Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Imbangi keghairahan dengan sikap saling hormat dalam kegiatan aktivisme

Mar 14, 2025 | 3:30 PM
Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, dihampiri dua wanita semasa Sesi Bertemu Penduduk (MPS)  mingguan di 107 Yishun Ring Road pada malam 12 Mac. 
Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, dihampiri dua wanita semasa Sesi Bertemu Penduduk (MPS) mingguan di 107 Yishun Ring Road pada malam 12 Mac.  - Foto TANGKAP LAYAR FACEBOOK K SHANMUGAM SC

Tiga aktivis muda yang terlibat dalam insiden baru-baru ini di Sesi Bertemu Penduduk (MPS) Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam telah dikritik secara meluas.

Ramai yang menyuarakan rasa tidak setuju mereka terhadap sikap konfrontasi tiga aktivis tersebut, dan jelas tindakan mereka telah mencetuskan kekesalan malah kemarahan ramai.

Sememangnya kita mahu menggalak sikap kepedulian terhadap isu-isu semasa dalam kalangan golongan muda.

Jiwa muda mereka yang penuh semangat dan idea segar yang mereka miliki dapat banyak menyumbang kepada wacana serta perbincangan mengenai isu-isu penting dalam usaha mencari persefahaman dan penyelesaian.

Ia merugikan semua pihak jika Singapura memiliki generasi muda yang tidak peduli, kurang semangat memperjuangkan isu-isu masyarakat dan hanya mementingkan diri sendiri.

Justeru, semangat aktivisme, lagi-lagi dalam dunia yang tidak menentu dengan cabaran-cabaran yang semakin rumit, amat dialu-alu.

Namun, kita juga mahukan semangat aktivisme yang berlandaskan sikap saling hormat menghormati, komitmen untuk mencapai huraian yang menguntungkan semua pihak atau sekurang-kurangnya persefahaman yang dapat merapatkan jurang serta membina jambatan.

Paling penting, kita mahu generasi muda kita menyerlahkan nilai-nilai kemanusiaan dan adab yang tinggi dalam mereka memperjuangkan isu-isu yang dekat di hati.

Insiden di MPS yang tular di media sosial itu gagal mencerminkan semangat aktivisme yang kita mahukan.

Malah, ia mempamerkan sebaliknya, yang sekiranya menjadi satu ‘norma’ dalam budaya aktivisme, hanya akan membawa kita ke jalan kemusnahan.

Aktivis-aktivis tersebut, yang mewakili kumpulan tidak rasmi yang menamakan diri mereka, Mondays of Palestinian Solidarity (Isnin bagi Perpaduan Palestin), dan bergerak menerusi media sosial, perlu menyedari kesilapan mereka.

Sedangkan perjuangan mereka itu mempunyai tujuan yang baik, namun pendekatan mereka melemahkan mesej perjuangan tersebut.

Semestinya apa yang berlaku di sesi MPS di kawasan undi yang dipimpin Encik Shanmugam – dan juga di sesi-sesi MPS lain sebelum itu – tidak memajukan perjuangan mereka untuk menyumbang kepada usaha membela nasib rakyat Palestin.

Apakah yang ingin mereka capai menerusi pendekatan mereka itu, yang mengganggu sesi-sesi MPS, iaitu wadah bagi penduduk yang menghadapi masalah meruncing mendapatkan bantuan?

Adakah kelakuan mereka itu menambah kesedaran terhadap isu Palestin dalam kalangan warga Singapura, atau adakah ia sebaliknya melemahkan isu yang mereka perjuangkan dan sekadar mengalihkan tumpuan kepada diri mereka sendiri?

Hakikatnya, cara konfrontasi yang mereka pilih telah menarik perhatian, tetapi tidak semestinya dengan cara yang mendorong perbincangan atau perubahan yang bermakna.

Pada masa yang sama, sesetengah kritikan terhadap aktivis-aktivis muda ini juga agak keterlaluan.

Mereka mungkin tidak berniat jahat atau mahu mencetuskan masalah. Sebaliknya, mereka mungkin begitu terkesan dengan isu yang diperjuangkan dan jiwa muda mereka bukan hanya mahu sesuatu dilakukan, bahkan dilakukan dengan segera.

Keghairahan ini, yang ada kalanya menyebabkan perbuatan impulsif, harus ditangani.

Aktivisme adalah sebuah proses – proses meyakinkan orang ramai dan mencari ruang persamaan – dan kadangkala proses ini memakan masa yang panjang.

Diharapkan setelah keadaan lebih tenang kelak, kumpulan aktivis muda ini dapat bermuhasabah diri, menyedari kelemahan dalam pendekatan mereka dan meminta maaf.

Dalam pada itu, masyarakat pula mesti memberi peluang kepada aktivis-aktivis muda ini, dan tidak harus mengutuk mereka berhabis-habisan.

Semestinya apa yang berlaku di sesi MPS di kawasan undi yang dipimpin Encik Shanmugam – dan juga di sesi-sesi MPS lain sebelum itu – tidak memajukan perjuangan mereka untuk menyumbang kepada usaha membela nasib rakyat Palestin. Apakah yang ingin mereka capai menerusi pendekatan mereka itu, yang mengganggu sesi-sesi MPS, iaitu wadah bagi penduduk yang menghadapi masalah meruncing mendapatkan bantuan?  ... Hakikatnya, cara konfrontasi yang mereka pilih telah menarik perhatian, tetapi tidak semestinya dengan cara yang mendorong perbincangan atau perubahan yang bermakna.
Penulis.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg