Dengan senyuman simpul terukir di bibirnya, pegawai imigresen perempuan muda itu mula mengajukan soalannya kepada saya.
“Di manakah anda dilahirkan?”; “Di manakah bapa anda dilahirkan?” “Anda bersekolah di mana?” Pernah ke Timur Tengah? “Anda seorang Muslim?”
Dalam sekitaran yang berbeza, soalan yang dilontar bertubi-tubi itu, tetapi sentiasa dengan senyuman, boleh dianggap sebagai percubaan seorang rakan baru untuk mengenali seseorang.
Namun, soalan-soalan tersebut tidak diajukan di meja makan sebuah restoran makanan laut di tepi pantai.
Sebaliknya, ia diajukan kepada saya di satu sudut ruang imigresen di Lapangan Terbang Beb Guiron di Tel Aviv, Israel.
Walaupun, dan saya perlu akur, saya tidak berasa tertekan atau terancam semasa ia berlaku – pegawai itu tidak berhenti tersenyum – hakikatnya ialah selepas perjalanan sekitar 15 jam dari Singapura, insiden tersebut bukan hanya menguji kesabaran, malah boleh membuat seseorang bertindak secara emosi.
Mujurlah, pengalaman saya menjaga dua anak lelaki saya yang masih kecil – berusia enam dan sembilan tahun yang suka bertanya soalan bertubi-tubi – telah melatih saya untuk tersenyum sahaja.
Namun, selepas mengetepikan elemen jenaka, pengalaman yang saya lalui itu juga mendorong saya berfikir lebih mendalam mengenai identiti sendiri dan pengalaman hidup harmoni di Singapura dalam masyarakat berbilang kaum.
Sebab-sebab soalan-soalan sedemikian diajukan kepada saya adalah jelas, sekurang-kurangnya dalam pendapat saya. Ia diutarakan untuk membina profil identiti saya dan menentukan sama ada saya boleh disifatkan sebagai seseorang yang mengancam keselamatan di negara itu.
Tindakan sedemikian, yang saya pasti dilindungi undang-undang negara tersebut mungkin disifatkan wajar oleh pemerintahnya, terutama jika mengambil kira perbuatan negara itu melanggar undang-undang antarabangsa menyokong pembinaan petempatan di Wilayah Palestin yang sedang dijajahnya dan tindakannya di Gaza yang disifatkan Majlis Hak Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai jenayah perang – dua contoh bagaimana ia mengundang kemarahan hampir sejagat.
Namun tujuan artikel ini bukanlah untuk mengupas tindak-tanduk politik. Perkara tersebut mungkin boleh dikupas secara menyeluruh dalam artikel yang lain.
Sebaliknya, selepas terkandas sekitar dua jam di ruang imigresen lapangan terbang tersebut, saya keluar dengan perasaan penghargaan yang diperbarui terhadap keharmonian kaum dan agama yang kita nikmati di Singapura.
Keharmonian kaum dan agama di Singapura tidak berlaku secara tidak sengaja.
Ia dipelihara dengan gabungan kepercayaan mendalam antara masyarakat dan pemimpin berbilang agama dan budaya serta undang-undang yang digubal untuk mempertahankan keharmonian kaum – satu pendirian asas negara ini.
Sebagai contoh, pada Februari 2025, Parlimen meluluskan undang-undang baru yang menyatukan beberapa kanun sedia ada dan memperuntuk kawalan tambahan bagi memelihara keharmonian kaum.
Antara lain, undang-undang tersebut memperkasa pihak berkuasa untuk mengeluarkan arahan sekatan kepada individu yang terlibat membuat konten yang menjejas keharmonian kaum di sini.
Bercakap di Parlimen pada ketika itu, Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, berkata Rang Undang-Undang Mengekalkan Keharmonian Kaum itu menekankan lagi peri penting keharmonian kaum di Singapura.
Di Singapura, identiti seseorang penting, tetapi ia tidak digunakan untuk membeza-bezakan seseorang atau melakar profil yang bertujuan mengasingkan orang tersebut daripada mereka yang daripada kaum atau kepercayaan lain.
Kaum yang berbeza di sini bebas mengamalkan budaya dan kepercayaan masing-masing dan pada masa yang sama tetap mengenal pasti identiti masing-masing sebagai warga Singapura.
Undang-undang yang wujud melindungi warga daripada perbuatan menghina atau melukakan berdasarkan identiti tersendiri masing-masing.
Ia direka supaya menyatukan, dan bukan untuk mengasingkan.
Bagi diri saya pula, selepas beberapa hari di rantau orang, saya tidak sabar untuk pulang ke negara sendiri.
Hanya di Singapura, saya boleh makan nasi ayam yang dimasak oleh pegerai bangsa Cina, minum teh tarik yang disiapkan oleh pegerai India dan mencuci mulut dengan kuih putri salat yang dibakar oleh seorang pegerai Melayu.
Mungkin, inilah nikmat sebenar keharmonian kaum.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg