Dalam masa dua tahun sahaja, masyarakat Melayu/Islam di Singapura sudah mempunyai tiga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.

Sebelum pilihan raya tahun lalu (2025), Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad menggalas jawatan tersebut, dan tanggungjawab ini kemudiannya diberikan kepada pemimpin yang lebih muda, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Ini sejajar dengan agenda pemerintah di bawah Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, untuk memperbaharui barisan kepimpinan politik Singapura.

Disebabkan peletakan jawatan Dr Faishal secara mendadak baru-baru ini, masyarakat kita mempunyai seorang lagi menteri yang baru, Encik Zaqy Mohamad.

Malah jika dilihat secara keseluruhannya, selain Dr Faishal, masyarakat kita kehilangan dua lagi pemimpin yang berpengalaman iaitu Dr Mohamad Maliki Osman, yang berjawatan menteri, dan Encik Fahmi Aliman, yang berjawatan Mayor.

Kedua-duanya tidak bertanding dalam pilihan raya lalu.

Tindakan Dr Faishal meletak jawatan sebagai menteri, Anggota Parlimen (AP) dan juga anggota Parti Tindakan Rakyat (PAP) mengecewakan ramai penyokongnya.

Ini jelas kelihatan dalam komen di media sosial. Ramai juga memuat naik gambar kenangan di ruang-ruang Facebook, Instagram, TikTok sebagai tanda penghargaan terhadap beliau.

Ini juga membuktikan usaha beliau, yang sering turun ke padang untuk menyantuni rakyat biasa, amat dirasakan.

Malah ada pula yang telah memulakan petisyen dalam talian agar beliau menarik balik peletakan jawatannya.

Reaksi sedemikian belum pernah berlaku pada mana-mana pemimpin Melayu sebelum ini yang bersara atau melepaskan jawatan. 

Ramai juga yang mempersoalkan apakah punca tindakan drastik Dr Faishal dan Encik Wong untuk menerima keputusan demikian, sedangkan, menurut laporan media, tiada unsur-unsur jenayah berlaku.

Ada pula yang sudah pun membandingkan kes-kes peribadi yang melibatkan mantan AP seperti Encik Tan Chuan-Jin, Cik Cheng Li Hui, Encik David Ong, Encik Michael Palmer, Encik Yaw Shin Leong, dan Encik Leon Perera, memandangkan kes Dr Faishal ini diselesaikan dengan pantas.

Sebenarnya, tidak adil untuk masyarakat terus membuat spekulasi kerana situasi yang berlaku terhadap beliau mungkin berbeza.

Adalah penting kita menghormati keputusan beliau untuk diberikan ruang privasi bagi menyelesaikan masalah ini bersama keluarganya. Beliau juga sudah memohon maaf secara terbuka. 

Satu natijah daripada kes ini adalah dalam politik, pemisahan antara ruang peribadi dan awam adalah samar-samar.

Walaupun dilaporkan tiada pelanggaran undang-undang bagi kedua-dua pihak, pemimpin juga dinilai daripada aspek moral, etika dan tingkah-laku.

Kod etika pergaulan secara fizikal itu penting, tetapi apa yang dikongsi di ruang dalam talian juga boleh dinilai dan dipertontonkan di khalayak ramai. Ini hakikat berpolitik zaman sekarang.

Kes ini juga merupakan peringatan kepada mereka yang ingin menjadi pemimpin bahawa budaya politik Singapura telah menggariskan piawaian moral dan etika yang sangat tinggi.

Namun, ia tidak seharusnya menjadi hambatan bagi mereka yang ingin maju untuk menjadi pemimpin. 

Dengan pengunduran Dr Faishal, akan ada kelompangan kuasa bagi masyarakat Melayu. Ini disebabkan gaya politik baru yang beliau bawa bukan hanya menyentuh masyarakat Melayu, malah warga Singapura umumnya.

Walaupun portfolio beliau adalah sebagai Menteri masyarakat Islam, selepas diberikan amanah ini, beliau juga mendekati seniman, penggiat warisan, budaya, bahasa, sastera dan juga tokoh-tokoh masyarakat lain.

Golongan-golongan ini sama pentingnya, jika tidak sama berpengaruh, dengan golongan agamawan. 

Malah disebabkan beliau juga memegang jawatan dalam Kementerian Ehwal Dalam Negeri, beliau berusaha gigih untuk menurunkan kadar penjenayah, terutama sekali bagi masyarakat Melayu, dan masalah penagih dadah.

Selanjutnya, beliau juga antara pemimpin Melayu yang sering aktif dalam sesi wacana, yang meluangkan masa dari mula sehingga selesai dalam acara-acara ilmiah dan akademik.

Sebagai menteri, walaupun beliau membahagikan tugas kepada pemimpin-pemimpin Melayu lain, keberadaan beliau dan sifat ingin tahu ini tentang akar sesuatu masalah ini menyebabkan “kehadiran” beliau amat dirasakan dan dihargai.

Pelantikan Encik Zaqy sebagai pengganti Dr Faishal amat dijangkakan memandangkan beliaulah yang paling tinggi jawatannya setelah Encik Masagos, yang telah melepaskan portfolio itu.

Malah Encik Zaqy lebih jelas diiktiraf sebagai pemimpin generasi keempat berbanding Dr Faishal berdasarkan tahun beliau terjun ke arena politik dan usia.

Masyarakat perlu memberikan Encik Zaqy masa untuk memulihkan sentimen masyarakat, terutama setelah Pilihan Raya Umum 2025, dan meneruskan usaha baik Dr Faishal sepanjang tahun lalu. 

Namun, masyarakat juga perlu menghormati gaya kepimpinan Encik Zaqy, sama ada beliau akan ikut jejak langkah Dr Faishal, atau mengorak langkahnya sendiri.

Ada beberapa perkara positif daripada kelakonan Dr Faishal yang wajar diteruskan, seperti kedudukan beliau menyantuni masyarakat biasa.

Memandangkan perwatakan seseorang pemimpin itu berbeza, kita tidak seharusnya mengukur keupayaan Encik Zaqy dengan membandingkan karisma dan gaya Dr Faishal.

Saya yakin, dalam interaksi saya sendiri dengan pemimpin-pemimpin Melayu yang sedia ada sekarang, mereka berkongsi matlamat yang sama iaitu untuk membantu masyarakat dan mencari huraian bagi setiap masalah.

Apa yang boleh kita sebagai masyarakat lakukan adalah memberikan maklum balas bagi pendekatan menyelesaikan sesuatu masalah, dan ini lebih daripada aspek personaliti dan gaya kepimpinan. 

Akhir sekali, dengan kekosongan satu lagi jawatan bagi masyarakat Melayu, sudah tiba masanya AP Melayu lain memainkan peranan lebih proaktif, dan ini termasuk mereka yang tidak diberikan jawatan dalam pemerintah.

Rombakan kabinet yang diumumkan Encik Wong tidak banyak mengubah bidang kerja AP Melayu, dan yang hanya terjejas adalah Encik Zhulkarnain Abdul Rahim dan Encik Zaqy yang beralih beberapa portfolio.

Namun ada AP lain yang mempunyai kepakaran teknikal seperti Encik Saktiandi Supaat, Encik Shahrael Taha dan Dr Wan Rizal Wan Zakariah, yang kekal mengukuhkan barisan kepimpinan masyarakat Melayu, demi mengharungi ketidaktentuan ekonomi global dan transformasi digital sekarang. Inilah masanya bakat-bakat ini diuji.

Penulis Zamil Utama dan Penyelaras Program Sosial dan Budaya di Iseas-Institut Yusof Ishak dan Penyelaras Program Pengajian Sosial dan Budaya Serantau.

“Apa yang boleh kita sebagai masyarakat lakukan adalah memberikan maklum balas bagi pendekatan menyelesaikan sesuatu masalah, dan ini lebih daripada aspek personaliti dan gaya kepimpinan. Akhir sekali, dengan kekosongan satu lagi jawatan bagi masyarakat Melayu, sudah tiba masanya AP Melayu lain memainkan peranan lebih proaktif, dan ini termasuk mereka yang tidak diberikan jawatan dalam pemerintah.”
Penulis.