Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mantan Menteri Pengangkutan S Iswaran hadapi 27 tuduhan; mahu kes dibicara

Jan 18, 2024 | 8:36 AM
DARI MAHKAMAH: Iswaran (tengah) tiba di mahkamah sekitar 8 pagi pada 18 Januari.
DARI MAHKAMAH: Iswaran (tengah) tiba di mahkamah sekitar 8 pagi pada 18 Januari. - Foto ST

Mantan Menteri Pengangkutan, S Iswaran, didakwa dengan sebanyak 27 tuduhan di mahkamah pada 18 Januari.

Seorang pegawai mahkamah memberitahu, tuduhan tersebut telah disebutkan kepada Iswaran sebelum perbicaraan itu.

Iswaran, yang sebelum ini ditangkap Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) pada Julai 2023, tiba di Mahkamah Negara sekitar 8 pagi.

Beliau tiba bersama pasukan guamannya termasuk Peguam Kanan Davinder Singh daripada firma Davinder Singh Chambers.

Pasukan pendakwa dipimpin Ketua Pendakwa Encik Tan Kiat Pheng, dan dibantu dua Timbalan Pendakwa Raya Encik Jiang Ke Yue dan Encik Kelvin Chong.

Iswaran memberitahu mahkamah beliau mahu kesnya dibicarakan.

Mahkamah diberitahu, tuduhannya meliputi dua tuduhan rasuah, 24 tuduhan menerima barang daripada seseorang yang terlibat dalam urusan perniagaan bersamanya terdahulu ketika beliau bertugas sebagai penjawat awam dan satu tuduhan kerana mengganggu proses pengadilan.

Dokumen mahkamah mendedahkan bahawa kebanyakan kesalahan yang beliau hadapi melibatkan hartawan Ong Beng Seng, yang telah membawa acara perlumbaan Formula Satu ke Singapura pada 2008.

Pada September 2022, Iswaran didakwa menerima rasuah daripada Encik Ong dalam bentuk hadiah berjumlah sekitar $145,434 sebagai satu langkah untuk memajukan kepentingan perniagaannya dalam urusan berkait satu kontrak antara Grand Prix Singapura (GPSS) dan Lembaga Pelancongan Singapura (STB).

Iswaran juga didakwa menerima rasuah daripada Encik Ong, hadiah bernilai $20,848.03 pada Disember 2022 bagi memajukan kepentingan perniagaannya dalam urusan berkait satu kontrak antara GPSS dan STB dan satu usulan bagi satu kontrak bersama STB.

Iswaran juga didakwa menerima, sebagai seorang penjawat awam, barang bernilai tinggi dengan nilai keseluruhan mencecah sekitar $218,058.95 dari Encik Ong antara November 2015 dengan Disember 2021.

Iswaran juga didakwa mengganggu urusan pengadilan pada atau sekitar 25 Mei 2023.

Iswaran, 61 tahun, ditangkap CPIB pada 11 Julai 2023 menyusuli siasatan badan itu dalam hal yang berasingan.

Dia kemudian dibebaskan dengan ikat jamin.

Dia kemudian diarahkan oleh Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, untuk mengambil cuti ketidakhadiran hingga siasatan selesai.

Gajinya turut diturunkan kepada $8,500 sebulan dan beliau terus menerima elaun Anggota Parlimen.

Semasa menjawab satu soalan di Parlimen pada 9 Januari, Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing berkata siasatan CPIB terhadap Iswaran telah selesai dan hal itu di tangan Pejabat Peguam Negara (AGC).

Iswaran telah berkhidmat sebagai Anggota Parlimen di GRC West Coast sejak 1997.

Dia dilantik menjadi menteri penuh dalam Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada 2011 dan telah memegang jawatan menteri dalam pelbagai kementerian temasuk pendidikan, ehwal dalam negeri serta perhubungan dan penerangan.

Hartawan hartanah, Encik Ong Beng Seng, yang dikenali sebagai orang yang membawa Formula Satu (F1) ke Singapura, turut ditangkap pada 11 Julai sebagai sebahagian daripada siasatan rasuah itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg