Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peluang si kecil diperkenal kepada tanah air dalam musim Hari Kebangsaan

Aug 8, 2023 | 5:30 AM
PELUANG BAIK: Musim Hari Kebangsaan ini adalah masa yang baik bagi ibu bapa memperkenal anak-anak kecil mereka kepada Singapura, sama ada tentang sejarahnya, geografinya atau makanan kegemaran warganya.
PELUANG BAIK: Musim Hari Kebangsaan ini adalah masa yang baik bagi ibu bapa memperkenal anak-anak kecil mereka kepada Singapura, sama ada tentang sejarahnya, geografinya atau makanan kegemaran warganya. - Foto ST

Sejak masuk bulan Ogos, anak saya asyik bercakap tentang Hari Kebangsaan.

Setiap hari dia tanya saya apakah esok hari ulang tahun Singapura.

Dia sebenarnya tidak sabar untuk melakukan senaman ‘Singapore Workout’ bersama kawan-kawannya semasa sambutan Hari Kebangsaan di sekolah pada 8 Ogos.

Ini kali pertama anak saya yang berumur empat tahun ghairah menantikan Hari Kebangsaan.

Sejak anak saya masuk sekolah awal 2023, dia mula mengenali tentang tanah airnya, Singapura, dan juga beberapa lambang negara seperti bendera, lagu kebangsaan dan ikrar.

Saya ingat lagi sepanjang minggu pertamanya ke sekolah, dia asyik menyanyikan lagu ‘Majulah Singapura’ sebaik pulang ke rumah.

Rupa-rupanya, setiap hari sebelum memulakan kelas, anak saya dan rakan-rakannya perlu menyanyikan lagu kebangsaan dan melafazkan ikrar terlebih dahulu.

Kemudian dia melihat kelasnya dibahagi tiga sewaktu pelajaran bahasa ibunda dan sejak itu dia mengenali tentang masyarakat berbilang kaum di Singapura dan bahasa berbeza yang digunakan selain bahasa Inggeris.

Sebenarnya, saya mendapati agak sukar untuk menerangkan tentang negara kepada anak saya kerana saya rasa ia melibatkan beberapa perkataan dan konsep yang baru dan rumit bagi peringkat umurnya.

Saya pernah cuba menerangkan kepada anak saya bahawa kita semua tinggal di negara Singapura di planet Bumi tetapi dia menyatakan: “Tak. Saya tinggal di Bedok Reservoir View.”

Bagi anak saya, estet perumahan di timur Singapura itulah “dunianya”.

Menurut laman Rainforest Learning Centre, apabila kanak-kanak berumur antara satu dengan tiga tahun, dunia mereka sangat kecil.

Mereka tahu tentang rumah mereka dan mungkin faham konsep “pergi” ke suatu tempat yang berdekatan seperti kedai.

Apabila mereka melangkah ke umur empat tahun, mereka mula kenal “cara” untuk ke suatu tempat.

Sebagai contoh, mereka akan kata: “Ini taman permainan dekat dengan flat saya!”

Itu masa yang baik untuk memperkenal anak-anak kepada konsep besar seperti benua dan lautan sebelum ke konsep lebih kecil seperti negara dan bandar, kata laman tersebut.

Atau saya rasa ibu bapa pun boleh bermula dengan memperkenal si kecil kepada estet perumahan tempat tinggalnya dahulu, sebelum ke negara, benua dan planet.

Kebetulan apabila ke perpustakaan baru-baru ini, saya meminjam buku berjudul ‘Your Place in the Universe’ (Tempat Anda dalam Alam Semesta) yang mengajar kanak-kanak tentang perspektif.

Antara lain, ia menunjukkan bahawa manusia bersaiz kecil berbanding burung unta, zirafah, Gunung Everest, bintang-bintang, gugusan galaksi dan alam semesta.

Buku itu pasti membuka mata si kecil kepada benda-benda di sekelilingnya dan membuatnya sedar bahawa dunia ini sememangnya sangat besar.

Kembali ke cara memperkenal si kecil kepada Singapura, saya rasa beberapa minggu menjelang Hari Kebangsaan adalah masa yang baik.

Dalam tempoh itu, bendera Singapura ada di merata tempat dan ini memberi peluang kepada ibu bapa untuk menerangkan tentang warna merah dan putih yang digunakan serta bulan sabit dan lima bintang yang menghiasi bendera.

Ibu bapa boleh menunjukkan peta Singapura dan menamakan beberapa estet, terutama yang pernah dikunjungi si kecil, seperti estet tempat tinggalnya atau estet tempat tinggal datuk neneknya.

Anak-anak juga boleh dibawa menonton Perbarisan Hari Kebangsaan atau pertunjukan bunga api di Padang atau di lima estet kejiranan bagi menyemarakkan lagi semangat untuk mengenali negara.

Pengenalan awal kepada Singapura boleh menimbulkan rasa ingin tahu dalam diri anak-anak tentang negara ini, seperti sejarahnya, bahasa dan budaya penduduknya, bangunannya, perayaannya dan sudah tentu makanan tempatannya.

Ibu bapa bolehlah bersiap sedia menjawab seribu satu soalan yang diajukan si kecil nanti!

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg