Topik diikuti
Pergi ke BHkuA. Samad Said sahabat setia, sering kirim karyanya ketika Anwar di penjara
A. Samad Said sahabat setia, sering kirim karyanya ketika Anwar di penjara
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengenang Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Seri A. Samad Said, sebagai sahabat setia, apabila tidak pernah putus mengirimkan karyanya sepanjang tempoh Datuk Anwar menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh, Selangor.
Datuk Anwar menyifatkan pemergian Allahyarham yang mesra disapanya sebagai Pak Samad, tiada tolok bandingnya sebagai tokoh sastera dan pejuang bahasa, yang sentiasa berkongsi kecintaannya terhadap ilmu, bahasa dan kesusasteraan.
“Allahyarham sahabat setia.
“Saya ingat sepanjang saya di Penjara Sungai Buloh dulu, semua karya-karyanya pasti dikirim kepada saya.
“Allahyarham seorang yang gigih, pencinta seni, sastera dan juga pendidik bangsa, dan negara kita kehilangan seorang tokoh besar Sasterawan Negara,” katanya.
Beliau ditemui selepas memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah Allahyarham di Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq, Bangsar, Kuala Lumpur, pada malam 24 November.
Datuk Anwar pernah dijatuhi hukuman penjara enam tahun sekitar 1999 atas tuduhan salah guna kuasa dan rasuah ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 1998, serta dipenjara lima tahun atas kes liwat sekitar 2015.
Beliau kemudian mendapat pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V, pada Mei 2018.
Sasterawan Negara keempat itu yang memegang nama penuh Abdul Samad Muhammad Said, menghembuskan nafas terakhir pada 6.10 petang, 24 November, selepas dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur, pada malam 23 November, kerana sakit tua dan jangkitan paru-paru.
Menurut Datuk Anwar, Allahyarham Datuk A. Samad sudah masyhur dengan hasil karyanya sejak 1955, dan hubungan persahabatan beliau dan Allahyarham terjalin menerusi surat-menyurat sejak 1998 walaupun ketika beliau di penjara, selain pertemuan dalam pelbagai majlis selepas itu.
Tambah Datuk Anwar, antara legasi Datuk A. Samad yang boleh dijadikan inspirasi generasi muda ialah kesungguhannya mempertahankan bahasa dan sastera sebagai ciri penting dalam kehidupan serta pembinaan tamadun bangsa.
“Beliau gigih pertahankan kecintaannya pada bahasa dan sastera, dan menganggap bahawa sastera itu mesti dikuasai, tidak seperti sesetengah tanggapan bahawa sastera itu khusus untuk kelompok tertentu.
“Kehidupan bangsa dan pemikiran tamadun itu harus bersandarkan juga kepada kekuatan sastera,” kongsinya.
Mengulas keperibadian Allahyarham, Datuk Anwar menambah, beliau belum pernah menemui individu yang begitu tekun membaca seperti Sasterawan Negara itu, berdasarkan pemerhatiannya di kediaman Allahyarham yang kaya dengan koleksi buku.
Setiap buku yang dibaca Allahyarham turut disertakan catatan tersendiri, membuktikan kesungguhan beliau mendalami ilmu dan meneroka sastera daripada pelbagai sudut.
“Kalau dari segi pembacaan, saya belum jumpa seseorang yang begitu gigih membaca seperti A. Samad Said.
“Beliau cuba kuasai sastera satu dunia, saya tidak fikir mudah untuk mengganti kemahiran, penguasaan ilmu beliau, terutama sastera.
“Tentunya negara harus memikirkan bagaimana untuk meraikan satu tokoh besar Sasterawan Negara ini,” katanya sambil mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham atas pemergian itu.
Allahyarham Datuk A. Samad bukan sahaja dikagumi sebagai Sasterawan Negara, malah beliau juga dikenali sebagai tokoh wartawan yang pernah berkhidmat di akhbar Fikiran Rakyat, Utusan Melayu dan Berita Harian Malaysia (BHM).
Malah, beliau pernah memegang jawatan Pengarang Sastera dan seterusnya Ketua Pengembangan Sastera dalam Kumpulan The New Straits Times Press (NSTP), yang turut menaungi BHM.
Datuk A. Samad yang gemar berbusana putih, dilahirkan pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka.
Tokoh sastera Malaysia itu dibesarkan di Singapura dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kota Raja sebelum melanjutkan pelajaran ke Victoria Institution sehingga memperoleh Sijil Senior Cambridge pada 1956.
Allahyarham pernah bekerja sebagai kerani di Hospital Besar Singapura sebelum berpindah ke Kuala Lumpur untuk menyertai akhbar, Fikiran Rakyat, sebagai wartawan.
Selepas beberapa bulan, beliau kembali ke Singapura dan bekerja di akhbar, Utusan Zaman (Utusan Zaman dan Utusan Melayu di bawah Kumpulan Utusan) di bawah pimpinan Datuk Dr Usman Awang.
Apabila syarikat Utusan Melayu berpindah ke Kuala Lumpur, Allahyarham turut berhijrah dan membantu Datuk Usman mengendalikan majalah, Mastika, sebelum berkhidmat sebagai Ketua Pembangunan Sastera di NSTP.
Beliau bagaimanapun melepaskan jawatan di BHM dan NSTP pada 1987 untuk menumpukan sepenuh perhatian pada penulisan, khususnya dalam bidang esei dan puisi.
Antara cerpen terawalnya ialah Hari Ini Hari Gembira yang dihasilkan pada Oktober 1954.
Nama Datuk A. Samad mencapai kemuncak dalam bidang penulisan apabila novel Salina diterbitkan secara rasmi pada 1961.
Salina mengisahkan kehidupan masyarakat, khususnya orang Melayu di Kampung Kambing, Singapura, selepas Perang Dunia Kedua.
Ia menggambarkan kemiskinan, keruntuhan moral dan perjuangan masyarakat untuk meneruskan kehidupan dalam keadaan serba sukar selepas perang.
Pengalaman Allahyarham Datuk A. Samad ketika zaman pendudukan Jepun dan penderitaan masyarakat akibat perang menjadi inspirasi kepada novel itu.
Beliau mengangkat kehidupan orang Melayu dan masyarakat Indonesia yang berhijrah ke Singapura untuk mencari kehidupan, termasuk bekerja sebagai buruh.
Selain novel Salina, antara karya lain yang turut mengangkat nama beliau ialah Sungai Mengalir Lesu, Di Hadapan Pulau, Langit Petang, Hujan Pagi dan Lantai T. Pinkie, yang memperlihatkan keupayaannya mengangkat pelbagai sisi kehidupan manusia dan masyarakat.
Novel Salina turut diterjemahkan ke beberapa bahasa, termasuk bahasa Inggeris dan Perancis, sekali gus memperluas pengenalan karya sastera Melayu kepada pembaca antarabangsa.
Malah, beberapa karya Allahyarham turut diadaptasi ke pentas teater dan drama, terutama Salina yang turut dipentaskan di Singapura.
Datuk A. Samad turut aktif dalam kegiatan sosial dan politik.
Malah, beliau memainkan peranan penting dalam Gerakan Mansuhkan PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris) pada 2009, serta menyertai perhimpunan anjuran pertubuhan bukan kerajaan, Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) pada 2011 dan 2012.
Kenangan menyertai demonstrasi perhimpunan Bersih itu turut diimbau semula oleh Menteri Komunikasi Malaysia, Datuk Seri Fahmi Fadzil, yang mengingati pengorbanan Allahyarham apabila sanggup berkaki ayam menapak di atas jalan tar yang panas demi menyuarakan isu rakyat.
Beliau berkata Allahyarham bukan hanya dikenang sebagai tokoh sastera yang karya-karyanya dikagumi, malah turut meninggalkan kesan menerusi semangat dan keprihatinannya terhadap isu kemanusiaan serta nasib rakyat.
“Saya ingat satu ketika dulu Allahyarham pernah bersama-sama turun untuk satu demonstrasi Bersih.
“Waktu itu Allahyarham kehilangan kasut dan berjalan di atas aspal (tar) yang panas di Kuala Lumpur, berdekatan dengan Petaling Street, untuk sampaikan memorandum.
“Saya sangat terkesan mengingati semula semangat dan jiwa Allahyarham, terutama dalam isu-isu kemanusiaan serta hak rakyat,” katanya ketika ditemui mengiringi Datuk Anwar ke masjid itu.
Sumbangan besar Allahyarham dalam bidang kesusasteraan mendapat pengiktirafan menerusi pelbagai penghormatan, antaranya Anugerah Pejuang Sastera pada 1976, Anugerah SEA Write pada 1979 dan Anugerah Sastera Negara pada 1985.
Beliau turut menerima Darjah Kebesaran Negeri Melaka yang membawa gelaran Datuk pada 1997 dan menerima Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) Pulau Pinang yang membawa gelaran Datuk Seri pada Julai 2017.