Potensi Kolej Pengajian Islam S’pura: Belajar daripada sejarah kosmopolitanisme Islam
Potensi Kolej Pengajian Islam S’pura: Belajar daripada sejarah kosmopolitanisme Islam
Madrasah, kolej pada zaman awal peradaban Islam lihat ilmu daripada lensa universal; dorong semangat saintifik yang tidak bezakan ilmu antara yang ‘Islam’ mahupun ‘sekular’
Penubuhan Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) yang akan beroperasi sepenuhnya dalam tempoh dua tahun lagi adalah pencapaian penting bagi umat Islam Singapura.
Sebagai sebuah masyarakat minoriti, membina institusi yang memelihara kehidupan beragama dalam sebuah negara moden dan berbilang budaya bukanlah perkara mudah.
Lebih penting lagi, SCIS berfungsi dalam memastikan masyarakat Islam terus menyumbang kepada kepentingan umum (maslahat umum).
Kedua-dua peranan ini amat penting dalam memahami hala tuju perancangan yang sedang berjalan.
Dalam konteks ini, kita boleh mengambil iktibar daripada sejarah kemunculan institusi pendidikan Islam.
Satu rujukan utama adalah karya sejarawan terkemuka, George Makdisi berjudul, The Rise of Colleges: Institutions of Learning in Islam and the West.
Beliau mengkaji kemunculan institusi madrasah pada abad ke-10 dan ke-11 di mana pendidikan Islam secara formal telah melahirkan norma akademik yang mempengaruhi sistem pendidikan tinggi di Eropah, yang akhirnya membawa kepada sistem universiti moden.
Menariknya, madrasah atau kolej pada zaman awal peradaban Islam ini melihat ilmu daripada lensa universal, yakni sama ada sesuatu ilmu itu benar dan berfaedah atau palsu dan memudaratkan.
Pendekatan objektif ini diterapkan di dalam pendidikan Islam sehingga memunculkan semangat saintifik yang tidak membezakan ilmu antara yang ‘Islam’ mahupun ‘sekular’.
Atas dasar ini, gelaran ulama diguna pakai untuk sesiapa sahaja yang menguasai ilmu penting seperti astronomi, matematik, perubatan dan falsafah, dan bukan hanya ilmu berkaitan agama.
Kekuatan sistem pendidikan Islam pada zaman tersebut juga terletak pada kaedah ilmiah yang melatih minda agar berfikir secara kritis, teliti dan sistematik berpandukan tradisi yang berwibawa.
Pada masa yang sama, wujud keyakinan diri dalam kalangan cerdik pandai untuk membahas, mempersoal dan memunculkan idea baru dan bertentangan arus kerana ilmu tidak bersifat sektarian.
Kebebasan akademik ini, secara umum, dihormati oleh para penguasa kerana hasil daripada suasana keilmuan ini menyumbang kepada kekuatan peradaban dan pemerintahan Islam.
Keterbukaan terhadap ilmu
Suasana ini tidak wujud secara kebetulan, tetapi merupakan hasil daripada pandangan dunia yang terbuka.
Profesor Dimitri Gutas di dalam bukunya, Greek Thought, Arabic Culture (1998), menyebut proses transformasi budaya yang terjadi melalui gerakan intelektual dari abad kelapan yang mencedok, menterjemah dan mengembangkan ilmu dan sains dari peradaban luar seperti Yunani dan Parsi.
Inilah yang kemudian membolehkan munculnya Baitul Hikmah, sebuah institusi ilmu yang tersohor pada zaman awal dinasti Abbasiyah yang pernah dinaungi oleh Khalifah al-Ma’mun.
Menariknya, institusi keilmuan pada zaman tersebut tidak hanya dipenuhi oleh cendekiawan Islam.
Para ilmuan yang beragama Kristian, Yahudi dan Zoroastrian turut menyumbang.
Antara yang tersohor ialah Hunayn ibn Ishaq (Kristian Nestorian), Mashallah ibn Athari (Yahudi Baghdad) dan Ibn al-Muqaffa (Zoroaster Parsi).
Sejarah menunjukkan wujudnya pegawai bukan Islam yang memegang jawatan tinggi dan penting, termasuk pelantikan gabenor dan hakim di dalam pemerintahan Islam.
Contoh ketara ialah Samuel ibn Naghrillah, seorang Yahudi yang pernah dilantik sebagai wazir besar dan komander tentera dalam kerajaan Islam Andalusia di Granada.
Begitu juga keluarga Barmakid yang kebanyakannya beragama Buddha yang memainkan peranan penting di dalam kekhalifahan Abbasiyah awal seperti yang dijelaskan oleh Profesor Johan Elverskog di dalam bukunya, Buddhism and Islam on the Silk Road (2010).
Runtuhnya semangat kosmopolitan
Umat Islam pernah berada di puncak pencapaian tamadun kerana semangat kosmopolitannya yang kuat.
Ini dibahaskan oleh Profesor Bruce Lawrence di dalam bukunya, Islamicate Cosmopolitan Spirit (2021).
Semangat ini berdiri atas sikap terbuka, yakin diri dan keinginan untuk turut terlibat dan menyumbang kepada tamadun dunia dan kemanusiaan bersama.
Pemisahan ilmu antara ‘Islamik’ dengan ‘Barat’ atau ‘sekular’ sebenarnya tidak wujud.
Muslim dan bukan Muslim sama-sama terlibat memajukan tamadun, meskipun pada ketika itu empayar Islam dan bukan Islam (seperti Byzantium Kristian) berhadapan secara politik.
Malangnya, era penjajahan telah mengubah psikologi umat Islam dan meruntuhkan keyakinan mereka.
Polariti antara Barat/sekular dengan Islam muncul sehingga timbul mentaliti terkepung (siege mentality).
Umat Islam menjadi semakin sensitif terhadap penglibatan bersama dengan orang bukan Islam kerana adanya unsur syak wasangka.
Inilah punca yang mencetuskan sikap eksklusivisme dan pengasingan.
Keadaan ini jauh berbeza daripada semangat kosmopolitan yang mekar pada awal peradaban Islam.
Kesan perubahan psikologi ini telah dan akan terus melemahkan umat Islam.
Sikap terobsesi terhadap ancaman di mana-mana (sama ada nyata atau sekadar bayangan) akan menyekat penyepaduan dan kemajuan umat Islam.
Tambahan, ia boleh menjelma menjadi gerakan politik yang menggunakan agama untuk menuntut autoriti, pengaruh dan kuasa tersendiri seperti yang dilihat di beberapa negara Islam.
Ini akan memecahbelahkan masyarakat, terutama dalam negara berbilang kaum dan agama seperti Singapura.
Belajar daripada sejarah tamadun Islam
Umat Islam harus memandang serius kajian terhadap sejarah ketamadunan Islam dan mengatasi halangan psikologi untuk belajar daripada dan bersama sesiapa sahaja, termasuk yang bukan Islam.
Dalam aspek ini, saya teringat kata-kata al-Kindi, seorang ahli falsafah abad ke-9:
“Kita tidak seharusnya malu untuk menghargai kebenaran dan mendapatkannya dari mana-mana sahaja ia datang, walaupun ia datang daripada bangsa yang jauh dan berbeza daripada kita.”
Pandangan al-Kindi ini selari dengan anjuran Islam yang terakam di dalam kitab-kitab turath:
“Hikmah adalah benda berharga seorang mukmin yang hilang. Di mana-mana sahaja dia menemuinya, dia paling layak untuknya.”
Membangun potensi SCIS
Tugas SCIS, pada hemat saya, adalah untuk mengembalikan, menerapkan dan membina hikmah.
Hikmah dapat ditafsirkan sebagai ilmu yang benar, baik dan membawa manfaat.
Untuk mencapai ini, kita perlu pertimbangkan tiga aspek utama.
Pertama, integriti akademik: Menilai hasil keilmuan dengan etika yang jujur, objektif, bertanggungjawab serta menghormati ilmu dan proses menghasilkannya.
Kedua, pendekatan secara terangkum: Terlibat aktif dalam wacana dan kajian para ilmuwan sejagat, termasuk kritikan dan perbahasan ilmiah yang membina.
Ketiga, kerjasama dengan institusi terkemuka: Menjalin perkongsian dengan badan yang telah menghasilkan kajian, pembelajaran dan ilmu terapan (applied knowledge) yang bermutu tinggi.
Inilah kunci untuk memperkukuh SCIS sebagai institusi ilmu yang mampu bersaing di peringkat serantau mahupun antarabangsa.
Visi ini menuntut wawasan yang luas, berpandangan jauh, sikap terbuka, di samping kepimpinan yang mantap.
Dalam konteks ini, umat Islam boleh menimba ilmu dan bekerjasama dengan pakar serta ilmuwan daripada pelbagai bidang dan disiplin, termasuk daripada kalangan masyarakat bukan Islam.
Penulis ialah Pengarah Pengasas Dialogue Centre Limited dan anggota lembaga Pusat Pemahaman Antara Agama (Cifu).

