Apabila sekumpulan pegawai dakwah masjid-masjid di daerah Utara ke Jakarta, Indonesia, baru-baru ini, mereka dapat bertukar-tukar pandangan dengan para ulama dan mempelajari pengurusan masjid dan kegiatan agama di sana.
Lawatan ini memberi peluang kepada pegawai dakwah masjid (MRO) untuk belajar secara langsung daripada para ulama dan institusi-institusi Islam di Jakarta.
Ini relevan kerana ia memberikan idea baru yang boleh dikembangkan atau disesuaikan dengan keperluan masyarakat Islam di sini.
Para MRO didedahkan mengenai beberapa isi kandungan menarik dalam Al-Quran kepada masyarakat umum dan juga golongan orang kurang upaya (OKU) pertuturan, kata Pengerusi Eksekutif Masjid Yusof Ishak, Ustaz Mohammad Fairuz Shah.
Seramai 20 pegawai dakwah masjid-masjid daerah Utara yang terlibat dalam Program Pembangunan MRO dapat memahami pendekatan unik dalam pengurusan masjid, pendekatan dakwah yang kreatif dan inklusif, program Al-Quran dan kaedah pendidikan Islam yang diamalkan di sana.
Mereka turut mengunjungi beberapa institusi dan tempat ternama seperti Masjid Istiqlal; Muzium Istiqlal; Pusat Studi Al-Quran; Lajnah Pentashihan Mushaf Al-Quran Bayt Al-Quran dan melawat pameran buku Islam antarabangsa, serta mengikuti Seminar Bual Bicara oleh Lembaga Keagamaan Dalam Mendukung Perdamaian Dunia.
Dalam sesi perbincangan tertutup bersama dua tokoh Ulama mapan Indonesia, Profesor Dr Muhammad Quraish Shihab dan Dr Muchlis Hanafi, mereka mempelajari kepelbagaian dalam penyampaian dakwah yang berkesan, dan mendapat nasihat serta perkongsian mereka mengenai isi kandungan Al-Quran yang menarik.
“Kami didedahkan kepada pendekatan pelbagaikan pengenalan ilmu Al-Quran kepada masyarakat dan mempelajari kepelbagaian dalam penyampaian dakwah, khususnya bagi menarik minat golongan muda. Dr Muchlis Hanafi pula mendedahkan kami kepada pendekatan Tafsir iImi sebagai usaha mendekatkan masyarakat kontemporari.
“Kami juga pelajari tentang pendekatan menarik mengenai pembelajaran Al-Quran kepada golongan OKU dari segi pertuturan yang boleh diperkenalkan dan disesuaikan dengan keperluan masyarakat Islam di sini,’‘ tambah Ustaz Fairuz.
Masjid-Masjid Daerah Utara juga menganjurkan lawatan luar negara bagi Pegawai Pembangunan Belia (YDO).
Para Pegawai Pembangunan Belia (YDO) juga turut berkesempatan untuk menyertai lawatan ke luar negara anjuran masjid-masjid daerah Utara. Tahun lalu, lapan pegawai menyertai Program Kepimpinan Luar Negara selama lima hari yang diadakan di Toowoomba, Australia, pada Julai hingga Ogos 2024.
Salah seorang asatizah yang turut serta dalam ekspedisi itu, Ustaz Arif Osman dari Masjid Haji Yusoff, berkata beliau mengalami sendiri bagaimana suasana berbilang bangsa dan agama di sana. Mereka juga ke pusat kaunseling khas, Hospital Toowoomba, dan ibu pejabat Kumpulan Pengakap Taman Bunya, Queensland.
Kata Pegawai Pembangunan Belia Kanan (SYDO) daripada Masjid Petempatan Melayu Sembawang, Ustaz Huzaifah Izhar: “Kami mempelajari lebih mendalam lagi tentang masyarakat minoriti yang berjaya berintegrasi dalam masyarakat yang berbilang bangsa dan agama.”
“Ekspedisi tersebut membantu kami mempraktikkan minda yang lebih terbuka, mempunyai pemahaman yang lebih mendalam tentang pelbagai agama, didedahkan kepada program yang menarik dan sistem yang diambil daripada masjid di sana serta Scouts dan mengeratkan lagi persahabatan dan sinergi bekerja sesama YDO dan pejabat Daerah Utara,” kata Ustaz Luqman Hakim Roslan, Pegawai Pembangunan Belia daripada Masjid An-Nahdhah.
(box this)
Sekilas
Antara program anjuran Masjid-Masjid Daerah Utara:
1. Festival Hoorah Hooreh Daerah Utara, 19 Oktober 2024
Satu acara penghargaan buat Befrienders Daerah Utara yang membantu mengunjungi benefisiari zakat, membantu mengagihkan habuan keperluan rumah dan menyertai latihan. Acara itu membolehkan befrienders berinteraksi bersama para benefiasiari.
2. Hari Ummi Muslimah, 11 Mei 2024
Masjid En-Naeem meraikan sambutan Hari Ibu dengan acara tadarus beramai-ramai. Seorang penceramah undangan dari Malaysia, Professor Sharifah Hayati, hadir untuk menyampaikan tazkirah.
3. Maulid Daerah Utara untuk Semua, 30 Oktober 2024
Sempena sambutan hari kelahiran Nabi Muhammad saw pada 12 Rabi’ulawal, bulan ketiga dalam kalendar Islam, Masjid-Masjid Daerah Utara mengadakan acara maulid dengan pelbagai kegiatan, antaranya deklamasi puisi, ceramah atau khutbah yang menonjolkan kehidupan dan ajaran nabi, solat berjemaah dan majlis perayaan.
Majlis diisi dengan bacaan selawat dan syarahan oleh penceramah undangan, Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Alhamid, seorang asatizah terkenal dari Malaysia.
4. Hari Komuniti Daerah Utara, 2 November
Acara ini memainkan peranan penting dalam membentuk kehidupan beragama individu dan perpaduan masyarakat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg