Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

2023 dibayangi krisis kemanusiaan konflik Israel-Palestin

Tahun 2023 menyaksikan tempoh penuh tragedi dan kehilangan nyawa dengan jumlah tertinggi dalam sejarah konflik Palestin-Israel. Tatkala dunia melabuh tirai 2023, masyarakat antarabangsa menekankan keperluan mendesak ke arah penyelesaian damai, gencatan senjata bagi bantuan kemanusiaan dan kestabilan di Jaluran Gaza. Dalam melangkah ke 2024 pula, masyarakat sejagat menaruh harapan adanya kedamaian yang memerlukan komitmen dan usaha bersama semua pihak yang terlibat. Dunia mahu sokongan berterusan masyarakat antarabangsa agar menghentikan lingkaran keganasan di wilayah itu dan membina masa depan lebih aman dan makmur di Jaluran Gaza.
Jan 01, 2024 | 05:31 AM



Tahun 2023 melabuhkan tirainya menyaksikan paling banyak kematian dalam sejarah konflik Palestin-Israel.

Israel terus menyerang melalui tindakan pengeboman dan pertempuran darat sejak 7 Oktober yang tercetus selepas serangan Hamas terhadap Israel yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Dalam tempoh itu juga, ia menyaksikan situasi kemanusiaan yang tercalar di seluruh Jaluran Gaza dengan penghantaran bantuan kemanusiaan terus berdepan cabaran yang hampir tidak dapat diatasi.

Dunia melihat penduduk Palestin dipaksa berpindah dan pertempuran sengit sukar dibayangkan manakala sistem tindak balas kemanusiaan berada di ambang kehancuran.

Konflik itu menyebabkan Gaza musnah dengan separuh daripada perumahan di wilayah terkepung itu rosak atau ranap manakala hampir dua juta penduduk kehilangan tempat tinggal.

Dalam krisis itu, ia menyaksikan sekurang-kurangnya 20,000 dilaporkan terbunuh manakala lebih 52,500 lagi cedera dalam serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza dan Tebing Barat sejak 7 Oktober.

SERANGAN HAMAS
PADA 7 OKTOBER

Menyusuli serangan balas Israel itu, Profesor Madya Eugene Tan dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU) berkata kepada Berita Harian (BH), kutukan terhadap pembunuhan orang awam di Gaza, termasuk wanita dan kanak-kanak dalam serangan Israel ke atas Gaza melimpah-ruah dalam kalangan warga antarabangsa.


Malah ramai pemimpin dunia mahu semua pelaku keganasan mesti bertanggungjawab dan segera dibawa ke muka pengadilan.

Pemimpin dunia menyuarakan kebimbangan mendalam berhubung ketegangan yang terus meningkat bukan sahaja di Jaluran Gaza bahkan di Tebing Barat yang diduduki, termasuk di Baitulmakdis Timur.

Malah ketetapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa menyeru Israel supaya menghentikan serangan itu serta-merta.

GENCATAN SENJATA SEMENTARA

Dr Tan berkata salah satu langkah positif dalam konflik itu adalah gencatan senjata sementara yang dibuat untuk pembebasan tebusan oleh Hamas dan tahanan oleh Israel.

Ini merupakan langkah penting dalam usaha mengurangkan ketegangan, membuka jalan untuk dialog selanjutnya dan misi bantuan kemanusiaan.

Qatar telah membantu dalam menyediakan kelegaan sementara melalui gencatan senjata yang membolehkan Hamas melepaskan tebusan sebagai pertukaran dengan tahanan yang dipenjarakan oleh Israel.

Namun, terdapat batasan yang jelas terhadap apa yang dapat dilakukan oleh negara-negara pengantara ke arah gencatan senjata.

Dr Tan menekankan pentingnya pemahaman mendalam mengenai dinamik konflik itu dan kesannya kepada kestabilan serantau dan sejagat.

Dengan perkembangan terkini, banyak pihak berharap agar langkah konkrit dapat diambil untuk mencapai penyelesaian damai yang berkekalan.

Namun, Amerika Syarikat menolak cadangan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk menuntut gencatan senjata dengan segera antara Israel dengan Palestin.

Cadangan draf ketetapan ringkas dikemukakan Amiriah Arab Bersatu (UAE) disokong 13 ahli lain, hanya Britain berkecuali, dengan Washington diasingkan secara diplomatik kerana melindungi sekutunya.

SOKONGAN DIPLOMATIK AMERIKA KEPADA ISRAEL

Menurut Dr Tan, sokongan diplomatik Amerika kepada Israel telah membolehkan Israel meneruskan serangan mereka di Gaza.

Walaupun Amerika menyeru Israel agar melindungi orang awam dan mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa, Israel bertekad untuk tidak menghentikan misi mereka.

Malah Amerika memveto ketetapan Majlis Keselamatan pada 8 Disember yang menuntut gencatan senjata segera untuk menghentikan pertumpahan darah di Jaluran Gaza ketika jumlah kematian terus meningkat.

Walaupun masyarakat antarabangsa telah mencapai ‘sedikit kejayaan’ dalam membentuk konflik ke arah yang positif, namun kejayaannya terbatas, kata Dr Tan.

Malah, katanya, keadaan menjadi lebih buruk.

Sementara masih ada jalan panjang yang perlu ditempuh, masyarakat antarabangsa terutama para perunding dan pengantara tidak putus harapan atau menyerah kalah untuk tidak membawa bencana yang lebih besar bagi semua.

Dr Tan berkata masyarakat antarabangsa terus berusaha mencari penyelesaian damai yang berkekalan, sambil menekankan peranan penting setiap negara dalam membantu menstabilkan situasi.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Encik Antonio Guterres, pada 6 Disember menggunakan Artikel 99 Piagam PBB buat kali pertama sejak beliau menjadi ketua pertubuhan itu pada 2017 bagi menangani krisis kemanusiaan di Jaluran Gaza.

Penganalisis Kanan Ehwal Antarabangsa di Solaris Strategies Singapore, Dr Mustafa Izzuddin, berkata Artikel 99 Piagam PBB itu membenarkan Setiausaha Agung untuk membawa kepada perhatian Majlis Keselamatan sebarang perkara yang pada pendapat beliau boleh mengancam kelestarian keamanan dan keselamatan antarabangsa.

PBB katanya mengaktifkan Artikel 99 mengenai Gaza akibat kelumpuhan Majlis Keselamatan PBB menggunakan veto seperti yang dilakukan oleh Amerika sehingga membolehkan Israel meneruskan gerakan bersenjatanya,

Beliau juga menyorot peranan Singapura dalam isu itu.

“Walaupun merupakan negara kecil dan rakan rapat Israel, Singapura menunjukkan kompas moral yang kuat dengan menjadi penaja bersama ketetapan PBB yang menyeru gencatan senjata segera dan pembebasan tawanan, yang telah mendapat sokongan besar-besaran dari negara-negara anggota di seluruh dunia,” tambah Dr Mustafa.

Penglibatan Singapura dalam isu itu menunjukkan komitmen negara terhadap prinsip kemanusiaan dan tidak berpihak dalam konflik antarabangsa.

Langkah itu juga menegaskan semula kedudukan Singapura sebagai negara yang memegang teguh pada prinsip keadilan dan perdamaian sejagat, ujar Dr Mustafa.

KRISIS KEMANUSIAAN

Fakta jelas menunjukkan Amerika sudah banyak kali menggunakan kuasa vetonya di PBB untuk melindungi Israel.

Al-Jazeera sebelum ini melaporkan, Amerika menggunakan kuasa vetonya sekurang-kurangnya 34 kali untuk menyekat draf resolusi Majlis Keselamatan PBB yang mengkritik Israel.


Untuk rekod, draf ketetapan di Majlis Keselamatan PBB memerlukan sekurang-kurangnya sembilan undi dan tiada veto oleh mana-mana lima ahli tetapnya iaitu Amerika, Perancis, Britain, Russia atau China, untuk diluluskan sebagai ketetapan.

Majlis Keselamatan PBB terus bergelut untuk mencapai kata sepakat mengenai langkah menghentikan perang Israel-Hamas ketika usaha bantuan kemanusiaan hampir lumpuh manakala ekonomi sejagat kian merudum.

Menurut Dr Tan, situasi kemanusiaan di zon konflik adalah bencana yang tidak terkawal.

Istilah ‘apokaliptik’ telah digunakan untuk menggambarkan keadaan ‘noda hitam’ bagi kemanusiaan dan akan mengambil masa beberapa generasi untuk memperbaiki jurang antara Israel dengan Palestin itu.

Pertubuhan Bukan Pemerintah (NGO) telah berperanan sebagai wira dalam konflik ini, kata Dr Tan.

Dengan usaha berani, ada anggota NGO yang terkorban demi menyelamatkan orang awam sepanjang empat bulan terakhir 2023.

Sepanjang tempoh itu, dunia menyaksikan tindakan kemanusiaan yang lebih besar daripada masyarakat antarabangsa untuk membantu menangani krisis tersebut dan mengurangkan penderitaan rakyat Palestin.

“Moga pengalaman 2023 menjadikan 2024 sebagai pendekatan untuk menyeru agar lebih banyak sumber dan sokongan diberikan kepada NGO yang berada di barisan hadapan, dalam usaha mereka untuk menyediakan bantuan dan perlindungan kepada mangsa konflik,’‘ ujar Dr Tan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >