Penyerang Aston Villa, Ollie Watkins, berkata Thomas Tuchel ‘tidak takut’ untuk menjerit kepada pemain England ketika pengurus itu berusaha mengekalkan piawaian latihan di Piala Dunia.

Beliau berkata demikian ketika di pangkalan latihan England di Kansas City, Amerika Syarikat, dan ditanya oleh pihak media tentang kaedah kejurulatihan Tuchel serta cara beliau memberi dorongan kepada para pemainnya.

“Saya rasa beliau tidak takut untuk menjerit kepada kami.

“Beliau sentiasa menuntut lebih daripada kami dan memastikan kami benar-benar bersedia setiap hari,” kata Watkins.

Tuchel dirakam menjerit kepada pemain pertahanan Tottenham Hotspur, Djed Spence, supaya ‘bangun’ ketika latihan, ketika England meneruskan persiapan untuk perlawanan kedua Piala Dunia Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) 2026 menentang Ghana pada 24 Jun.

“Nasib baik bukan saya. Saya rasa saya melakukan kesilapan sejurus sebelum Djed, tetapi akhirnya beliau menjerit kepada Djed.

“Saya rasa itu menunjukkan beliau seorang pemenang dan sentiasa mendorong piawaian pasukan serta memastikan kami bersedia.

“Itulah yang diperlukan apabila matlamatnya adalah untuk memenangi Piala Dunia.

“Beliau sangat berdisiplin, tetapi di kem latihan beliau juga santai dan tenang,” kata Watkins.

Tuchel memenangi Liga Juara-Juara bersama Chelsea pada 2021, selain meraih gelaran liga bersama Paris Saint-Germain (PSG) dan Bayern Munich.

Spence dipanggil menyertai skuad 26 pemain walaupun Tottenham bergelut untuk mengelak penyingkiran.

Pemain berusia 25 tahun itu disenangi Tuchel kerana kebolehannya bermain di beberapa kedudukan.

Selepas Tino Livramento menarik diri akibat kecederaan, Spence berkemungkinan menjadi pilihan utama sebagai pelapis di bahagian pertahanan kiri dan kanan.

Walaupun ditegur secara terbuka dalam latihan, Spence berkata perkara itu adalah kebiasaan bagi seorang pengurus yang telah membuktikan kejayaannya.

“Saya mungkin terlepas salah satu zon yang perlu saya pergi, lalu beliau menyuruh saya bangun.

“Itu perkara biasa. Beliau pengurus elit yang menuntut mutu tertinggi daripada pemainnya, dan kami juga mahu memberikan yang terbaik.

“Jadi, perkara itu sangat lazim dalam sesi latihan,” kata Spence kepada BBC Radio 5 Live.

Spence beraksi selama 10 minit terakhir ketika England menewaskan Croatia 4-2 dan hampir menjaringkan gol.

“Saya mempunyai hubungan yang baik dengannya.

“Beliau kadangkala bercakap dengan saya sebelum dan selepas latihan, mengingatkan saya tentang apa yang perlu dilakukan serta kelebihan yang saya miliki.

“Saya boleh katakan kami mempunyai hubungan yang baik dan beliau seorang pengurus yang hebat,” tambah Spence mengenai Tuchel.