Topik diikuti
Pergi ke BHkuSkuad dirombak, FC Jurong sasar dua tempat teratas SPL
16 pemain baharu termasuk kehadiran pemain Jepun, Honda, bakal tingkat daya saingan The Swans
Pada musim lalu, impian FC Jurong untuk melayakkan diri ke Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) buat julung-julung kalinya terpaksa ditentukan sehingga hari terakhir Liga Perdana Singapura (SPL).
Impian itu hampir menjadi kenyataan selepas mereka bangkit pada penghujung musim, menewaskan seteru seperti Lion City Sailors dan Tampines Rovers.
Namun, harapan itu berkecai apabila skuad itu sekadar menamatkan saingan di tangga ketiga, hanya dua mata di belakang Tampines.
Ketua jurulatih, Jaswinder Singh, mengakui pasukannya amat kecewa kerana terlepas peluang keemasan tersebut.
Menjelang musim 2026/27, Jurong enggan membenarkan sejarah berulang.
Skuad dengan julukan The Swans ini kelihatan semakin bersedia untuk cuba menggugat penguasaan Sailors dan Tampines di puncak SPL.
Kali terakhir juara enam kali SPL ini menjulang trofi adalah pada 2023, ketika kelab itu dikenali sebagai Albirex Niigata Singapura.
Rombakan terkini skuad The Swans dengan seramai 16 pemain baharu bakal memperkukuhkan lagi daya saingan mereka, terutamanya dengan kehadiran bintang seperti Keisuke Honda.
Jaswinder pula mengambil alih sebagai ketua jurulatih pada 1 Jun daripada Keiji Shigetomi, yang kini merupakan pengarah teknikal kelab itu.
Ketika ditemui Berita Harian (BH) pada 27 Ogos, Jaswinder berkata anak didiknya kelihatan semakin tajam dari segi kemahiran, walaupun menemui rentak permainan lewat pada musim SPL yang lalu.
“Semua pemain bersatu padu dan kami semakin berkembang sepanjang musim itu.
“Selain barisan pemain muda yang bersemangat tinggi untuk terus meningkatkan keupayaan masing-masing, kami turut mendapat manfaat daripada kepimpinan pemain senior seperti Hassan Sunny,” kata beliau, yang telah mendaki tangga kejurulatihan kelab itu sejak menyertai Albirex pada 2020.
Dari segi pertahanan, kadar mereka dibolosi bagi setiap perlawanan SPL dan Piala Singapura merosot daripada sekitar 2.4 gol (musim 2024/25) kepada 1.0 gol (musim 2025/26).
Jaswinder mengaitkan prestasi itu kepada tekanan pertahanan yang agresif serta serangan yang lebih berkesan.
Maka itu, beliau yakin momentum positif itu dapat diteruskan menerusi suntikan pemain import dan barisan bakat tempatan.
“Intensiti kami semakin meningkat, dan kami akan terus menambah kepada kekuatan kami dari musim yang lalu.
“Saya rasa kami telah membawa masuk ramai pemain lebih handal kali ini untuk meningkat daya saingan kami setaraf dengan pihak lawan,” katanya.
Bagi musim baharu ini, Jurong menampilkan keseluruhan pemain import baharu, manakala beberapa tonggak tempatan kekal mempertahankan skuad tersebut.
Ternyata, kehadiran Honda mencuri tumpuan peminat.
Jaswinder yakin bakat dan pengalaman beliau amat penting dalam usaha The Swans untuk merebut kedudukan lebih tinggi bagi musim 2026/27.
“Honda merupakan tonggak penting bagi skuad ini, terutama sekali dengan pengalaman luasnya.
“Beliau amat bijak dalam aspek serangan, malah juga amat berpengalaman dalam mengawal situasi pertahanan,” jelas Jaswinder, 37 tahun.
Honda, 40 tahun, ialah pemain paling terkemuka yang menyertai saingan SPL baru-baru ini.
Beliau sudah bersara daripada bola sepak antarabangsa, tetapi mempunyai 98 penampilan untuk Jepun serta sumbangan 37 gol.
Ini termasuk empat jaringan sepanjang tiga kempen Piala Dunia (2010, 2014 dan 2018).
Honda membawa pengalaman luas setelah beraksi di 10 liga antarabangsa.
Antaranya ialah tiga musim bersama gergasi Italy, AC Milan, di mana beliau memenangi Kejohanan Supercup Italy, serta kelab utama di Liga Russia, CSKA Moscow.
“Seperti Honda katakan sendiri, beliau hadir untuk memastikan pemain muda tingkatkan prestasi serta mendorong pemain senior terus berusaha.
“Kehadirannya mampu menjadikan kami lebih profesional,” tambah Jaswinder.
Honda sebahagian daripada barisan pemain baharu lain yang bakal melengkapi jentera FC Jurong.
Jaswinder menegaskan bahawa kehadiran pemain baharu ini dapat mengimbangi pemergian beberapa pemain utama pasukan.
Justeru, beliau tidak terlalu bimbang dengan pemergian Shingo Nakano, yang memenangi anugerah Pemain Muda Terbaik bagi musim SPL 2025/26 dan Anugerah But Emas menyusuli jaringan 20 gol pada musim lalu.
Jaswinder berkata kelab itu berjaya mempertaruhkan penyerang yang berbakat setiap kali skuad diubah.
Sebelum Nakano, mereka bergantung kepada tonggak seperti Seia Kunori, Kodai Tanaka dan juga Tomoyuki Doi.
Bagi musim akan datang, Jaswinder menaruh harapan kepada penyerang terbaharu daripada Liga Jepun, Mizuki Ando, yang dibawa masuk dari Mito HollyHock.
Benteng juga akan diperkukuhkan dengan kedatangan pemain handal tempatan seperti Akram Azman dan Christopher Van Huizen.
Dengan pengalaman beraksi bagi skuad negara serta di beberapa kelab SPL, Jaswinder menyifatkan mereka berdua mempunyai rekod yang terbukti.
Sementara itu, pemain tempatan seperti Nicky Melvin Singh, Haziq Kamarudin dan Syed Firdaus dikekalkan.
Namun, Jaswinder akur terdapat cabaran dalam membina semula persefahaman dengan adanya ramai wajah baharu di dalam skuad.
Persaingan pramusim Kejohanan Bola Sepak Antarabangsa Empat Penjuru Sempena Ulang Tahun Ke-77 TYT 2026 di Melaka amat berkesan dalam membantu pemain membina hubungan erat dalam masa yang singkat, katanya.
Sekilas jadual perlawanan FC Jurong
Sep 2026
- 13 Sep lwn Young Lions di Stadium Jalan Besar
- 18 Sep lwn Hougang United di Stadium Jurong East
Okt 2026
- 10 Okt lwn Geylang International FC di Our Tampines Hub
- 18 Okt lwn Lion City Sailors di Stadium Jurong East
- 25 Okt lwn Tampines Rovers di Stadium Jurong East
- 30 Okt lwn Tanjong Pagar di Stadium Jurong East
Nov 2026
- 20 Nov lwn Balestier Khalsa di Stadium Jurong East
- 29 Nov lwn Tampines Rovers di Our Tampines Hub
Feb 2027
- 14 Feb lwn Lion City Sailors di Stadium Jalan Besar
- 20 Feb lwn Young Lions di Stadium Jurong East
- 26 Feb lwn Geylang International FC di Stadium Jurong East
Mac 2027
- 6 Mac lwn Hougang United di Stadium Bishan
- 12 Mac lwn Tanjong Pagar United di Stadium Jurong East
- 19 Mac lwn Balestier Khalsa di Stadium Jurong East
Apr 2027
- 2 Apr lwn Hougang United di Stadium Bishan
- 11 Apr lwn Lion City Sailors di Stadium Jurong East
- 18 Apr lwn Tampines Rovers di Our Tampines Hub
- 25 Apr lwn Young Lions di Stadium Jurong East
Mei 2027
- 2 Mei lwn Balestier Khalsa di Stadium Jurong East
- 8 Mei lwn Tanjong Pagar United Stadium Jurong East
- 14 Mei lwn Geylang International FC di Stadium Jurong East
