Kita bakal meraikan ulang tahun ke-60 (SG60) kemerdekaan negara sekitar lebih sebulan, lebih tepat lagi 9 Ogos.
Buat kali pertama, Singapura kini diterajui perdana menteri yang dilahirkan selepas kemerdekaan negara (1965), atau disebut generasi pascamerdeka, seperti saya.
Encik Lawrence Wong, perdana menteri keempat Singapura selepas merdeka, berusia 52 tahun.
Perdana menteri sebelum ini – Encik Lee Kuan Yew, Encik Goh Chok Tong dan Encik Lee Hsien Loong – semuanya dilahirkan sebelum merdeka.
Kepimpinan Encik Wong menggambarkan kepimpinan generasi keempat (4G) Singapura yang lebih muda dan lebih sebaya dengan generasi pascamerdeka, yang mempunyai pengalaman berlainan daripada generasi sebelum merdeka.
Barisan Kabinet yang baru dibentuk juga mempunyai ramai pemimpin generasi pascamerdeka, disokong beberapa pemimpin lama seperti Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, 66 tahun.
Dalam kalangan kepimpinan Melayu/Islam pula, kepimpinan barunya juga dibentuk generasi pascamerdeka termasuk Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Faishal Ibrahim, 57 tahun.
Ini selain Menteri Negara Kanan (Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad, 50 tahun, yang juga Pengerusi Yayasan Mendaki.
Kita bernasib baik kerana di Singapura peralihan kuasa bukan sahaja berlaku secara lancar dan aman, bahkan turut disokong pemimpin veteran dan warga umumnya.
Sejauh ini, peralihan kepimpinan kepada 4G berlangsung secara teratur dengan beberapa pemimpin lama bersedia berundur diri.
Ini sekali gus memberi peluang kepada pemimpin muda untuk memimpin negara, serta dibantu pula golongan pemimpin lebih muda sebagai pelapis pemimpin Singapura akan datang.
Bagi saya sendiri, ini kali pertama saya dan generasi sebaya saya mempunyai perdana menteri lebih muda.
Namun, usia bukan penentu utama, kerana lebih penting adalah seseorang pemimpin itu amanah, rajin dan ikhlas berkhidmat demi kepentingan rakyat dan negara.
Bukan meraih kuasa demi kepentingan diri sendiri, keluarga atau sanak saudara, yang dapat dilihat di sebilangan negara dunia.
Ini termasuk kes anak-anak pemimpin negara diberi ‘kuasa secara tidak langsung’ atau diberi projek bernilai jutaan dolar demi memperkayakan keluarga sendiri.
Walaupun kita sudah memasuki abad ke-21, perkara ini masih berlaku.
Bumi Singapura bertuah kerana setiap kali ia melahirkan pemimpin yang sedia berkhidmat, mereka tidak dipengaruhi dengan kuasa sehingga menjadi rosak akhlak, rakus, terlibat dalam rasuah atau memperkaya diri sendiri.
Inilah antara perkara penting yang membuat Singapura – sebuah pulau kecil tanpa sumber semula jadi yang merdeka pada 60 tahun lalu – secara bertahap-tahap berubah daripada sebuah negara kurang maju (Dunia Ketiga) menjadi sebuah negara maju (Dunia Pertama).
Sebagai seorang generasi pascamerdeka yang menyaksikan negara ini mulanya dipenuhi banyak kampung, kemudian bertukar ke perumahan flat sewa, dan kemudian ke perumahan awam flat milik sendiri, banyak yang telah dicapai negara ini dan rakyatnya.
Namun perubahan kemajuan ini tidaklah mudah dicapai, banyak ‘peluh dan darah mengalir’ demi mencapai matlamat kemajuan dan kemakmuran.
Kini, setelah hampir 60 tahun, negara ini mencapai bukan sahaja taraf negara maju, bahkan negara yang mengambil tahu dan ihsan terhadap rakyatnya, dan selalu melakukan pelbagai usaha untuk membantu rakyat memajukan diri mereka agar lebih mudah mencari rezeki – selagi kita mahu berusaha.
Sementara itu, sempena SG60, terdapat juga beberapa usaha murni yang turut dianjurkan.
Satu daripadanya adalah inisiatif pengumpulan dana oleh Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) khas buat Gaza – ‘Aid for Gaza 2025’ – yang berjaya mengumpul lebih $2.4 juta untuk membantu penduduk Palestin di wilayah itu yang menghadapi krisis perang serta amat kekurangan makanan, minuman dan perubatan.
Singapura merupakan antara negara penyumbang dana ke Gaza yang tekal, dengan negara kecil ini sejauh ini telah menyumbang lebih $21 juta dalam bentuk bantuan kepada mangsa krisis kemanusiaan di Gaza.
Satu lagi adalah acara golf amal anjuran Berita Harian (BH) dan AMP Singapura yang dijadual berlangsung pada 22 Julai di Orchid Country Club.
Jumlah dana yang dikumpulkan akan dibahagikan kepada beberapa badan amal.
Pada 9 Ogos 2025, kita akan menyambut ulang tahun Singapura yang ke-60.
Kemajuan negara ini dalam tempoh 60 tahun boleh dianggap sebagai membanggakan dengan banyak negara dunia mahu mencontohinya, termasuklah negara-negara di dalam mahupun di luar rantau Asia Tenggara.
Saya yakin sekiranya anak watan negara ini, termasuk pemimpin dan rakyatnya, terus gigih berusaha memajukan diri, keluarga, masyarakat dan negara, Singapura bakal terus mencapai lebih banyak kemajuan, kemakmuran dan kejayaan apabila ia menyambut SG70, SG80 dan selanjutnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg