Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tewas kepada M’sia, skuad takraw S’pura perlu menang apabila lawan Myanmar

Pasukan negara buru kemenangan selepas tewas kepada Malaysia 0-3
Dec 11, 2025 | 6:23 PM
Nur Hisham Adam, sepak takraw, SEA games
Jurulatih sepak takraw Singapura, Nur Hisham Adam (jersi merah), ingin anak buahnya tebus kekecewaan tewas 0-3 kepada Malaysia dengan mendapatkan kemenangan ketika menentang Myanmar pada 12 Disember. - Foto fail

Selepas memulakan kempen acara berpasukan Sukan SEA 2025 mereka dengan kekecewaan – tumbang 0-3 kepada Malaysia – skuad sepak takraw Singapura kini memburu kemenangan apabila menentang Myanmar pada 12 Disember.

Jurulatih skuad sepak takraw nasional, Nur Hisham Adam, ingin anak didiknya tebus kekecewaan tersebut dengan bangkit menentang negara yang sedang meningkat itu dalam perlawanan kedua Kumpulan A.

Namun, pertembungan itu dijangka mencabar terutama sekali selepas Myanmar memenangi perlawanan pertama mereka – menewaskan Filipina 3-0 – pada 11 Disember.

Walau demikian, ketika bercakap kepada Berita Harian (BH), Hisham berkata pasukannya telah menetapkan sasaran untuk meraih mata penuh menentang Myanmar dan Filipina.

“Menentang Myanmar, saya ingin pemain bermain untuk menang.

“Kita tahu Myanmar ialah pasukan yang kuat, tetapi kalau kita tewas, kita akan tersingkir daripada saingan acara berpasukan.

“Namun, saya yakin pemain sudah bersedia dan boleh berikan saingan,” ujar beliau.

Dalam pertembungan dengan Malaysia di Gimnasium Pusat Sukan Nakhon Pathom pada 10 Disember, Singapura kelihatan tidak mampu menandingi musuh seberang Tambak yang jauh lebih handal dan menguasai permainan ketiga-tiga regu.

Regu pertama – Muhammad Danish Irfan Muhamad Faizal, Muhammad Tasman Mohammed Belal dan Abdul Hammirruddin Noor – gagal mengatasi regu Malaysia yang meraih kemenangan 15-6, 15-10.

Dalam set kedua terdapat sinar bagi pasukan Singapura apabila mereka mampu merapatkan jurang kepada 10-12, namun Malaysia terus bangkit untuk meraih kemenangan.

Regu kedua pula menyaksikan Malaysia menjamin kemenangan selepas menang mudah 15-6, 15-6 ke atas regu Singapura yang terdiri daripada Muhammad Irfain Zurkanaen, Muhammad Hasbi Zainal dan Mohamad Nor Afdlin Mohamad Iskandar.

Malaysia kemudian melengkapkan kemenangan mutlak 3-0 dengan memenangi pertarungan regu ketiga 15-6, 15-6.

Mengambil iktibar daripada pertarungan itu, Hisham menambah bahawa pemain harus memberikan lebih banyak tumpuan dan memenangi first ball – mengawal bola apabila lawan lakukan servis – ketika bertahan.

Hisham percaya ini antara aspek yang memberikan Malaysia kelebihan dan berharap ia diulangi apabila turun menentang Myanmar.

“Siapa yang lebih cekap mengawal first ball, pasukan itu yang akan menang perlawanan,” katanya.

Pertembungan menentang Myanmar juga tidak boleh dianggap mudah.

Myanmar dijulang keyakinan selepas membuka tirai dengan kemenangan, di samping meraih dua emas dalam acara chinlone – lelaki dan wanita.

Negara tersebut dan Malaysia turut dikira sebagai favorit untuk layak ke separuh akhir acara berpasukan dari Kumpulan A.

Tetapi bagi Hisham, beliau tidak terlalu memikirkan mengenai perkara itu dan hanya tumpukan pada pemainnya, terutama selepas melihat beberapa aspek positif daripada anak didiknya dalam pertarungan pertama mereka.

Walaupun 70 hingga 80 peratus merupakan pemain baru, namun mereka telah mempamerkan semangat juang yang tinggi, kata Hisham.

“Selepas perlawanan itu, pemain memang kelihatan tidak berpuas hati dengan prestasi sendiri.

“Pada saya, itu satu petanda yang baik kerana perasaan sedemikian menunjukkan mereka masih ada keinginan untuk memperbaiki permainan,” katanya.

Beliau menambah perlawanan tersebut merupakan ujian bagaimana pemainnya boleh bangkit dan kekal cekal.

“Ini menunjukkan sama ada kita berani bangkit dan terus bermain dengan semangat, atau biarkan semangat kita jatuh hanya kerana tewas.

“Terutamanya selepas kita sedar kita tewas kepada pasukan yang lebih kuat,” tambahnya.

Selain daripada acara berkumpulan, pasukan sepak takraw Singapura turut akan bertanding di acara quadrant (empat lawan empat) dan regu, yang masing-masing akan bermula pada 15 dan 19 Disember.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg