Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura jadi tuan rumah siri perlawanan persahabatan libatkan Brazil, Jepun, Paraguay
Perlawanan yang dianjur buat julung kali bakal diadakan antara 13 dengan 17 Nov
Bahang Piala Dunia 2026 mungkin telah berakhir, namun peminat bola sepak tempatan bakal kembali menyaksikan aksi sukan bertaraf dunia apabila Stadium Negara di The Kallang menjadi tuan rumah kepada Brazil, Jepun dan Paraguay, serta skuad Singa pada November ini.
Perlawanan persahabatan yang julung kali diadakan itu, ‘Mizuho Blue Challenge – The Kallang Football Series Singapore’, akan menyaksikan empat perlawanan yang berlangsung antara 13 dengan 17 November.
Demikian menurut penganjur The Kallang Group dan Dentsu Sports International dalam satu pengumuman pada 3 September.
Perlawanan pembukaan bakal menyaksikan tuan rumah Singa menentang Paraguay pada 13 November, diikuti pertembungan antara Brazil dengan Jepun pada 14 November.
Kejohanan itu akan melabuhkan tirainya pada 17 November dengan Singapura menentang juara dunia lima kali, Brazil, sebelum pasukan tangga ke-17 dunia, Jepun, bertemu Paraguay yang berada di kedudukan ke-34 dunia.
Tiket bagi perlawanan pembukaan skuad Singa menentang Paraguay dijual pada harga bermula daripada $28, manakala tiket bagi perlawanan Brazil-Jepun pula berharga daripada $98.
Peminat berpeluang menyaksikan kedua-dua perlawanan pada 17 November menggunakan satu tiket sahaja, yang dijual pada harga bermula daripada $98.
Jualan tiket dibuka pada 12 tengah hari, 4 September, dan boleh dibeli menerusi laman web The Kallang.
Kejohanan ini bakal memberi peluang kepada peminat di Singapura untuk menyokong skuad tempatan Singa secara dekat menyusuli prestasi memberangsangkan mereka dalam Piala Asean Hyundai pada Ogos.
Meskipun Singapura tewas 3-4 secara agregat kepada Thailand pada peringkat separuh akhir, mereka berjaya menewaskan juara tujuh kali itu 2-1 pada perlawanan pusingan kedua di Bangkok.
Pencapaian tersebut sekali gus merupakan kemenangan tempat lawan pertama mereka ke atas skuad War Elephants itu sejak 2009.
Sebelum siri perlawanan persahabatan pada November ini, Singapura juga bakal menentang tuan rumah Indonesia, seteru seberang Tambak Malaysia, serta pasukan jemputan Bangladesh dalam peringkat kumpulan Piala Asean Fifa yang akan diadakan dari 24 September hingga 3 Oktober.
Perlawanan pada November ini penting sebagai persediaan buat skuad Jepun dan Singapura menjelang Piala Asia yang akan berlangsung dari 7 Januari hingga 5 Februari di Arab Saudi.
Ketua jurulatih Singa, Gavin Lee, menyambut baik peluang untuk bertanding menentang pasukan yang lebih kuat.
“Perlawanan sebegini amat berharga buat kami kerana ia menguji keupayaan serta menunjukkan sejauh mana kemampuan kami, dan yang lebih penting, (menyerlahkan) aspek tertentu yang masih perlu diperbaiki.
“Kami telah menunjukkan kemajuan yang baik, namun masih banyak yang perlu diusahakan. Setiap perlawanan yang kami harungi buat masa ini bertujuan untuk membantu kami membuat persiapan menjelang Piala Asia.”
Ujian sengit menanti skuad Singa di Saudi yang berada dalam Kumpulan D bersama Tajikistan dan peserta Piala Dunia, Australia dan Iraq.
Sementara itu, juara pemegang rekod empat kali Jepun pula berada dalam Kumpulan F bersama Thailand, Indonesia, serta juara bertahan Qatar.
Disokong oleh Mizuho Financial Group selaku penaja utama, acara bola sepak di Stadium Negara ini juga merupakan sebahagian daripada sambutan ulang tahun Singapura-Jepun ke-60 (SJ60) yang memperingati enam dekad hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
Meskipun dalam acara ini kedua-dua pasukan tidak akan bersaing di padang, mereka pernah bertemu dalam pelbagai perlawanan sebelum ini, termasuk dalam pusingan kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia.
Pengarah Urusan Dentsu Sports Asia, Tomonori Ito, berkata:
“Sebagai sebahagian sambutan SJ60, kami berasa amat gembira dapat memainkan peranan dalam menyatukan orang ramai menerusi minat bersama terhadap bola sepak.
“Singapura menawarkan lokasi ideal bagi penganjuran sukan antarabangsa, dan kami mempunyai rakan kerjasama di The Kallang yang berkongsi aspirasi yang sama bagi menganjurkan acara bola sepak terkemuka di rantau ini.”
