Sebuah jawatankuasa bebas yang ditubuhkan pemerintah bagi menilai kontrak perlumbaan Formula Satu (F1) berpuas hati dan mendapati kepentingan pemerintah dalam perjanjian dengan Singapore GP terpelihara secukupnya, kata Timbalan Perdana Menteri (DPM) Encik Gan Kim Yong, pada 15 Oktober.
Jawatankuasa bebas itu turut menilai pemerintah teliti dan berhemah, tanpa sebarang penyelewengan dikesan ketika mengendalikan projek berprofil tinggi.
Sebagai contoh, pemerintah telah melantik penasihat guaman luar bagi menyemak kontrak berkenaan bagi memastikan kepentingan pemerintah dilindungi secukupnya.
“Anggota Parlimen tentu faham laporan penuh semakan ini tidak akan diterbitkan demi menjaga maklumat perniagaan yang sensitif,” jelas Encik Gan, dalam jawapan bertulisnya kepada pertanyaan Encik Edward Chia (GRC Holland–Bukit Timah), yang meminta perkembangan terkini mengenai semakan itu.
Beliau menambah laporan semakan itu turut diserahkan kepada Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan, Cik Grace Fu, yang menyelia sektor pelancongan.
Jawatankuasa berkenaan menilai kontrak semasa, yang meliputi tempoh 2022 hingga 2028, sebagai satu “pertukaran komersial yang adil dan munasabah” antara pemerintah dan Singapore GP.
Hasil semakan menunjukkan manfaat ekonomi daripada penganjuran F1 melebihi kos, dengan kedatangan pelancong asing dan hasil pelancongan tambahan melepasi sasaran.
Acara itu turut membantu mengekalkan kedudukan Singapura sebagai tuan rumah perlumbaan malam pertama di dunia serta mengukuhkan jenama antarabangsa negara ini.
Jawatankuasa itu turut mencadangkan langkah memperkukuh proses kerja antara Lembaga Pelancongan Singapura (STB) dan Singapore GP serta mengenal pasti bidang yang boleh dipertingkat untuk pembaharuan pada masa depan.
Pada Februari 2024, Cik Fu memaklumkan Parlimen, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) sedang menilai semula syarat perjanjian STB dan Singapore GP.
Pertanyaan itu dikemukakan susulan kes membabitkan bekas Menteri Pengangkutan, Encik S. Iswaran, dan jutawan hartanah, Ong Beng Seng.
Audit STB ke atas perlumbaan F1 2022 mendapati kawalan dalaman lembaga itu memuaskan dan tiada isu ketara.
Encik Ong merupakan pemegang saham utama Singapore GP ketika kontrak dimeterai, manakala Encik Iswaran ialah pengerusi jawatankuasa pemandu F1.
Pada Oktober 2024, Encik Iswaran dijatuhi hukuman penjara 12 bulan atas beberapa kesalahan, termasuk menerima hadiah daripada Encik Ong.
Encik Ong pula didenda $30,000 pada Ogos 2025 kerana bersubahat menghalang keadilan.
Encik Gan menegaskan sejak 2022, perlumbaan F1 terus mencatat prestasi baik dan kekal penting dalam memperkukuh sektor pelancongan serta imej antarabangsa Singapura.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg