Apabila diberitahu bahawa saya berpeluang mencuba sendiri persembahan aerial atau persembahan di udara bagi Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2026, perasaan pertama yang timbul bukanlah teruja, sebaliknya takut.

Saya bukan seorang yang gemar dengan ketinggian. 

Malah, membayangkan diri tergantung di udara sudah cukup membuatkan jantung berdegup kencang.

Persembahan di udara pada 2026 merupakan antara segmen paling mencabar dari sudut teknikal dalam keseluruhan NDP. 

Segmen itu akan mengiringi lagu tema NDP 2026, You’ll Be Okay nyanyian bakat tempatan, Jasmine Sokko dengan persembahan dikoreografi oleh Adelene Chua.

Lagu tersebut membawa mesej harapan, ketabahan dan keyakinan untuk terus melangkah walaupun berdepan cabaran. 

Jasmine Sokko akan ditemani dua penghibur udara yang mengenakan abah-abah khas berbentuk seperti skirt tutu. 

Mereka akan membuat persembahan sambil berpusing 360 darjah dan berayun anggun di udara, diserikan lagi dengan pertunjukan 300 dron di dalam stadium.

Persembahan itu menggabungkan elemen keselamatan, koordinasi dan seni persembahan untuk menghasilkan visual yang memukau.

Menyaksikan semua itu dari bawah sudah cukup mengagumkan.

Namun, segala-galanya terasa berbeza apabila tiba giliran saya mengenakan abah-abah dan merasai sendiri pengalaman itu.

Wartawan media sosial, Cik Eva Adriana Azmi, mengenakan abah-abah keselamatan sebelum mencuba persembahan aerial.
Wartawan media sosial, Cik Eva Adriana Azmi, mengenakan abah-abah keselamatan sebelum mencuba persembahan aerial. - Foto BM oleh HAZIRAH HANIFAR

Saya memakai abah-abah keselamatan sebelum pasukan jurutali (rigger) memasang dua wayar pada kededua sisi badan saya. 

Mereka mengelilingi saya sambil memeriksa setiap klip dan sambungan beberapa kali bagi memastikan semuanya benar-benar selamat.

Walaupun saya tahu setiap prosedur keselamatan telah dipatuhi, rasa gementar tetap tidak dapat dielakkan.

Sebaik sahaja isyarat diberikan, saya perlahan-lahan diangkat ke udara.

Pada mulanya, saya hanya diangkat kira-kira satu meter. Namun, kerana terlalu gementar, saya menyangka saya sudah berada pada ketinggian 2.5 meter.

Tidak lama kemudian, saya dibawa naik ke udara hingga 2.5 meter. 

Walaupun tidak begitu tinggi, ia sudah cukup membuatkan kaki terasa ringan dan tangan menggigil.

Ketika itu, saya hanya mampu menarik nafas panjang sambil mengingatkan diri untuk mempercayai pasukan yang mengendalikan sistem tersebut.

Walaupun masih gementar, saya tetap cuba menikmati pengalaman itu dengan membuat beberapa ‘pose’, termasuk gaya ‘superhero’. 

Siapa sangka, di sebalik rasa takut, saya sempat juga bergaya ketika tergantung di udara.

Namun, apa yang saya alami hanyalah sedikit gambaran.

Ketika persembahan sebenar nanti, para penghibur udara akan melakukan aksi pada ketinggian sehingga 30 meter.

Membayangkan mereka perlu bergerak dengan begitu anggun, tepat dan serentak pada ketinggian sedemikian membuatkan saya semakin menghargai usaha serta latihan yang diperlukan.

Selepas merasai sendiri pengalaman itu, saya merasakan mesej lagu You’ll Be Okay lebih dekat di hati.

Kadangkala, keberanian bukan bermaksud tidak berasa takut, tetapi memilih untuk terus melangkah walaupun rasa takut itu masih ada.

Pengalaman singkat itu juga membuka mata saya terhadap kerja keras ratusan individu di belakang tabir.

Apa yang disaksikan penonton selama beberapa minit sebenarnya lahir daripada latihan intensif, koordinasi yang teliti dan kepercayaan penuh antara setiap anggota pasukan.

Saya mungkin tidak berada 30 meter di udara seperti para penghibur sebenar, tetapi pengalaman 2.5 meter itu sudah cukup mengajar saya bahawa setiap persembahan hebat bermula dengan keberanian untuk mencuba. 

“Selepas merasai sendiri pengalaman itu, saya merasakan mesej lagu ‘You’ll Be Okay’ lebih dekat di hati. Kadangkala, keberanian bukan bermaksud tidak berasa takut, tetapi memilih untuk terus melangkah walaupun rasa takut itu masih ada. Pengalaman singkat itu juga membuka mata saya terhadap kerja keras ratusan individu di belakang tabir.”
Penulis.

SPH Media ialah rakan kongsi utama untuk Perbarisan Hari Kebangsaan 2026