Topik diikuti
Pergi ke BHkuDi sebalik tuntutan kuasa besar AS dan China daripada S’pura
Apabila persaingan kededua kuasa semakin sengit, tekanan agar S’pura berpihak timbul dalam bentuk tuntutan khusus yang mungkin dikemuka serentak jika perang tercetus
Di sebalik tuntutan kuasa besar AS dan China daripada S’pura
Pada 16 November, Washington menyenaraikan Singapura bersama Indonesia, Malaysia, Thailand dan Brazil sebagai lima negara yang kini hanya boleh menerima eksport cip kecerdasan buatan (AI) canggih dengan lesen Amerika Syarikat, atas alasan “risiko pengalihan lebih tinggi daripada biasa”.
Peraturan itu menyasarkan China, tetapi kita turut terkena tempiasnya.
Keputusan di negara lain boleh menyempitkan ruang kita untuk memilih.
Pada 1965, ancaman utama terhadap kedaulatan kita datang daripada negara jiran.
Hari ini, ancaman itu turut berpunca daripada hubungan kita dengan Amerika dan China.
Kedaulatan ialah hak untuk membuat pilihan.
Kebijaksanaan mentadbir negara menjadikan pilihan itu suatu kenyataan.
Bagi negara kecil seperti Singapura, bukan mudah untuk melaksanakan pilihan itu kerana kita banyak bergantung pada pihak lain dan mempunyai ruang yang terhad untuk melakukan kesilapan.
Persaingan Amerika-China kini meliputi aturan keselamatan, pasaran, teknologi dan rantaian bekalan kita, menjadikan hubungan saling bergantung itu lebih sukar diurus.
Tekanan ini tidak mungkin bersifat sementara.
Ia berpunca daripada persaingan yang berakar umbi dalam soal kuasa, sejarah dan cita-cita yang bercanggah.
Mengapa persaingan begitu mendalam
Kebangkitan China telah merapatkan jurang kuasanya dengan Amerika dengan ketara.
Dari segi keluaran sektor perkilangan dan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) berdasarkan pariti kuasa beli, China sudah mendahului Amerika.
Tentera laut China kini yang terbesar di dunia dari segi jumlah kapal, manakala Pentagon menganggarkan China mungkin memiliki lebih 1,000 kepala peledak nuklear yang sedia digunakan menjelang 2030.
Peralihan kuasa itu banyak menjelaskan persaingan tersebut, namun tidak menjelaskan mengapa rasa saling curiga begitu mendalam.
Sejarah China turut membentuk caranya mentafsir niat Amerika.
Sejarah itu memperlihatkan kitaran penyatuan, perpecahan dan penyatuan semula.
Pengajaran yang diraih pemimpin China ialah pergolakan melemahkan negara, manakala China yang lemah terdedah kepada campur tangan asing, malah penaklukan.
Kebimbangan itu membantu menjelaskan mengapa Beijing melihat sokongan Amerika terhadap Taiwan, kritikan mengenai Hong Kong dan Xinjiang serta galakan terhadap demokrasi sebagai rangkaian usaha melemahkan pemerintahan Parti Komunis dan memecahbelahkan China.
Amerika pula mempunyai jangkaan yang berbeza.
Selama beberapa dekad, rakyat Amerika berharap hubungan dengan China akan menjadikan negara itu lebih terbuka di dalam negeri dan lebih bertolak ansur di persada antarabangsa.
Sebaliknya, pemerintahan China semakin bersifat autokratik, manakala tindakannya di persada antarabangsa semakin tegas.
Kekecewaan itu menyebabkan Amerika mengetatkan dasarnya, yang kemudian dilihat Beijing sebagai bukti niat bermusuhan.
Rasa saling curiga ini semakin mendalam kerana matlamat kedua-dua pihak tidak mungkin dicapai serentak.
Dalam bidang teknologi, kedua-dua pihak percaya mereka tidak mampu tewas.
Pada Mei 2018, Presiden China, Encik Xi Jinping, memberitahu saintis terkemuka negaranya bahawa teknologi teras mesti dibangunkan sendiri, bukan dengan meminta-minta daripada pihak lain.
Pada September 2022, Penasihat Keselamatan Negara Amerika ketika itu, Encik Jake Sullivan, berkata Amerika mesti mengekalkan “kelebihan sebesar mungkin” dalam teknologi asas seperti cip canggih.
Hari ini, kedua-dua negara bertekad untuk mengungguli bidang AI.
Seperti yang dikatakan Presiden Amerika, Encik Donald Trump, “sesiapa yang menang dalam AI, dialah yang menang”.
Pemahaman yang lebih baik antara kedua-dua pihak dapat membantu, tetapi tidak akan menyelaraskan cita-cita yang bercanggah itu.
Amerika mahu terus mendahului, manakala China enggan terus dikekang.
Kerjasama boleh mengurangkan risiko konflik, tetapi tidak dapat menghapuskannya apabila persaingan itu bertembung dengan pertikaian yang belum selesai.
Di mana persaingan boleh cetus perang
Di Asia Timur, risiko itu meningkat apabila pertikaian setempat bertembung dengan kedudukan ketenteraan kedua-dua kuasa besar tersebut.
Jepun dan Filipina merupakan sekutu Amerika menerusi perjanjian pertahanan, manakala Taiwan merupakan rakan keselamatan rapatnya.
Masing-masing mempunyai pertikaian yang belum selesai dengan China, iaitu mengenai Kepulauan Senkaku/Diaoyu, Laut China Selatan dan Selat Taiwan.
Di sebalik pertikaian kedaulatan ini wujud persaingan lebih luas mengenai kawasan operasi dan kebebasan pergerakan angkatan tentera kedua-dua kuasa.
Sekutu dan rakan Amerika terletak di sepanjang sebahagian besar rantaian pulau pertama, yang terbentang dari Jepun menerusi Taiwan hingga ke Filipina.
Bagi Beijing, angkatan tentera yang mungkin memusuhinya itu berada dekat dengan pesisir China, mengawasi laluan laut penting dan menyukarkan kapal selam bersenjata nuklear China memasuki Lautan Pasifik tanpa dikesan.
China mahu angkatan tentera Amerika berada lebih jauh dari pesisirnya.
Amerika pula mahu tenteranya kekal di kedudukan sekarang, bersama sekutunya.
Tekad Amerika untuk mengekalkan kehadirannya di rantau itu berpunca daripada peristiwa Pelabuhan Pearl.
Pada 1941, Amerika menyedari bahawa pangkalan dan angkatan tentera di barisan hadapan Asia Timur diperlukan untuk mencegah serangan terhadap negaranya sendiri.
Taiwan, yang terletak di tengah-tengah rantaian pulau itu, menjadi keutamaan kedua-dua kuasa.
Penguasaan China ke atas Taiwan akan menyukarkan lagi Amerika dan sekutunya mengekang tentera laut China, manakala pengambilalihan pulau itu secara paksa akan menguji keyakinan negara lain terhadap sokongan Amerika.
Perbezaan politik meningkatkan lagi risiko itu: Beijing mahukan penyatuan semula, manakala semakin ramai penduduk Taiwan menganggap diri mereka sebagai warga Taiwan sahaja.
Jika Beijing merasakan masa tidak memihak kepadanya, semakin sukar baginya untuk terus menunggu.
Kedua-dua kuasa sedang bersiap menghadapi perang besar, meskipun memberi isyarat bahawa mereka tidak menginginkannya.
Namun, jaminan Amerika untuk mencegah serangan terhadap sekutu dan rakannya juga boleh mengheret negara itu ke dalam konflik jika usaha pencegahan gagal.
Bagi mengelakkan tanggapan bahawa ia mengabaikan sekutu dan rakannya, Amerika mungkin terpaksa berperang demi mempertahankan pulau-pulau yang status kedaulatannya tidak disebelahi oleh Amerika, atau demi Taiwan walaupun tanpa perjanjian rasmi.”
Kesan persaingan terhadap Asia Tenggara
Penyelesaian pertikaian kedaulatan tidak akan menghapuskan kepentingan ketenteraan perairan rantau ini atau menamatkan persaingan kedua-dua kuasa untuk memperoleh laluan dan pengaruh.
Imbangan kuasa serantau menentukan sejauh mana negara kecil mempunyai ruang untuk membuat pilihan.
Itulah sebabnya kehadiran Amerika yang berterusan penting bagi Singapura.
Kita tidak mahu mana-mana kuasa menguasai rantau ini, dan hanya Amerika yang benar-benar mampu mengimbangi China.
Apabila kedua-duanya hadir, masing-masing mempunyai sebab untuk meraih sokongan kita.
Singapura telah mengekalkan hubungan baik dengan kedua-dua kuasa tanpa menjalin pakatan ketenteraan dengan Amerika.
Kita tidak mampu mengorbankan mana-mana hubungan itu: Amerika merupakan pelabur asing terbesar kita, manakala China merupakan rakan dagang terbesar kita dari 2013 hingga 2024.
Namun, hubungan baik sahaja tidak akan menjamin kebebasan kita membuat pilihan jika salah satu kuasa itu mendesak kita membuat keputusan yang dianggapnya sebagai ujian kesetiaan.
Apa yang bakal dituntut kuasa besar
Ujian itu mungkin berupa permintaan khusus, bukan satu tuntutan supaya kita memilih pihak.
Sekurang-kurangnya lima bentuk permintaan boleh timbul.
Pertama ialah kebenaran menggunakan kemudahan ketenteraan.
Dalam menjalankan operasi, angkatan tentera memerlukan pelabuhan, lapangan terbang, bahan api, kemudahan pembaikan serta kebebasan menggerakkan anggota dan peralatan.
Kuasa pesaing mungkin menuntut sebaliknya, iaitu supaya kita tidak memberikan kebenaran tersebut.
Kedua ialah sama ada kita menerima peraturan kuasa lain mengenai keselamatan ekonomi dan teknologi.
Sekatan khusus, seperti peraturan mengenai cip AI, boleh dinilai berdasarkan kewajarannya.
Namun, kita tidak dapat menilai kewajaran berjanji untuk mematuhi peraturan yang belum diketahui kandungannya.
