Bangunkan SCIS, lulusan yang berwibawa

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bangunkan SCIS, lulusan yang berwibawa

Feb 1, 2026 | 5:30 AM

Bangunkan SCIS, lulusan yang berwibawa

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Lidah pengarang
Lidah pengarang - Foto fail

Begitu menarik perhatian apabila diumumkan baru-baru ini nama-nama mereka yang dilantik sebagai anggota Lembaga Pengelola dan Jawatankuasa Pemandu Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS).

Anggota itu merangkumi pakar daripada pelbagai bidang yang antaranya termasuk golongan agamawan, ahli akademik berpengalaman dan ketua pertubuhan Melayu/Islam.

Ini termasuk mantan menteri Kabinet dan Speaker Parlimen, Encik Abdullah Tarmugi yang mempengerusikan Lembaga Pengelola, manakala Mufti, Dr Nazirudin Mohd Nasir, akan mempengerusikan Jawatankuasa Pemandu SCIS.

Lembaga Pengelola SCIS bermatlamat menyediakan pengawasan strategik terhadap tadbir urus, hala tuju akademik dan pembangunan institusi SCIS.

Sementara Jawatankuasa Pemandu SCIS pula menyelia penubuhan operasi serta pelaksanaan program, dasar dan rangka kerja kolej itu.

Mengenai pelantikan itu, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata kededua kumpulan tersebut akan menyumbangkan kepakaran mereka yang pelbagai dalam membentuk pembangunan SCIS.

Beliau menambah, badan-badan ini terdiri daripada wakil masyarakat merentasi pelbagai lapisan, termasuk asatizah mapan, ahli akademik berpengalaman, pembangun kurikulum serta pakar industri, yang akan menyumbang kepakaran pelbagai disiplin bagi membentuk pembangunan SCIS.

Pembentukan SCIS kali pertama diusulkan oleh mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, pada 2016.

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, kemudian mengumumkan tentang penubuhan kampus khusus SCIS di Rochor bersebelahan kampus Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) dalam ucapannya sempena Rapat Hari Kebangsaan pada 17 Ogos 2025.

Aturan sedemikian akan membolehkan dua institusi tersebut mencerminkan matlamat serta identiti unik masing-masing selain boleh berkongsi kemudahan, dengan pelajar SCIS juga boleh mengambil kursus sains kemasyarakatan daripada SUSS sebagai sebahagian pengajian mereka.

Kohort pelajar pertama SCIS, yang bakal memulakan pengajian pada 2028, akan ditempatkan di kampus sementara di 51 Bencoolen Street sehingga kampus Rochor itu siap dibina.

Walaupun negara ini kecil, Singapura telah membuktikan bahawa ia mampu melahirkan institusi pendidikan yang bermutu tinggi dan berwibawa termasuklah Universiti Nasional Singapura (NUS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan universiti awam lain di sini.

Keanggotaan yang pelbagai dalam Lembaga Pengelola dan Jawatankuasa Pemandu SCIS menjadi tunjang utama bagi memastikan asatizah di negara ini dilengkapi dengan kemahiran serta pengetahuan yang relevan dengan keperluan zaman.

Dengan kewibawaan dan kemahiran mereka, diharapkan kolej itu akan dapat melahirkan lulusan bermutu tinggi dan ini termasuk golongan agamawan yang akan memimpin masyarakat Muslim Singapura dengan jayanya.

Ini memandangkan peranan asatizah Singapura kian melampaui pengajaran ilmu agama, dengan golongan pimpinan agama ini turut memainkan peranan besar dalam banyak hal lain di negara ini seperti pemulihan, pendidikan, perkahwinan dan keluarga.

Begitu besar peranan mereka dalam tempoh mendatang bukan hanya dalam memastikan keharmonian masyarakat berbilang agama dan bangsa di Singapura, bahkan boleh sama-sama membantu masyarakat dalam mengharungi pelbagai cabaran dunia yang semakin tidak menentu.

Malah tidak mustahil, satu hari nanti lulusan SCIS boleh menjadi tokoh agamawan yang dihormati bukan hanya di negara ini, bahkan di rantau dan di peringkat sejagat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg