Pemerhati langit bakal menikmati satu pertunjukan cakerawala yang mempesona apabila hujan meteor Orionid melintasi langit Singapura selama dua malam pada 21 dan 22 Oktober ini.
Fenomena tahunan itu berlaku ketika Bumi melalui sisa serpihan yang ditinggalkan oleh Komet Halley.
Apabila cebisan kecil itu memasuki udara Bumi, ia akan terbakar dan menghasilkan pancaran cahaya yang bergerak pantas.
Kejadian itu mencipta jalur cahaya terang yang muncul dalam masa singkat di langit – sering digelar sebagai bintang jatuh.
Menurut The Observatory di Pusat Sains Singapura, hujan meteor Orionid dianggap antara yang paling indah dan jelas kelihatan melalui mata kasar.
Meteornya kelihatan muncul dari arah buruj Orion si Pemburu, yang biasanya berada tinggi di langit selepas 2 pagi.
Fenomena itu paling jelas kelihatan antara tengah malam dengan subuh.
Ketika itu, langit mungkin dihiasi antara 10 dengan 20 jaluran cahaya meteor sejam, termasuk bebola api terang yang meluncur pantas di ufuk malam.
Pemerhati langit tidak memerlukan sebarang peralatan khas, hanya kesabaran dan ruang yang sesuai untuk menatap langit.
Namun, pencemaran cahaya dan awan tebal di kawasan bandar boleh menjejas pemandangan.
The Observatory menyarankan orang ramai memilih kawasan gelap dan terbuka, seperti taman, pantai, takungan atau padang yang jauh dari cahaya bandar, bagi menikmati pengalaman terbaik.
Bagi ramai pencinta langit, hujan meteor bukan sekadar peristiwa saintifik di langit, bahkan detik hening untuk menghayati keindahan ciptaan Tuhan.
Sesi pemerhatian bintang di balai cerap diteruskan tanpa acara khas Orionid.
Para pengunjung masih boleh memerhatikan bintang dan planet melalui teleskop di sesi tersebut.
Maklumat lanjut boleh didapati di pautan, www.science.edu.sg/whats-on/workshops-activities/stargazing
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg