Hidayah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pertingkat ibadah, amal soleh dengan gaya hidup sihat

Nov 14, 2025 | 5:30 AM
gaya hidup sihat, agama, islam, kesihatan
Kesihatan adalah nikmat terbesar Allah swt yang membolehkan kita beribadah, menuntut ilmu dan beramal soleh. Dengan pemakanan seimbang dan tubuh yang aktif, kita dapat berkhidmat kepada agama, keluarga dan masyarakat. - Foto hiasan ISTOCKPHOTO

Kesihatan merupakan antara nikmat terbesar yang Allah swt kurniakan kepada manusia.

Tanpa tubuh yang sihat, manusia akan kehilangan kemampuan untuk berkhidmat kepada agama, keluarga dan masyarakat. Rasulullah saw bersabda:

“Ada dua nikmat yang kebanyakan manusia tertipu padanya: Nikmat kesihatan dan waktu lapang.” (HR Bukhari).

Hadis ini menegaskan ramai manusia tidak menghargai kesihatan selagi mereka masih sihat.

Hanya apabila ditimpa sakit barulah kita sedar betapa besarnya nilai nikmat tersebut.

Justeru, kesedaran terhadap penjagaan kesihatan merupakan sebahagian daripada tuntutan agama.

Imam Ibn Qayyim, seorang ulama besar dalam bidang sirah, pernah menulis kitab, Tibbun Nabawi – karya yang membincangkan perubatan berasaskan panduan Rasulullah saw.

Dalam kitab tersebut, beliau menjelaskan Baginda saw mengajarkan pelbagai cara menjaga kesihatan tubuh dan jiwa, serta menekankan bahawa Islam amat mengutamakan gaya hidup sihat.

Berdasarkan beberapa ayat Al-Quran, beliau menyimpulkan asas perubatan merangkumi tiga perkara utama: Menjaga kesihatan; menjauhi perkara yang memudaratkan; dan mengeluarkan bahan yang tidak baik daripada tubuh.

Prinsip itu dapat dilihat dalam kelonggaran yang Allah swt berikan kepada hamba-Nya, seperti kelonggaran bagi orang sakit dan bermusafir untuk tidak berpuasa agar kekuatan mereka terpelihara.

Begitu juga dengan ibadah bertayamum bagi orang sakit agar tidak memudaratkan tubuhnya dengan air.

Dalam pada itu, perbuatan sunah seperti bekam adalah contoh kepentingan mengeluarkan bahan kotor daripada tubuh kita.

Kesemua itu menggambarkan betapa Islam menitikberatkan penjagaan kesihatan serta mengajar umatnya mencegah segala perkara yang boleh membawa mudarat kepada diri sendiri.

Pemakanan seimbang

Salah satu rahsia utama kesihatan yang diajar oleh Rasulullah saw adalah keseimbangan dalam pemakanan. Baginda saw bersabda:

“Tidak ada bejana yang diisi oleh anak Adam lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam beberapa suapan untuk menegakkan tulang belakangnya. Jika beliau tidak dapat mengelak, maka sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minuman dan sepertiga untuk pernafasan.” (HR Tirmizi).

Hadis ini merupakan panduan emas tentang keseimbangan yang patut diamalkan dari segi pemakanan kita.

Agama tidak melarang seseorang menikmati makanan dan minuman, namun ia mengajar kita agar tidak berlebihan sehingga merosakkan tubuh sendiri.

Imam Ibn Qayyim menjelaskan kebanyakan penyakit berpunca daripada bahan berlebihan dalam tubuh yang menjejas fungsi semula jadinya.

Ia berlaku apabila seseorang makan sebelum makanan pertama sempat dihadam, mengambil makanan melebihi keperluan tubuh, atau mencampurkan terlalu banyak jenis makanan dalam satu masa.

Apabila seseorang makan secara berlebihan, tubuh akan menjadi lemah dan sukar melaksanakan fungsinya dengan baik.

Sebaliknya, apabila seseorang bersederhana – mengambil makanan sekadar keperluan dan memilih makanan yang bermutu – tubuh akan lebih mudah menyerap manfaatnya.

Justeru, Rasulullah saw menyarankan agar kita mengisi sepertiga perut dengan makanan, sepertiga dengan minuman dan membiarkan sepertiga lagi untuk pernafasan.

Ini kerana apa-apa yang berlebihan daripada kadar tersebut akan membawa kemudaratan, sama ada dalam jangka masa pendek mahupun panjang.

Penting pilih makanan halal, baik

Selain mengekalkan keseimbangan dalam pemakanan, kita juga perlu menilai semula jenis makanan yang diambil setiap hari.

Allah swt berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 168: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik (tayyib).”

Ayat ini bukan sahaja menuntut agar kita memastikan makanan itu halal dari segi hukum, malah yang bersifat tayyib – iaitu bersih, berkhasiat, bermanfaat dan tidak memudaratkan kesihatan.

Oleh itu, seorang Muslim hendaklah sentiasa berhati-hati dalam memilih makanan, bukan sekadar menghindari yang haram, malah berhati-hati dengan makanan yang berlebihan lemak, gula dan kolesterol yang boleh menjadi punca penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, serta kolesterol tinggi.

Hak tubuh badan

Di dalam satu hadis, Rasulullah saw menegur seorang sahabat yang berlebihan dalam beribadah sehingga mengabaikan kesihatan dirinya. Baginda bersabda:

“Sesungguhnya tubuhmu mempunyai hak ke atasmu.” (HR Al-Bukhari).

Hadis ini menegaskan agama menolak sikap melampau, sama ada dalam ibadah mahupun urusan dunia.

Justeru, menjaga kesihatan tubuh merupakan tanggungjawab seorang Muslim.

Seseorang yang merosakkan dirinya melalui gaya hidup tidak sihat sebenarnya menzalimi tubuh yang telah Allah swt amanahkan kepadanya.

Maka, kita hendaklah berusaha mengamalkan gaya hidup sihat seperti bersukan dan bersenam secara rutin, dan jika berpeluang, lakukannya bersama anggota keluarga walaupun hanya seminggu sekali.

Sekurang-kurangnya, perbanyakkan berjalan kaki dan elakkan tabiat makan sebelum tidur.

Selain itu, cuba gabungkan kegiatan fizikal dengan ibadah harian seperti berjalan ke masjid, membantu kerja sukarelawan, serta memastikan tubuh sentiasa bergerak aktif.

Rasulullah saw sendiri merupakan seorang yang aktif.

Baginda berjalan dengan cepat, membantu kerja rumah, memanah, menunggang kuda dan unta, serta menggalak umatnya berenang.

Terdapat juga riwayat yang menunjukkan Baginda turut terlibat dalam kegiatan fizikal seperti gusti, yang merupakan salah satu bentuk latihan pada zaman itu.

Ini membuktikan Islam bukan sahaja menjaga kesucian rohani, malah memberi perhatian kepada kekuatan jasmani.

Kesihatan merupakan peluang besar untuk mengumpul pahala dan memperbanyakkan amal soleh. Rasulullah saw pernah bersabda:

“Gunakan lima perkara sebelum datang lima perkara: Masa mudamu sebelum tuamu, masa sihatmu sebelum sakitmu, masa lapangmu sebelum sibukmu, masa kayamu sebelum miskinmu dan masa hidupmu sebelum matimu.” (HR Al-Hakim).

Kesimpulan

Nikmat kesihatan seharusnya menjadi kunci untuk menghadiri majlis ilmu, membantu golongan memerlukan, serta berdakwah di jalan Allah swt.

Namun, apabila seseorang tidak menjaga kesihatannya, gaya hidupnya akan menjadi tidak seimbang dan tubuh menjadi lemah, sehingga timbul rasa malas untuk melakukan amal kebajikan.

Janganlah kita menyesal pada hari kemudian kerana tidak berusaha menjaga diri ketika masih mampu, lalu akhirnya kita jatuh sakit dan terbeban di hari tua.

Namun dalam masa yang sama, kita juga perlu sedar bahawa setiap penyakit adalah ujian daripada Allah swt sebagai penghapus dosa, dan ada kalanya sebagai cara Allah mengangkat darjat seseorang di dunia dan di akhirat.

Yang penting, kita perlu berusaha menjaga kesihatan dengan penuh kesedaran, dan apabila diuji, kita bersabar serta bertawakal kepada Allah swt.

Artikel ini disumbang oleh Darul Tafsir, Masjid Al-Khair.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg