjalani ujian di Eropah pada separuh kedua 2023 ini.
Perlawanan persahabatan dengan Pakistan ini adalah sebahagian usaha jurulatih Bencherifa untuk membuat persediaan menjelang Sukan Asia Hangzhou pada 23 September – 8 Oktober dan Sukan SEA 2025 di Thailand.
Mengulas mengenai sumbangan Rosnani kepada pasukan, Bencherifa berkata pengalaman dan keupayaannya menjadikan Rosnani pemain yang dihormati pemain lain.
“Beliau memimpin pasukan dengan memberi contoh terbaik dari segi komitmen dan etika kerja,” tambah beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg