Topik diikuti
Pergi ke BHkuA. Samad Said: Puncak kefasihan, tindak kemanusiaan
Berkarya hampir lapan dekad, harumkan dunia kesusasteraan Melayu
A. Samad Said: Puncak kefasihan, tindak kemanusiaan
Allahyarham Datuk Seri A. Samad Said ialah seorang sasterawan yang karyanya bertebaran dengan isi dan gaya, terungkap halus dan rapi, disejukkan dengan visi kemanusiaan yang hidup.
Sasterawan Negara Malaysia yang keempat ini telah berkarya hampir lapan dekad dan bakti ilhamnya telah mengharumkan dunia kesusasteraan Melayu.
Pemergian beliau pada 24 November 2026 pada usia 91 tahun, adalah satu kehilangan besar kepada dunia kesusasteraan kita.
Dalam sejarah kerjayanya sebagai wartawan, beliau pernah bertugas di bawah Ahmad Boestaman di Fikiran Rakyat dan dengan Usman Awang dalam Utusan Melayu.
Pada umur 23 tahun, novel Salina (judul asalnya Gerhana) diterbit oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1961.
Pengalaman beliau hidup di Singapura sewaktu Perang Dunia Kedua, telah memberikan beliau kesempatan menciptakan semula pengalaman itu dalam Salina.
Kemudian lahir novel Sungai Mengalir Lesu (1967), sebuah karya berlatarbelakangkan Singapura yang beliau sendiri anggap yang terbaik pernah dihasilkan.
Beliau dibesarkan di Singapura, mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kota Raja dan kemudian Sekolah Victoria.
Beliau juga memulakan kerjaya sebagai wartawan di Singapura; manakala sebelum itu beliau sempat bekerja di Hospital Besar Singapura.
Ini memberikan beliau kedekatan untuk memerhatikan pengalaman dan kegetiran yang menggeluti kehidupan rakyat kecil.
Kemiskinan pasca-Perang dan kemelaratan wanita, melahirkan ilham beliau untuk menulis pengalaman yang disaksikan.
Beliau turut peka dengan kemajmukan Singapura dan Malaya, dengan sering mengetengahkan watak Cina dan India dalam karya beliau.
Novel Salina menjadi teks untuk peperiksaan GCE peringkat ‘A’.
Karya Lantai T Pinkie pula telah dipentaskan oleh Teater Kami, dengan arahan Atin Ahmat pada 1996.
Ia kemudian menjana minat kumpulan teater di Kuala Lumpur untuk mementaskannya di sana.
Kefasihan berilham dan berkarya
A. Samad ialah seorang sasterawan yang karyanya telah banyak dikaji, disinggung dan dikritik.
Insan yang berbakat ini, mempunyai sentuhan khas pada setiap karya beliau – tidak kira novel, cerpen, drama, esei mahupun catatan perjalanan (travelog) – dan karyanya juga banyak diterjemah.
Membaca karya beliau membawa kita dalam ranah yang tenang, namun isi cerita dan permasalahannya tidak kurang dengan gelora, duka dan binasa.
Tetapi beliau bukan yang meruntun pesimis, dan tidak pula berkobar-kobar dengan slogan itu dan ini.
Beliau sebenarnya skeptis dengan cara berseni seperti itu.
Merakam dan memberi makna kepada sesuatu pengalaman sejarah dan kehidupan sudah pun menjadi tugas besar yang harus dipikul penulis.
Dalam pidato Menulis Itu Resah yang Bahagia, tatkala menerima anugerah Sasterawan Negara pada 1989, beliau menyebut kecenderungan beliau untuk mengungkap pengalaman sejarah, daripada membuat “idea besar yang biasanya tidak mesti akan terisi”.
Baginya, beliau perlu “menjengah sejarah sebagai landas bagi membangunkan semula dunia mutakhir yang sekira-kira difahami”.
Mendalami kehidupan manusia dengan segala pergolakan dan kejayaan, adalah sisi kemanusiaan yang wajar ditimba.
“Kesusasteraan adalah laporan hidup daripada siri krisis yang dihadapi manusia ini. Ia adalah sejarah jatuh bangunnya manusia, kepatahannya, sukanya yang sedetik dan dukanya yang berpanjangan; ketawanya yang pendek dan tangisnya yang berulang,” tegasnya.
Tetapi sebagai penulis, bukanlah berkarya itu tanpa pendirian dan wawasan.
Beliau berpendirian “seniman memerhatikan masyarakat secara lebih insani”, agar manusia dapat “menuju kehidupan yang manusiawi”.
Sastera harus menyalurkan hikmah sehingga karya itu “dapat menjadikan dunia bertambah luas, berwarna, bermakna… membuat kita sayang akan alam, rindu akan insan, takwa kepada Tuhan”.
Menurut beliau, paling penting sekali:
“Sastera memberikan kita peluang untuk meluaskan pengalaman hidup… menyedarkan kita betapa terbatasnya hidup kita selama ini, betapa sempitnya cita-cita kita, betapa terikatnya tangan kita. Sastera membukakan kemungkinan baharu.”
Pada pertengahan perjalanan beliau berkarya, beliau tidak gemar dengan berslogan dan berkempen untuk kepentingan politik tertentu.
Bercerita tentang pengalaman dan pergelutan manusia adalah tugas sasterawan.
Lantas “tanggungjawab seniman adalah lebih ke arah pemupukan akal sihat dan jiwa nurani bangsa”.
Ini kerana “seniman merenungi inti alam dan manusia, menyaring mana yang wajar dan baik diangkat sebagai karya seni yang menghikmahkan, sehingga pembaca bukan sekadar dilayani malah dibimbingi”.
Untuk perkara ini dapat dicapai, kemunculan “seniman tulen” sangat diperlukan dan itulah sang penulis yang membumi dan bernurani.
“Untuk ini dia harus tersedia dengan pengetahuan sejarah bangsanya… dia juga sudah harus tersedia maklum dan sebati dengan beberapa puncak sasteranya sendiri…. Hanya daripada landas itu barulah dia dapat memahami masalah semasanya tidak hanya dengan mata, hati dan minda masa kini, tetapi dengan mata, hati dan minda masa depan,” jelasnya.
Esei mengupas dan membekas
A. Samad yang kuat membaca, juga terkenal sebagai pengumpul ribuan buku.
Inilah ‘rahsia’ beliau dapat menghasilkan cereka dan esei yang terserlah.
Esei-esei yang termuat dalam Antara Bulan dan Wira (1992) memperlihatkan cakerawala ilmu dan seni yang beliau kuasai.
Beliau menyatakan perbezaan antara seniman dengan penulis biasa.
Seorang seniman itu meyakini apa yang dirakamnya serta memperkayakan pengalaman hidup pembacanya. Jenis penulis ini menulis “tidak memikirkan hal nama, hal wang”.
Menurut beliau, penulis yang berwibawa harus memiliki tiga ciri – iaitu kaya pengalaman, seorang yang intelek dan kaya dengan imaginasi.
Ini turut merangkumi kesediaan penulis untuk belajar sepanjang hayat, kerana bakat semula jadi tidak akan membawa ke mana jika ia tidak digilap.
Itulah yang dapat kita perhatikan daripada sejumlah karya beliau yang bertaburan dari segi tema dan bentuknya, yang turut menunjukkan bahawa beliau seorang yang serba boleh.
Dengan bacaan yang tekun, dan kegigihan beliau mencatat serta berdepan dengan realiti kehidupan semasa, beliau dapat menghasilkan karya yang ‘hidup’, dengan olahan bahasa yang redup, dan seni olahannya seakan dapat dihirup.
Bangsa yang kasih bumi warisnya
Menyubur benih jiwa bermaruah.
Puisi tajam bertajuk Mandi Rasuah bukan sahaja menerbitkan rasa geram apabila mengenangkan pelbagai kepincangan yang berlaku hari ini, malah pedasnya turut ‘membasuh’ kita dengan kata-kata:
Rakyat yang dilatih berasuah
mula nyanyi lagu dosa-dosa.
Dia dipupuk menjadi peniaga
demi untung, deminya saja.
Dia diasuh menghitung ringgit
dijanji harta sungai bukit
tanpa ilmu pun dia tetap bangkit.
Dalam lembaran karya beliau, tersemat beberapa kata hikmah dan suara nurani, yang inginkan keadilan dan hak untuk semua warga.
Tanpa melaungkan slogan berpihak kepada rakyat kecil, membaca karya beliau seperti Salina, dan himpunan puisi Di Atas Padang Sejarah (2013) kita akan terkesan akan kepeduliannya kepada apa yang sedang berlaku dalam negara dan rantaunya.
Peranan Akhbar
A. Samad berundur daripada Utusan Melayu selepas peristiwa mogok pada 1961 dan kemudian menyertai Berita Harian di Kuala Lumpur.
Sebagai wartawan beliau mendalami banyak peristiwa dan permasalahan dalam masyarakat.
Beliau meyakini peranan akhbar sebagai penjana pencerahan dalam masyarakat.
Akhbar bukan saja sebagai penyalur maklumat dan peristiwa tetapi juga membentuk pandangan bahawa manusia mesti hidup dengan bermaruah.
Akhbar itu bagi beliau digerakkan oleh segelintir wartawan, tetapi “rakyat yang tersentuh olehnya beratus ribu”.
Akhbar menjadikan warga celik bukan sekadar tahu mengundi, tetapi “diasuh bersuara”.
Kepedulian beliau kepada tantangan semasa dalam masyarakat serta hala tuju negara menyebabkan A. Samad menjadi tokoh sasterawan yang sering tampil bersuara.
Namun di saat pendirian sosial dan politiknya tegap tidak disembunyikan, ini bukan bererti beliau mengorbankan sisi keseniannya.
Kehalusan dan kesedaran harus bergandingan, dan itulah yang terlihat daripada himpunan lukisan dakwat berserta bait-bait puitis dan kritis dalam buku Kata Luhur (2010).
Negara dianggap berdaulat apabila demokrasi dapat ditegakkan dan perundangan melindungi yang lemah, namun masyarakat juga perlukan persekitaran yang jernih dan sihat.
Keresahan beliau terhadap kerosakan alam, dilaungkannya begini:
Di dataran sejarah ini kita mula sengsara
kerana rimba yang diredah dan gunung yang ditarah,
sungai-sungai yang jernih serta tasik sedamai qalbu
sedang diwariskan secemar-cemar ke anak cucu.
Ranah awam adalah tempat “berhujah, bertengkar dan berbahas” agar “kita menjadi warga berfikir, kita menajamkan daya fikir kita, kita meniupkan kesedaran watan dalam diri kita”.
Inilah yang tercatat dalam novel Hujan Pagi yang dihasilkan pada 1987.
Semasa menjadi wartawan, karya kreatifnya dapat diterbitkan.
Beliau menggunakan pelbagai nama samaran – antaranya Hilmy, Isa Dahmuri, dan Jamil Kelana – kerana sebagai seorang wartawan, adalah tidak sesuai untuk beliau menggunakan namanya sendiri.
Namun, melalui penulisan cerpen, beliau dapat mengasah kesedaran serta kemahirannya dalam berkarya.
Di tengah menggugah dan mencipta sejarah
Meskipun A. Samad merupakan seseorang yang unggul dalam berkarya dan bersajak, namun beliau tetap bersedia untuk tampil memimpin dan bertindak.
Sasterawan, Dinsman – menyebut beliau sebagai “seniman yang berdiri di tengah rakyat”.
Beliau memasuki barisan menentang dasar pendidikan yang menggunakan bahasa Inggeris untuk mata pelajaran Matematik dan Sains yang dianggap membelakangkan bahasa Melayu.
Beliau juga sempat menjadi ikon dalam bantahan gerakan Bersih yang inginkan pilihan raya yang telus.
Itulah yang terakam dalam puisi ringkas, berselang-seli dengan lukisan dakwat merah dan hitam yang termuat dalam Bisik Warna (2009).
Antaranya, “politik himpun kuasa – membina atau mendurja” dan “paduan fikir, buku; /himpunan kuasa, kubu”.
Celik sejarah harus berkembang menjadi celik realiti, sekali gus menyedarkan kita untuk bertindak dengan mulia, adil, saksama serta penuh budi bahasa.
Pada bait terakhir puisi Mendaki Sejarah beliau menyebut:
Berkata gurindam falsafi sekalifah munsyi
kita semakin bijak dalam setiap tindak
Mencari puncak paling tinggi, sepenuh hati
kita daki – pernyataan warga bumi yang adi.
A. Samad telah mencipta dan mendaki sejarah, namun, beliau juga berani turun untuk bersuara menggugah, “melunturkan wewarna zalim” dengan “kita tenaga jati gah berjuang demi keadilan”.
Lukisan sejarah dan kehidupan yang beliau rentangkan adalah warisan besar yang harus terus kita hirup dan hidupkan.
Tabik kepada seniman merangkap penulis ini yang membimbing kita “melangkah mengukir sejarah”.
Penulis ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura (NUS).