Sebagai pendidik, majikan dan ahli lembaga beberapa badan akademik antarabangsa, saya sering ditanya sama ada rakyat Singapura cukup berdaya saing untuk merebut peluang dalam pasaran pekerjaan rentas sempadan.

Pada mata dunia, isu ini tidak perlu timbul kerana Singapura sering dilihat sebagai masyarakat yang tegas, berdaya saing dan bukan sahaja dahagakan kejayaan, malah mempunyai visi yang jelas tentang makna kejayaan itu sendiri.

Namun di Singapura, isu ini hangat diperdebatkan dalam talian selepas seorang perekrut undang-undang mendakwa bahawa syarikat lebih mengutamakan pekerja asing yang “lebih dahaga” daripada pekerja tempatan.

Daripada Stomp, Reddit hingga penerbitan berita, pengguna media sosial dan para pakar telah menolak tanggapan tersebut.

Bagi saya, keadaan ini agak janggal.

Rakyat Singapura dikenali kerana mereka ‘taksub’ terhadap kecemerlangan akademik, kerja keras dan daya tahan ekonomi, yang telah sebati sejak fasa awal pembangunan negara ini.

Sepanjang tempoh lebih lima dekad, falsafah ini telah melonjakkan kualiti kehidupan kita sekali gus mengukuhkan kedudukan republik ini sebagai pusat perniagaan utama di rantau ini. Justeru, amat jelas bahawa rakyat Singapura, termasuk golongan muda, memiliki semangat juang dan daya tahan yang amat kental.

Bagaimanapun, isu pokoknya bukan sekadar soal sama ada kita mempunyai keinginan yang kuat, tetapi lebih pada ke mana arah tujuan keinginan itu dan adakah ia masih relevan dalam mendepani cabaran kecerdasan buatan, persaingan geopolitik global serta keruntuhan sistem antarabangsa yang sedia ada.

Pengalaman dengan rakan sekerja muda

Sebagai majikan, saya berinteraksi dengan ramai bakat muda tempatan yang memiliki keghairahan jitu untuk mencapai kejayaan, terutamanya dalam konteks pemahaman konvensional yang sering kita fahami.

Ramai pemohon kerja telah melengkapkan siri latihan industri yang intensif sebelum menggenggam segulung ijazah, mencerminkan landskap persaingan yang amat sengit dan kadangkala membawa kepada tekanan yang ekstrem.

Persaingan ini turut tercermin dalam jumlah masa yang kita luangkan di tempat kerja.

Data tinjauan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) bagi tahun 2025 mendedahkan bahawa tenaga kerja kita mencatatkan purata 44 jam bekerja seminggu, satu angka yang melampaui norma di negara-negara Barat dan meletakkan kita seiring dengan kepantasan ekonomi berdaya saing tinggi seperti China serta Korea Selatan.

Namun, persoalannya ialah apakah punca yang melonjakkan daya saing kita ini?

Dapatan daripada tinjauan setahun oleh firma kerjaya graduan, GTI Media, memperlihatkan bahawa prospek kemajuan kerjaya, imbuhan yang lumayan serta jaminan pekerjaan kekal menjadi tunjang utama yang didambakan oleh golongan siswazah tempatan.

Sungguhpun aspirasi sedemikian selari dengan trend di negara-negara maju yang lain, kepentingan faktor-faktor ini kian terhakis dalam landskap pasaran kerja yang kini sering kali dibelenggu oleh gelombang penstrukturan semula organisasi serta episod pemberhentian pekerja.

Sekiranya rakyat Singapura terus berpaut pada harapan tersebut dalam suasana ekonomi yang serba tidak menentu ini, dibimbangi rasa kecewa akan terus menghantui diri mereka.

Namun selain cita-cita kerjaya, budaya kerja kita sebenarnya turut terbeban dengan dua kekangan utama yang lazim dalam masyarakat Asia: perspektif pembangunan yang terlalu terbatas serta kecenderungan untuk menjauhi sebarang bentuk ketidaktentuan.

Struktur berasas pencapaian; elak perubahan

Matlamat hidup kita sering dilihat sebagai laluan yang jelas – belajar bersungguh-sungguh, tamat pengajian dengan cemerlang dan kemudian memperoleh pekerjaan bergaji lumayan.

Paradigma pemikiran sedemikian rupa mencorak kehidupan kita secara holistik, mencakupi etika kerja sehinggalah kepada dinamika interaksi sosial.

Tamsilnya, institusi kekeluargaan sering kali menyaksikan pasangan suami isteri menangguhkan hasrat menimang cahaya mata sehingga kestabilan kerjaya tercapai, yang mana selama ini kayu ukurnya dipandu secara eksklusif oleh pencapaian akademik yang terbatas.

Dalam jangka panjang, cara berfikir ini secara senyap menghakis keupayaan kita untuk mengemudi dunia yang rumit.

Bolehkah pemikiran yang hanya bertumpu pada satu laluan menghadapi cabaran susunan dunia baru? Kemungkinan besar tidak.

Akibatnya, pandangan sempit ini menanam rasa kurang selesa terhadap perkara yang tidak pasti, lalu mempengaruhi cara kita menghadapinya serta kesannya terhadap kehidupan seharian dan mutu kehidupan.

Menerusi interaksi saya bersama mahasiswa, saya sering mengesan kewujudan rasa bimbang untuk melangkaui sempadan disiplin akademik masing-masing, meskipun inisiatif sedemikian tidak akan menggugat kedudukan gred mereka.

Ini amat merugikan kerana banyak anugerah penyelidikan kini tertumpu pada kajian antara disiplin, dan mengelakkan perkara luar biasa juga bererti melepaskan peluang yang ada.

Apa yang diperlukan sekarang?

Dalam satu sesi temu bual pada awal 2026, Encik Jensen Huang, Ketua Pegawai Eksekutif gergasi teknologi Nvidia, telah diajukan persoalan mengenai definisi “kebijaksanaan” serta perspektif beliau terhadap keberkesanan sistem pendidikan kontemporari.

Bagi ketua Nvidia itu, keupayaan untuk “melihat di sebalik selekoh”, memahami orang lain, membaca perkara yang tersirat dan menjangka masalah sebelum ia berlaku, merupakan petunjuk kecerdasan serta asas kejayaan.

Yang lebih penting, beliau menegaskan bahawa bakat tidak semestinya tercermin dalam pencapaian akademik, manakala sistem pendidikan yang berpusatkan peperiksaan semakin kurang sesuai disebabkan AI.

Mendepani realiti dunia baharu yang dicorakkan oleh ketidakstabilan geopolitik global, kegoncangan ekonomi, serta evolusi teknologi yang drastik, kerangka institusi formal mahupun tidak formal perlu melakukan anjakan paradigma daripada pemikiran bahawa kejayaan hanya bersifat satu haluan.

Ini bermakna menerima ketidakpastian, mewujudkan persekitaran yang membolehkan penerokaan dan kegagalan, serta menggalakkan penjelajahan di luar lingkungan selesa.

Secara praktikalnya, kita sewajarnya meneliti semula kriteria biasiswa dengan mengurangkan kebergantungan terhadap gred, memperkasa pengiktirafan sumbangan luar kurikulum, serta memberi mandat yang lebih besar kepada sinergi rentas disiplin dalam pelaksanaan projek tahun akhir.

Di atas segalanya, cara paling berkesan untuk memupuk daya penyesuaian ialah melalui pengalaman sebenar dan pengalaman hidup, khususnya di rantau kita sendiri.

Asia Tenggara menawarkan ekosistem yang kaya dan pelbagai bagi membantu rakyat Singapura memahami selok-belok pasaran sedang membangun serta memahami profil psikologi negara jiran, yang sering kali dilabel sebagai pesaing yang “dahaga”.

Dengan galakan kewangan pemerintah, syarikat Singapura yang beroperasi di rantau ini boleh membantu memperluas program pertukaran kerja dan pendidikan untuk warga Singapura, menyediakan peluang mengalami geseran sosial dan sifat merendah diri yang tidak dapat dipelajari daripada buku teks.

Jalan yang kurang dilalui

Dalam pasaran kerja yang dibentuk oleh ketidaktentuan, perubahan ekonomi dan gangguan teknologi, pendidikan bukan lagi jaminan utama untuk meningkatkan taraf hidup.

Kemahiran sosial dan hubungan sesama manusia amat penting. Begitu juga dengan kesediaan menghadapi ketidakpastian serta keberanian untuk memilih jalan yang berbeza daripada yang biasa.

Di sinilah sesetengah warga asing mungkin mempunyai kelebihan kerana mereka mungkin tidak memikul tanggungjawab penjagaan keluarga ketika bekerja di sini.

Namun begitu, cabaran kewangan dan tanggungjawab di negara asal mendorong mereka mencuba lebih banyak perkara, menerima pekerjaan yang kurang menarik dan bekerja bagi tempoh yang panjang dalam keadaan yang mencabar.

Namun, gambaran ini tidak lengkap.

Lebih daripada suku juta rakyat Singapura, atau lebih daripada seorang dalam setiap 20 penduduk, turut belajar, bekerja dan menetap di luar negara. Kita juga “orang asing” di negara lain, dan ramai dalam kalangan mereka sama dahaganya untuk membina kejayaan sendiri.

Sebagai contoh, kadar penerimaan pemohon Singapura ke Universiti Cambridge yang tersohor ialah 26.5 peratus, jauh lebih tinggi daripada kadar purata universiti itu, iaitu 16.4 peratus. Majikan antarabangsa juga sering memuji graduan Singapura kerana kemahiran teknikal yang kukuh, kesediaan untuk bekerja dan etika kerja yang diingini.

Perbahasan ini sering digambarkan sebagai persaingan antara ‘penduduk tempatan’ dan ‘warga asing’, namun hakikatnya lebih rumit kerana kedua-duanya tidak bersifat seragam. Keinginan untuk berjaya wujud dalam semua kewarganegaraan, walaupun dizahirkan secara berbeza.

Apa yang kita lihat bukan kekurangan keinginan untuk berjaya dalam kalangan rakyat Singapura. Kita masih dahagakan kejayaan, tetapi melalui pendekatan lama yang tidak lagi memadai dalam dunia yang berubah pantas.

Kita tidak dapat mengawal keadaan ekonomi semasa. Namun, kita boleh mengubah cara kita mentafsir kejayaan, menerima ketidakpastian dengan yakin, dan menumpukan semula usaha untuk membina daya tahan bersama.

Penulis zamil kanan dan ketua program penyelidikan perpaduan sosial di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang (NTU). Beliau anggota lembaga Pusat Penyelidikan Silang Budaya Gunaan di Universiti Victoria Wellington, dan Akademi Antarabangsa untuk Penyelidikan Antara Budaya. Artikel ini kali pertama diterbitkan di The Straits Times.