Perjanjian Perdagangan Timbal Balik Amerika-Malaysia yang dimeterai pada Oktober 2025 mengaitkan manfaat perdagangan dengan kerjasama dalam kawalan eksport dan keselamatan ekonomi, termasuk sekatan yang mungkin dikenakan Amerika kelak.
Ketiga ialah pembekal yang kita ketepikan.
Pada Januari 2020, Britain memutuskan untuk membenarkan Huawei membekalkan sebahagian daripada rangkaian 5G negara itu.
Enam bulan kemudian, selepas Washington menyekat bekalan cip buatan teknologi Amerika kepada Huawei dan memberi tekanan hebat terhadap London, Britain mengarahkan semua peralatan Huawei disingkirkan menjelang 2027.
Pada 2022, Washington turut memujuk konsortium yang membina kabel SEA-ME-WE 6 dari Singapura ke Perancis supaya menggugurkan kontraktornya dari China.
Keempat ialah undang-undang yang perlu dipatuhi firma kita apabila undang-undang dua negara bercanggah.
Sebuah bank Singapura boleh dikenakan penalti oleh Amerika kerana menjalankan urus niaga yang tertakluk pada sekatan Amerika, tetapi menghadapi tuntutan sivil di bawah Undang-Undang Antisekatan Asing China 2021 kerana mematuhi sekatan itu.
Kelima ialah pendirian diplomatik kita: cara kita mengundi dalam badan antarabangsa, ungkapan yang kita persetujui dalam kenyataan bersama dan kumpulan negara yang kita sertai.
Sebaik sahaja sesuatu pendirian diambil, ia menjadi kayu ukur bagi tindakan kita pada masa depan serta sandaran bagi pihak lain dalam tuntutan berikutnya.
Kesukarannya ialah keputusan ini tidak dinilai secara berasingan.
Dalam keadaan persaingan biasa, tuntutan dikemukakan satu demi satu sepanjang beberapa tahun, dan setiap keputusan yang diambil mungkin wajar jika dinilai secara berasingan.
Kita mungkin benar-benar percaya bahawa kita tidak memihak, tetapi setiap kuasa mungkin menilai keseluruhan keputusan kita dan menyimpulkan bahawa kita sudah lama memilih pihak.
Australia pernah melalui pengalaman ini.
Antara 2016 dengan 2018, Australia menyokong keputusan tribunal timbang tara mengenai Laut China Selatan, enggan menyokong Inisiatif Jalur dan Laluan China (Belt and Road Initiative), menggugurkan perjanjian ekstradisi (penghantaran balik penjenayah) dengan China, menggubal undang-undang bagi menangani campur tangan asing serta menyekat Huawei dan ZTE daripada menyertai rangkaian 5G negara itu.
Setiap keputusan mempunyai alasannya tersendiri, namun Beijing menilai kesemuanya secara keseluruhan.
Mantan Duta Australia ke China, Encik Graham Fletcher, berkata pegawai China sering menganggap Canberra bertindak bagi pihak Washington.
Apabila Australia menggesa siasatan antarabangsa mengenai asal usul Covid-19 pada April 2020, China memutuskan hubungan politik dan menyekat eksport Australia, daripada barli hingga wain.
Jika perang tercetus, beberapa tuntutan sedemikian boleh dikemukakan serentak dalam masa beberapa hari.
Semakin sukar bagi kita untuk terus menangguhkan keputusan, membiarkan pendirian kita kabur dan menangani setiap tuntutan secara berasingan.
Kita mungkin masih mempunyai hak rasmi untuk menolak, tetapi kosnya boleh menjadikan penolakan itu hampir mustahil dalam amalan.
Kita tidak memilih persaingan ini dan tidak mampu menamatkannya.
Namun, kita boleh menentukan sama ada mahu membina kekuatan untuk menghadapinya: keupayaan pertahanan, daya tahan ekonomi dan keupayaan institusi yang membolehkan kita menanggung kos membuat keputusan secara bebas.
Kita pernah melakukannya.
Pada 1968, apabila Britain mengumumkan pengunduran tenteranya menjelang 1971, kita mempunyai sekitar tiga tahun untuk membina pertahanan sendiri dan menggantikan pendapatan daripada pangkalan tentera Britain, yang menyumbang kira-kira satu perlima daripada pendapatan negara kita.
Kita tidak mengeluh bahawa tugas itu tidak adil. Sebaliknya, kita membina keupayaan sendiri.
Tekanan hari ini berbeza, malah dalam beberapa hal lebih besar.
Namun, jawapannya tetap sama: membina keupayaan lebih awal dan memiliki iltizam untuk menggunakannya.
Begitulah kebijaksanaan mentadbir negara memastikan kita benar-benar mempunyai pilihan.
Penulis ialah Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Iseas – Yusof Ishak serta Zamil S R Nathan ke-19 di Institut Pengajian Dasar (IPS). Ulasan ini disarikan daripada syarahan pertama dalam siri tiga Syarahan IPS-Nathan beliau yang disampaikan pada 16 November 2026. Biodata penulis dan artikel ini pertama kali diterbitkan dalam The Straits Times.
