Topik diikuti
Pergi ke BHkuBolehkah ChatGPT jadi ‘teman terapi’?
Hubungan manusia masih penting dalam era terapi AI
Bolehkah ChatGPT jadi ‘teman terapi’?
“Chat, adakah saya patut rasa sebegini?”
Begitulah soalan yang saya ajukan kepada sistem kecerdasan buatan (AI) ChatGPT baru-baru ini.
Betapa terkejutnya saya apabila sistem yang berasaskan teknologi, yang sebenarnya tidak memiliki emosi manusia, mampu memberikan jawapan yang kedengaran bersimpati dan penuh belas kasihan.
Malah, ia mampu meneruskan perbualan dua hala yang menyelami kedalaman emosi saya, sambil menghuraikan kemungkinan punca kepada perasaan yang saya alami ketika itu.
Bukan saya sahaja, ramai kini mencari ruang untuk meluahkan perasaan secara digital.
Bagi sesetengah orang, ruang itu bukan lagi dalam bentuk buku diari atau perbualan dengan sahabat rapat, tetapi kotak sembang yang dikenali sebagai ChatGPT.
Sebagai seorang yang berdepan tekanan kerja dengan jadual yang tidak menentu, saya juga pernah mencuba menggunakan alat AI ini untuk menyusun fikiran.
Kadangkala, saya turut menggunakannya dalam kehidupan peribadi.
Ada kalanya ia membantu.
Dengan hanya menaip beberapa ayat, ia boleh menghuraikan sesuatu masalah, membantu menyusun langkah seterusnya atau melihat sesuatu situasi daripada sudut yang lebih rasional.
Kelebihannya jelas.
Ia boleh diakses pada bila-bila masa, tidak memerlukan kos seperti sesi terapi profesional dan mampu memberi respons secara serta-merta.
Bagi individu yang mungkin berasa segan atau belum bersedia untuk bercakap dengan orang lain tentang masalah peribadi, alat seperti ini boleh menjadi langkah pertama untuk memahami emosi sendiri.
Namun, semakin lama saya menggunakannya, semakin jelas juga batasannya.
ChatGPT, walaupun canggih, tetap hanyalah satu sistem yang dilatih menggunakan data.
Ia bukan ahli terapi bertauliah.
Ia juga tidak mampu memahami sepenuhnya konteks yang wujud di sebalik sesuatu masalah atau mengesan isyarat bahaya yang mungkin tersembunyi dalam kata-kata seseorang.
Empati yang dipaparkan pula sebenarnya adalah hasil pengaturcaraan, bukan perasaan sebenar.
Di beberapa negara, sudah muncul kisah individu yang terlalu bergantung kepada chatbot untuk mendapatkan nasihat berkaitan emosi atau kehidupan.
Pada 2025, ibu bapa kepada Adam Raine dari California, Matt dan Maria Raine, mengambil tindakan undang-undang terhadap OpenAI selepas mendakwa anak mereka yang berusia 16 tahun meninggal dunia akibat bunuh diri selepas berinteraksi dengan chatbot tersebut.
Kes itu dilaporkan sebagai tindakan undang-undang pertama yang menuduh syarikat AI itu bertanggungjawab atas kematian salah.
Keluarga remaja tersebut berhujah bahawa program berkenaan seolah-olah mengesahkan pemikiran anak mereka yang paling bahaya dan merosakkan diri.
Hakikatnya, manusia secara semula jadi memerlukan hubungan.
Sejak kecil, hubungan dengan orang lain membentuk cara kita berfikir, emosi kita, malah mempengaruhi peluang kita menjalani kehidupan yang sihat.
Sebaliknya, keterasingan – sama ada melalui kesunyian atau pengasingan sosial – boleh memberi kesan yang amat besar terhadap kesejahteraan seseorang.
Maka, mungkin disebabkan itulah semakin ramai beralih kepada wadah dalam talian untuk meluahkan perasaan, dan malangnya termasuk mereka yang sebenarnya memerlukan sokongan emosi yang lebih mendalam.
Namun, ada juga perkara yang tidak boleh digantikan oleh teknologi, iaitu hubungan manusia.
Bersembanglah dengan rakan, ahli keluarga atau kaunselor – seseorang yang boleh memahami konteks hidup kita dan mampu memberikan respons yang lebih mendalam.
Ini tidak bermakna teknologi seperti ChatGPT tidak berguna.
Sebaliknya, ia boleh menjadi alat yang membantu.
Misalnya untuk menyusun fikiran atau mendapatkan cadangan awal tentang cara mengurus tekanan.
Dalam erti kata lain, ia
Namun, kita perlu berhati-hati agar tidak menjadikannya pengganti sepenuhnya kepada bantuan profesional atau hubungan sosial yang sebenar.
