Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Lindungi keharmonian, awas perbuatan boleh cetus kebencian agama

Aug 06, 2023 | 05:30 AM



Perbuatan membakar Al-Quran di Sweden dan Denmark baru-baru ini terus mencetus kemarahan dan bantahan di beberapa negara majoriti Islam dan sekali lagi memberi sorotan kepada isu kebebasan bersuara dan menekankan peri penting langkah menjaga keharmonian, lebih-lebih lagi dalam masyarakat berbilang agama dan kaum.

Beberapa negara barat yang mengagungkan kebebasan bersuara kini terpaksa mempertimbangkan langkah menyemak undang-undang terlalu liberal berhubung kebebasan tersebut.

Sweden mencetuskan perbalahan antarabangsa selepas membenarkan penunjuk perasaan membakar kitab Al-Quran di luar sebuah masjid di Stockholm Jun lalu, seiring dengan tarikh Hari Raya Aidiladha, salah satu peristiwa paling penting dalam kalendar Islam. 

Kejadian serupa turut berlaku di Copenhagen, Denmark, sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Walaupun perbuatan itu dilakukan sebilangan individu, ada juga yang didalangi kumpulan sayap kanan yang semakin berpengaruh di kedua-dua negara Skandinavia itu.

Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), yang terdiri daripada 57 negara Islam, mengadakan mesyuarat tergempar pada Isnin lalu dan mengutuk Sweden dan Denmark kerana membenarkan perbuatan tersebut diteruskan di sebalik topeng kebebasan bersuara.

Kejadian itu juga menjejas hubungan diplomatik Sweden dengan beberapa negara majoriti Islam.

Misalnya, Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan, membidas Sweden ekoran insiden itu.

Iraq memanggil duta Sweden dan menyifatkan perbuatan itu sebagai “perkauman” dan “tidak bertanggungjawab”. 

Beratus-ratus rakyat Iraq menyerbu kedutaan Sweden di Baghdad dan membakar sebahagian bangunan tersebut.

Maghribi memanggil semula dutanya ke Sweden untuk tempoh yang tidak ditentukan. Kementerian Luar kerajaan itu juga memanggil ketua misi diplomatik Sweden di Rabat untuk melahirkan “kecaman keras.”

Beberapa negara majoriti Islam, termasuk Iran, Arab Saudi, Mesir, Jordan, Kuwait dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) turut meluahkan kecaman masing-masing.

Tidak dinafikan hak kebebasan bersuara telah termaktub dalam perlembagaan Sweden dan Denmark sejak berabad-abad. 

Bermakna tiada undang-undang di negara tersebut yang melarang perbuatan membakar kitab suci agama atau perbuatan dan ucapan yang boleh mencetuskan kemarahan penganut agama yang terjejas.

Bahkan, di bawah perlembagaan Sweden, perlindungan bagi kebebasan bersuara, adalah perlindungan terkuat di dunia – melebihi pindaan pertama di Amerika Syarikat.

Ekoran itu, polis di Sweden tidak dapat menghalang mana-mana individu atau kumpulan daripada melakukan perbuatan membakar Al-Quran, biarpun perbuatan itu boleh mencetuskan kemarahan penganut agama Islam.

Biar demikian, sebelum kegiatan protes dijalankan di Sweden, penganjur perlu memohon permit daripada polis di bawah Akta Ketenteraman Awam.

Polis hanya boleh menolak permit atas alasan keselamatan. Polis Sweden telah cuba menghalang penganjur daripada mengadakan demonstrasi yang mencemar Al-Quran dengan menafikan permit pada Februari, namun keputusan itu telah dibatalkan Mahkamah Rayuan Sweden.

Merenung keadaan di sini, mujur pemimpin pengasas Singapura berfikiran jauh dan menitikberatkan keharmonian agama dan kaum sebagai salah satu tonggak dasar negara yang tidak boleh dikompromi.

Nilai tersebut turut diwarisi pemimpin kita masa kini yang terus mempertahankan dasar tersebut.

Kita juga bertuah mempunyai alat undang-undang yang boleh melindungi keharmonian tersebut.

Akta Mengekalkan Keharmonian Agama (MRHA) misalnya memperuntukkan kuasa kepada pemerintah untuk mengekalkan keharmonian agama di Singapura.

Antara prinsipnya ialah penganut agama yang berbeza harus menunjukkan kesederhanaan dan toleransi terhadap satu sama lain dan kepercayaan mereka dan tidak mencetuskan permusuhan atau kebencian agama.

Dengan adanya undang-undang sedemikian, polis kita tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas ke atas sesiapa yang berniat atau melakukan perbuatan yang boleh mencetuskan kebencian agama atau kaum – seperti membakar kitab agama.

Tempias diplomatik dan ancaman keselamatan ekoran perbuatan membakar Al-Quran di Sweden dan Denmark kini menggerak pemimpin kededua negara itu supaya mempertimbangkan langkah undang-undang demi mencegah perbuatan yang boleh mencetuskan kemarahan agama.

Perdana Menteri Sweden, Encik Ulf Kristersson, berkata beliau sedang dalam “dialog rapat” dengan rakan sejawatannya dari Denmark baru-baru ini. 

Kededua negara itu katanya “berkongsi analisis yang sama: Keadaan kini berbahaya dan langkah diperlukan untuk mengukuhkan daya tahan kita”.

Kerajaan Denmark pula berkata bahawa Denmark kini “dianggap sebagai sebuah negara yang memudahkan penghinaan dan penganiayaan terhadap budaya, agama dan tradisi negara lain”. 

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, 15 pemerintah telah mengeluarkan kutukan terhadap Denmark.

Menteri Luar Denmark, Encik Lars Lokke Rasmussen, ditukil sebagai berkata pihaknya sedang mencari mekanisme undang-undang yang membolehkan pihak berkuasa negara itu menghalang pembakaran Al-Quran. 

Encik Kristersson pula mengumumkan kerajaannya “sudah mula menganalisis sekitaran undang-undang – termasuk Akta Ketenteraman Awam – dengan tujuan meneroka skop langkah-langkah yang akan mengukuhkan keselamatan negara kita”.

Kedua-dua negara pernah menghadapi krisis berhubung kebebasan bersuara sebelum ini. 

Pada 2005, akhbar Denmark, Morgenavisen Jyllands-Posten menerbitkan karikatur Nabi Muhammad saw memakai serban yang diperbuat daripada bom, mencetuskan gelombang keganasan.


Kartunis Sweden Lars Vilks juga menjadi sasaran percubaan serangan selepas menerbitkan kartun serupa Nabi Mohammad saw pada 2007.


Tetapi kedua-dua negara tidak mengetatkan undang-undang kebebasan bersuara mereka sebagai tindak balas terhadap serangan ini.

Mungkin kejadian baru-baru ini akan menyedarkan Sweden dan Denmark tentang peri penting memperkenalkan undang-undang lebih ketat demi mencegah perbuatan yang boleh mencetuskan kemarahan penduduk berbilang agama.

Di sini pula, sedang kita menyambut Hari Kebangsaan yang bakal menjelang, kita sebagai warga Singapura juga patut menghargai keharmonian antara agama dan keamanan yang kita nikmati sejauh ini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >