LONDON: Badan pentadbir bola sepak Eropah, Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa), bersama 55 negara anggotanya, pada 30 Julai mengundi untuk memulaukan semua kejohanan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), satu langkah yang boleh menjadi tamparan hebat kepada cadangan badan bola sepak dunia itu untuk menjual pegangan dalam Piala Dunia kepada pelabur luar.

Dalam satu kenyataan tegas, Eropah mempamerkan pendirian bersatu terhadap Presiden Fifa, Gianni Infantino, yang cadangannya mencetuskan bantahan hanya beberapa minggu selepas Piala Dunia diadakan di Amerika Syarikat, Canada dan Mexico.

Enam daripada 10 pasukan bola sepak lelaki dan wanita teratas dunia berasal dari Eropah, termasuk juara dunia, Sepanyol.

Gabungan Bola Sepak Amerika Utara, Amerika Tengah dan Caribbean (Concacaf) bersama 41 persatuan anggotanya turut menolak rancangan Fifa itu pada 30 Julai, walaupun Persekutuan Bola Sepak Mexico (FMF) berkata pihaknya belum membuat keputusan dan akan menunggu maklumat serta butiran lanjut daripada Fifa.

Sementara itu, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memberi amaran kepada 47 persatuan anggotanya bahawa cadangan itu tidak akan berjaya tanpa sokongan semua enam gabungan serantau.

Pendirian Uefa itu meningkatkan lagi ketegangan, dengan kesan serta-merta terhadap Piala Dunia Wanita 2027 di Brazil. Sepanyol, Portugal dan Maghribi akan menjadi tuan rumah bersama Piala Dunia Lelaki 2030.

Uefa telah mengundi sebulat suara, 55-0, menyokong pemulauan itu, menurut sumber bola sepak kepada Reuters.

“Kami sebulat suara dan tegas menolak cadangan Fifa untuk memindahkan kepentingan pemilikan dalam Piala Dunia dan pertandingan Fifa lain kepada pelabur swasta,” kata Uefa.

“Tiada pasukan kebangsaan Uefa akan menyertai mana-mana pertandingan Fifa selagi cadangan ini diteruskan, melainkan ia ditarik balik sepenuhnya dan Fifa memberi jaminan mengikat bahawa perkara sama tidak akan berulang.”

Uefa berkata Piala Dunia bukan untuk dijual dan tidak boleh dijadikan produk pelaburan.

Rancangan Infantino ialah menubuhkan anak syarikat bernilai AS$20 bilion ($25 bilion) bagi mengendalikan Piala Dunia dan kejohanan Fifa lain, sambil menawarkan pegangan minoriti kepada pelabur swasta.

Beliau menawarkan AS$40 juta kepada setiap 211 persatuan anggota Fifa jika cadangan itu diluluskan sebelum 19 September, sebagai sebahagian daripada pakej AS$10 bilion bermula 1 Januari 2027.

Jika ditolak, persatuan anggota hanya akan menerima pakej terdahulu bernilai AS$2.7 bilion, kira-kira AS$10 juta setiap satu.

Uefa menyifatkan cadangan itu sebagai kegagalan kepimpinan dan pengabaian tanggungjawab Fifa sebagai penjaga bola sepak dunia.

“Apabila pelabur luar memperoleh pegangan dalam pertandingan Fifa, bola sepak akan berubah selama-lamanya. Pulangan komersial menjadi kewajipan, manakala jangkaan pelabur menjadi tekanan harian.”

Uefa dan Fifa telah lama bersaing merebut kuasa dalam sukan yang kini menjana pendapatan besar.

Uefa, yang pertandingan kelab elitnya menjana 4.4 bilion paun ($6.5 bilion) pada musim 2024/25 sahaja, dan Fifa telah lama bersaing merebut kuasa serta kawalan dalam sukan yang kini menjadi industri bernilai berbilion dolar.

Infantino, yang akan bertanding semula bagi jawatan presiden Fifa pada 2027, mempertahankan cadangan itu sebagai usaha mengagihkan lebih banyak manfaat kewangan Fifa kepada lebih ramai pihak, yang disifatkannya sebagai “pendemokrasian”.

Namun, pihak lain berpendapat sebaliknya.

Menteri Kebudayaan Britain, Lisa Nandy, berkata selepas kenyataan Uefa: “Bola sepak milik penyokong, bukan pelabur jutawan. Cukuplah. Sudah tiba masanya kita mempertahankan sukan ini.”

Presiden AFC, Sheikh Salman bin Ebrahim Al-Khalifa, berkata AFC langsung tidak dirujuk sebelum pengumuman itu dibuat dan menyifatkan kekurangan analisis tadbir urus, kewangan serta perundangan sebagai “langsung tidak boleh diterima”.

“Tindakan Fifa membuat keputusan sendiri dilihat menjejaskan asas bola sepak benua yang dibina atas semangat perpaduan, kerjasama dan ketelusan.

“Langkah seperti ini tidak akan berjaya tanpa sokongan semua gabungan,” katanya.

Concacaf berkata presiden persatuan anggotanya membangkitkan kebimbangan terhadap kekurangan proses sewajarnya, tempoh yang singkat serta ketiadaan semakan oleh badan tadbir urus Fifa.

“Perbincangan itu mengukuhkan keperluan untuk ketelusan dan tadbir urus yang sewajarnya. Atas sebab itu, Concacaf dan 41 persatuan anggotanya telah menolak cadangan itu.”

Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) akan menilai cadangan itu minggu depan, manakala Konfederasi Bola Sepak Oceania akan membincangkannya pada Ogos.

Badan pentadbir bola sepak Amerika Selatan, Gabungan Bola Sepak Amerika Selatan (Conmebol) belum mengulas.

Persekutuan Persatuan Bola Sepak Profesional Antarabangsa (Fifpro) turut membantah rancangan itu dan memberi amaran, ia akan mengubah secara kekal insentif yang menjadi asas kepada kejohanan tempat pemain bekerja dan membina kerjaya mereka. – Agensi berita.