Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SG60: Peluang bagi S’pura bentuk masa depan lebih maju, makmur

Jan 5, 2025 | 5:30 AM
Logo sempena sambutan SG60 dipancarkan di Marina Bay Sands pada 1 Januari 2025, petanda bermulanya tahun merai ulang tahun Singapura yang ke-60.
Logo sempena sambutan SG60 dipancarkan di Marina Bay Sands pada 1 Januari 2025, petanda bermulanya tahun merai ulang tahun Singapura yang ke-60. - Foto ZAOBAO

Hari Kebangsaan mungkin masih agak jauh iaitu lapan bulan lagi.

Namun, pada 1 Januari 2025, Singapura secara rasmi mula melangkah bagi merai ulang tahun negara ke-60 yang menyaksikan pelbagai kegiatan diatur di sana sini.

Mencecah usia enam dekad boleh disifatkan sebagai satu pencapaian dalam kehidupan seseorang, begitu juga bagi negara.

Sebagai individu, usia 60 tahun petanda kejayaan meraih peluang menimba pengalaman, ilmu dan kebijaksanaan selama berdekad.

Ia mungkin diwarnai hambatan, titik pencapaian dan pelajaran yang sekali gus boleh menjadi renungan.

Angka 60 turut disifatkan sebagai permulaan “tahun keemasan” iaitu waktu untuk bersantai, terlibat dalam kegiatan riadah dan mengisi masa dengan hobi yang mungkin tidak dapat dilakukan ketika sibuk dengan kerjaya.

Bagaimanapun, sebagai sebuah negara, Singapura tidak mampu berbuat demikian.

Ia tidak boleh memilih untuk memperlahankan rentak, menyaksikan dunia berputar sambil berpeluk tubuh atau bersiap sedia untuk ‘bersara’.

Sepanjang enam dekad, Singapura yang suatu ketika dahulu pernah dijajah, kini berubah wajah.

Apa yang berjaya ia capai kini adalah hasil kepimpinan yang berpandangan jauh, perancangan strategik dan etika kerja yang wajar diteladani.

Dalam kemeriahan sambutan SG60, mungkin ada baiknya juga jika setiap di antara kita meluangkan sedikit masa untuk merenung bagaimana kita sebagai warga dapat menyumbang ke arah masa depan negara.

Sebagai contoh, dalam konteks setiap keluarga, bagaimana kita dapat mencorak anggota keluarga kita sendiri untuk sama-sama menetapkan matlamat, mencapai kecemerlangan dan berpandangan jauh.

Apakah yang ingin kita bentuk dan capai bagi generasi seterusnya dalam keluarga kita? Mereka inilah warga masa depan kita.

Daripada situ, kita melangkah untuk memberikan sumbangan kepada negara sejajar dengan matlamat yang kita tetapkan seiring semangat utuh.

Dengan semangat bingkas, Singapura telah bangkit daripada sebuah negara kecil – ia masih tetap kecil – namun dikenali dengan pencapaiannya yang besar.

Kestabilan politik Singapura, kadar rasuah yang rendah dan institusi awam yang telus telah menyokong pertumbuhannya sebagai hab perniagaan dan kewangan terkemuka di Asia.

Ia bangkit menjadi hab kewangan, melebihi jangkaan dalam pelbagai aspek.

Keupayaannya mengekalkan keharmonian antara mereka daripada pelbagai bangsa dan agama boleh disifatkan sebagai pencapaian hebat.

Dalam kita mengatur langkah ke hadapan, kita tetap berhadapan cabaran seperti penduduk yang kian menua.

Keadaan itu boleh menjejas ekonomi, sistem penjagaan kesihatan dan khidmat sosial.

Tahun 2025 adalah tahun penting buat Singapura, pemimpin dan warganya.

Ia bukan sekadar sambutan ulang tahun ke-60.

Ia merupakan tahun Singapura bakal mengadakan Pilihan Raya Umum (GE), memberikan mandat kepada pemimpin dan pasukannya bagi mengemudi negara ke fasa selanjutnya.

Dalam amanat Tahun Baru, Perdana Menteri Lawrence Wong, berkata: “Tahun 2025 menandakan genap 60 tahun kemerdekaan Singapura.

“Walaupun wajar untuk kita meraikannya, peristiwa bersejarah ini sebenarnya merupakan masa untuk kita merenung kembali – mengenai nilai-nilai yang kita kongsi bersama, siapa diri kita dan apakah yang kita perjuangkan.

“Yang penting, ia merupakan peluang untuk membayangkan bagaimana kita boleh membentuk masa hadapan kita bersama.”

Ini adalah masa untuk berkongsi apa jua kisah, harapan dan impian untuk Singapura melangkah ke babak selanjutnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg